Saya sangat suka memaparkan makanan dan hidangan yang telah popular dan ramai penggemarnya. Mereka sanggup membeli dan membeli lagi walaupun makanan itu bukan susah sangat nak buat. Biasanya kita tak terfikirpun bahan-bahan yang digunakannya sedangkan semuanya ada disekeliling kita. Kali ini saya paparkan resepi papadom iaitu sejenis keropok yang popular dalam masakan India. Malah papadom ini juga popular seluruh dunia memandangkan kaum India terdapat hampir diseluruh dunia yang dihuni manusia. Saya sedar, anda akan tetap membeli papadom berbanding buat sendiri walaupun setelah membaca resepi ini tetapi sekurang-kurangnya kita mesti tahu apa yang kita makan dan daripada apa ia dibuat.


Bahan-bahan untuk Papadom
300g Kacang Urulundu
100g Air
Garam
Minyak Masak untuk menggoreng tenggelam

Cara membuat Papadom
  1. Kisar kacang urulundu sehingga betul-betul halus. Kalau boleh, ayak untuk memastikan ia halus.
  2. Larutkan garam dalam air
  3. Uli tepung urulundu bersama larutan garam sehingga menjadi doh yang keras. Jika perlu gunakan air seminimum mungkin mungkin asalkan boleh menjadi doh yang keras.
  4. Bulatkan doh sebesar guli dan canaikan senipis mungkin. Anda boleh menggunakan mesin pencanai seperti noodle maker untuk mendapatkan papadom yang sangat nipis. Taburkan tepung beras jika anda dapati doh terlalu melekat pada rolling pin atau pencanai.
  5. Panaskan minyak dan goreng papadom sehingga garing.


Tip Masakan Komersial
  1. Seperti yang pernah saya ceritakan dalam Resepi Wadeh Urulundu, kacang urulundu juga dikenali sebagai urad dhal atau kacang hitam. Jika anda membelinya, cuba cari kacang yang telah dibuang kulit dan terbelah dua kerana ia lebih lembut dan memudahkan proses pengisaran. Anda juga boleh membeli kacang ini yang telah siap dikisar halus.
  2. Sebaiknya, sebelum dikisar, kacang urulundu harus di goreng tanpa minyak terlebih dahulu. Ini bertujuan agar kacang ini lebih kering dan beraroma. Hanya perlu goreng dengan api yang perlahan dan berhenti sebaik sahaja ia mengeluarkan aroma yang lazat. Dizaman moden ini, saya dapati kacang urulundu yang dijual telah cukup kering jadi saya ketepikan proses ini.
  3. Anda boleh menggunakan jintan putih untuk memberi rasa dalam papadom ini. Hanya pastikan jintan dikisar halus atau gunakan sahaja serbuk jintan supaya proses mencanai menggunakan noodle maker tidak terganggu.
  4. Jika dibandingkan dengan papadom yang terdapat dipasaran, papadom mereka kembang lebih besar kerana mereka menambahkan bahan yang boleh menjadikan ia kembang seperti soda bikarbonat, hing, tepung jagung, sagu dan sebagainya. Mereka juga mampu menggiling kacang dengan sangat halus untuk menghasilkan papadom yang sangat nipis.