Rasanya ini artikel saya yang pertama mengenai pai. Bukan tak boleh buat tapi kurang ilmu mengenainya. Apa yang saya tahu, pai popular dalam masakan barat kerana ia termasuk dalam beberapa kategori hidangan. Untuk resepi Pai Epal Bluberi dibawah ini, ia adalah dari kategori dessert. Sekali tengok, tak nampak perbezaannya diantara pai ini dan tart. Dua-dua manis, dua-dua ada pastry rapuh. Itulah masakan barat.  Benda yang lebih kurang sama tapi namanya jauh berbeza kerana masakan barat sangat luas. Anda tentukan sendiri selepas mempelajari Resepi Pai Epal Bluberi ini.




Bahan-bahan untuk Resepi Pai Epal Bluberi
500g Tepung Gandum
225g Mentega
150g Gula Pasir Kisar
2 bj Telur A
600g Blueberry Pie Filling
4 bj Epal Hijau Granny Smith



Cara membuat Pai Epal Bluberi
  1. Dadu kecil mentega dan satukan dengan gula pasir kisar. Dengan kaedah gaul ramas menggunakan hujung jari, gaul sehingga ia bersatu dan tidak berketul.
  2. Masukkan telur dan gaul sebentar baru masukkan tepung gandum.
  3. Kali ini baru ramas betul-betul sehingga mendapat tekstur serbuk roti.
  4. Kepalkan menjadi  empat bebola dan bungkus dalam plastic sling berasingan. Rehatkan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya setengah jam.
  5. Setelah direhatkan, canai satu bebola setebal 3 mm dan tekankan kedalam acuan pai yang telah dilenser dengan mentega.
  6. Gunakan garfu untuk mencucuk dasar pastry supaya ia tidak menggelembung apabila dibakar.
  7. Untuk inti, anda perlu mengupas kulit dan membuang biji epal kemudian dadu kecil.
  8. Gaulkan epal bersama bluberry pie filling hingga sebati.
  9. Masukkan inti kedalam pai sehingga hampir penuh.
  10. Lebihan pastry boleh digunakan untuk menutup bahagian atasnya. Terpulang kepada kreativiti anda. Saya menggunakan cara yang paling senang dan popular.
  11. Bakar didalam oven pada suhu 180°C selama 15 minit. Jangan lupa panaskan daluhu oven sebelum digunakan.
  12. Setelah pastry keperangan, keluarkan dari oven dan sejukkan sebentar sehingga boleh dipegang. Keluarkan pai dari acuannya dan hidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Saya ada memaparkan beberapa resepi pastry dalam artikel sebelumnya seperti resepi tat telur dan resepi bluberi cheese tart. Semua resepi adalah baik, ada kelebihan tersendiri dan telah saya uji. Anda boleh menggunakan mana-mana resepi yang sesuai dengan anda.
  2. Apabila membuat pastri, adalah lebih baik semua bahan dalam keadaan sejuk. Jadi gunakan mentega dan telur yang baru dikeluarkan dari peti ais. Kalau boleh, tepung dan gula pun disejukkan dahulu dalam peti ais selama 1 jam.
  3. Ada orang yang lebih suka pastri yang lebih keras dan kukuh. Pastri begini biasanya diperlukan jika membuat dalam kuantiti yang banyak dimana kita perlu bekerja lebih cepat. Jadi pai tidak dapat diurus dengan cermat menyebabkan sering pecah atau sompek apabila dipegang. Untuk pastri yang kukuh, anda hanya perlu uli sahaja doh ini tapi jangan terlalu lama kerana kemungkinan doh akan menjadi lembik dan susah di canai. Untuk yang lebih keras lagi, anda boleh tambahkan ½ hingga 1 cmb air sejuk kedalam adunan pastry.
  4. Biasanya untuk pai dengan inti yang basah seperti pai epal bluberi ini, kita sering membakar kulit pai terlebih dahulu sehingga setengah masak. Ini untuk memastikan kulit pai masak dipermukaan dalam. Bagaimanapun, untuk pai kecil seperti yang saya buat ini saya rasa tidak perlu. Lagipun ketebalan pai ini hanya 3mm. Apabila ditekankan kedalam acuan, ia menjadi lebih nipis.
  5. Jika anda membuat pai yang besar dengan kulit pai yang tebal, anda perlu membakar kulit pai separuh masak dahulu baru dimasukkan inti dan dibakar semula. Saya menghias atasnya dengan pastri jadi kalau saya membakar kulitnya terlebih dahulu, warna kulit dan atasnya tidak sama.
  6. Resepi diatas boleh menghasilkan lebih kurang 20 pai bersaiz 2 ½ inci. Saya suka masukkan intinya penuh-penuh supaya pai saya Nampak membukit. Apabila masak, pai ini akan mengecut sedikit kerana kehilangan air apabila dimasak. Jadi pai saya akan elihatan normal semula. Bagaimanapun jika memasukkan inti yang banyak seperti saya, pastikan anda tidak terlebih membakar kerana inti ini akan mendidih seterusnya membuak keluar. Ini menyebabkan pastri dibahagian atas pecah akibat ditolak oleh inti tadi.
  7. Saya menggunakan blueberry pie filling dalam tin dimana inti ini mengandungi keseluruhan buah bluberi didalamnya. Jadi kita akan nampak buah bluberi sebiji-sebiji didalam pai. Anda boleh menggunakan apa-apa jenis pai filling. Namun, pastikan ia filling dan bukan jem.
  8. Epal sangat sesuai dengan kulit kayu manis atau biji buah pala. Anda boleh menggunakan rempah-rempah ini untuk kesesuaian selera anda. Saya juga tidak menambahkan gula kerana pie filling dah terlalu manis untuk saya. Ditambah dengan kemanisan buah epal, ia dah cukup untuk saya.
  9. Saya mencadangkan epal hijau granny smith untuk sebarang pai kerana epal ini rangup, dan masam. Ia juga lambat hancur apabila dimasak. Jadi tekstur epal masih ada dan boleh digigit. Anda boleh menggunakan segala jenis epal yang anda suka. Untuk selera saya, epal yang masam lebih sesuai di gandingkan dengan sesuatu yang manis. Kalau bluberi dah manis, kulit pai pun manis ditambah dengan epal yang manis, lebih baik saya makan gula je!
  10. Jika anda ingin menutup seluruh pai dengan pastri, anda perlu membuat sedikit lubang atau sekurang-kurangnya dicucuk dengan pisau untuk membolehkan wap panas keluar. Ini dapat mengurangkan pecahan atau retakkan apabila memasak. Anda juga boleh menyapu permukan pastry dengan telur untuk memberikan warna yang menarik setelah dibakar.
  11. Pai ini boleh disejukbekukan sehingga 6 bulan. Bagaimanapun apabila mahu dihidang, anda perlu membakar semula pai ini seperti tadi tanpa perlu defrost dahulu. Anda juga perlu membakar pai ini didalam acuannya untuk mengelakkan kulit pai pedah bahagian tepi.