Hari ini baru terasa tenang sikit. Tapi saya belum bersedia lagi untuk bercerita apa yang disibukkan sangat. Tengah trauma lagi ni. Baik kita cerita pasal opor ayam je. Saya tak dapat nak terangkan apa ciri-ciri opor ayam. Apa yang saya tahu rasanya memang sedap, manis dan pedas. Kalau ada sesiapa yang mahir dengan masakan berempah begini, tolonglah ceritakan apa bezanya opor, kuzi, kerutup dan lain-lain. Kalau kari atau beriani mungkin kita dah biasa sebab hidangan ini memang dah popular di seluruh Malaysia. Mungkin nisbah rempahnya sahaja yang membezakan rasa setiap makanan tersebut.


Bahan-bahan untuk Opor Ayam
1kg Ayam
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
2 inci Halia
5 cmb Cili Boh
2 cmb Ketumbar
2 cmb Jintan Manis
2 cmb Jintan Putih
1 cmb Lada Hitam
3 kuntum Bunga Cengkih
1 btg Kulit Kayu Manis
2 kuntum Bunga Lawang
3 bj Buah Pelaga
6 cmb Gula Pasir
3 cmt Garam
2 cmb Kerisik
100 ml Minyak Masak
1 L Santan
1 cmb Air Asam Jawa Pekat


Cara Membuat Opor Ayam
  1. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Kisar bawang besar, bawang putih dan halia sehingga halus dengan sedikit air.
  2. Ketumbar, jintan manis, jintan putih dan lada hitam dikisar menggunakan pengisar bijirin sehingga menjadi serbuk halus.
  3. Panaskan minyak masak, tumiskan bunga cengkih, bunga lawang, buah pelaga dan kulit kayu manis sehingga wangi.
  4. Masukkan bawang bawang putih dan halia kisar bersama cili boh. Tumiskan sehingga garing.
  5. Masukkan rempah yang dikisar halus. Tambah sedikit air untuk rempah menjadi kembang.
  6. Setelah bahan tumisan sedikit kering, masukkan ayam. Kacau sebentar sehingga ayam berubah warna menjadi putih.
  7. Masukkan air dan biarkan merenih sehingga ayam empuk.
  8. Setelah ayam empuk, masukkan kerisik.
  9. Akhir sekali, perasakan dengan garam, gula dan asam. Hidangkan bersama nasi atau roti.


Tip Masakan Komersial
  1. Ramai yang tak tahu bahawa lauk yang mereka makan adalah opor kerana tak dapat membezakannya. Bagi usahawan pula, dari masak opor, lebih baik rendang. Semua orang kenal dan lebih digemari.
  2. Berbanding rendang ayam kampung tanpa rempah, opor ayam lebih berperisa dan wangi kerana rempah-rempah yang digunakan.
  3. Untuk perniagaan, lebih mudah jika anda kisar sendiri rempah-rempah yang diperlukan seperti jintan, ketumbar dan lain-lain. Apabila ingin menggunakannya, hanya perlu cedok sahaja mengikut sukatan seperti opor ini. Boleh juga membeli rempah yang siap dikisar kerana ia lebih halus.