Dah lama saya tak paparkan resepi masakan barat sampaikan ada yang komplen, nama blog je masakan barat tapi dalamnya resepi cekodok. Bagaimanapun saya memang tak layan sangat komen sebegitu. Saya nak letak resepi masakan barat ke, timur ke, utara ke selatan ke, itu terpulang kepada saya. Saya sekeluarga yang nak makan. Saya yang keluarkan modal untuk memasak. Blog saya bukan copy paste dari internet. Gambar-gambar juga original milik saya. Jadi setiap apa yang saya paparkan perlulah saya masak terlebih dahulu. Setiap apa yang saya masak perlulah saya modalkan juga. Kepada yang mendapat kebaikkan dari blog saya tanpa mengeluarkan modal, cubalah bersyukur dan ucapkan alhamdulillah.

Kalau anda tak pernah dengar perkataan pancake, saya yakin, anda tentu pernah dengar perkataan lempeng. Jadi tak perlu di panjang-panjangkan lagi. Resepi pancake dibawah ini terlalu asas. Tanpa gula, tanpa serbuk penaik. Strukturnya bergantung penuh kepada kendungan telur yang banyak dalam resepi ini. Cubalah jadikan pancake ini lebih menarik ala apam balik dengan melipatkan inti ditengah-tengahnya. Takkan nak makan pancake asas semata-mata. Bila ilmu kulinari nak maju...

Bahan-bahan Resepi Pancake Asas
300g tepung gandum
3 bj telur (A)
250ml air
250ml susu cair
1/3 cwn minyak masak

Cara membuat Pancake Asas
  1. Pukul telur sehingga kembang dan putih.
  2. Campurkan air dan susu cair kedalam telur dan gaulkan sebati.
  3. Masukkan tepung gandum dan lipat-lipatkan adunan sehingga semuanya bercampur.
  4. Curahkan minyak masak sedikit demi sedikit sambil dilipat-lipatkan adunan.
  5. Tuangkan satu senduk adunan diatas kuali leper dengan kepanasan sederhana. Biarkan masak sebelah.
  6. Setelah itu palingkan pancake agar masak sebelah lagi.
  7. Angkat dan hidangkan bersama mentega atau madu atau jem dan sebagainya.

Tip Masakan Komersial.

  1. Saya pernah cuba memesan hidangan pancake dengan mentega beberapa tahun dahulu. Harganya hanya RM3 tetapi cuma mendapat 3 keping pancake bersaiz lebih kurang 6cm. Daripada adunan diatas, cuba kirakan kos yang diperlukan. Resepi diatas membolehkan anda mendapat lebih kurang 20 keping pancake. Kirakan harga yang sepatutnya untuk satu hidangan pancake.
  2. Lebih mudah jika anda menggunakan blender untuk mengadun resepi pancake ini. Bagaimanapun untuk blender bersaiz 1 liter sudah tentu tak muat. Jadi cubalah dengan setengah adunan dahulu.
  3. Kalau boleh gunakan kuali yang tebal seperti kuali apam balik. Menggunakan non-stick pan juga sesuai cuma warnanya tak sekata macam gambar pancake saya tu. Saya menggunakan kuali melengkung biasa tu je. hehhee
  4. Jangan tanya saya kenapa tak ada gula, kenapa tak ada soda, kenapa tak ada garam, kenapa tak ada macam-macam lagi. Anda yang masak, anda yang makan, anda yang tentukan.