Resepi Nugget Daging dan Tujuan Menyadur/Menyalut Makanan
Posted by Norasikin Basri on Wednesday, December 28, 2011
Under: Resepi Masakan Barat
Teknik menyalut atau menyadur makanan seperti nugget ini adalah sesuatu langkah yang baik. Antara tujuannya adalah seperti berikut.
- Melindungi permukaan makanan daripada haba dan mengelakkan makanan menjadi terlampau kering.
- Menghalang makanan yang lembut atau mudah hancur daripada berkecai, pecah, patah atau sompek.
- Memanjangkan jangkahayat makanan kerana kadar lembapan yang tersejat akan berkurangan.
- Saduran pada makanan menjadikan makanan rangup dan enak dimakan.
- Menyadur dapat menambahkan nilai zat kepada makanan.
- Saduran yang baik akan menjadikan makanan kelihatan lebih besar dan menambahkan pengeluaran dari segi kuantiti.
Bahan-bahan untuk Nugget Daging
1 kg Daging tanpa lemak
1 cmt Garam
2 cmb Gula
1 cmt Serbuk Lada Hitam
1 cmt Serbuk Jintan Putih
1 cwn Serbuk Roti Putih
2 cmb Tepung Jagung
2 bj Telur A
Minyak Masak untuk menggoreng tenggelam.
Bahan-bahan Salutan Nugget Daging
4 cmb Tepung Beras
2 cmb Tepung Jagung
2 cwn Serbuk Roti Berwarna
Air Secukupnya
Cara membuat Nugget Daging
- Daging dibersihkan dan dipotong kecil untuk memudahkan dikisar.
- Kisar sedikit demi sedikit menggunakan pengisar bijirin tanpa air. Dapatkan kisaran yang sehalus mungkin yang mampu pengisar anda lakukan.
- Gaulkan dengan bahan-bahan yang lain iaitu gula, garam, serbuk roti, lada hitam, telur dan tepung jagung.
- Biarkan adunan berehat kira-kira setengah jam untuk serbuk roti menyerap lembapan.
- Sementara itu, buat batter saduran dengan mencampur tepung jagung, tepung beras dan air. Dapatkan batter yang cair yang mencukupi untuk melekatkan serbuk roti pada nugget.
- Bulat-bulatkan adunan nugget sebesar ibu jari dan leperkan menjadi setebal 1 cm. Selesaikan sehingga habis semua adunan.
- Celupkan nugget yang telah dileperkan dalam batter dan gaulkan dalam serbuk roti
- Susun dalam dulang dan sejukbekukan. Boleh di tindih tiga atau empat lapisan tapi jangan terlalu berat untuk mengelakkan bentuk nugget berubah dan melekat sesama mereka.
- Panaskan minyak dan goreng sehingga garing. Jangan goreng terlalu lama kerana jusnya akan keluar menyebabkan nugget terlalu kering dan liat.
Tip Masakan Komersial
- Batter untuk saduran ini berbeza sedikit berbanding ebook Panduan Dan Resepi Masakan Barat Komersial kerana batter ini lebih rangup sedangkan batter dalam ebook lebih menjimatkan.
- Membuat nugget ayam lebih mudah kerana ayam lebih lembut dan mudah dikisar. Memandangkan nugget daging tak banyak dipasaran dan daging korban pun masih ada lagi, jadi saya memilih untuk membuat nugget daging yang lebih mencabar.
- Anda boleh mempelbagaikan rasanya dengan menambah bahan lain seperti cincangan bawang dan bawang putih, daun sup, atau rempah-rempah tempatan yang mudah didapati. Saya cadangkan anda menambah sayur-sayuran campur sejukbeku agar anak-anak anda mendapat khasiat yang seimbang. Jika menggunakan ayam, ia lebih mudah kerana ayam sesuai untuk segala jenis rempah.
- Saya tidak gemar daging cincang yang dijual dipasar kerana saya dapati ia dibiarkan diatas meja yang kurang bersih. Daging yang telah dicincang memang tak elok dicuci kerana jusnya akan mengalir keluar dan mengurangkan rasanya. Daging cincang sejukbeku pula saya dapati mempunyai campuran rempah-rempah tertentu dan menyebabkan nugget saya mempunyai rasa seperti burger.
- Kita dapati banyak nugget yang dijual dipasaran dengan harga yang murah diantara 6 hingga 12 ringgit sekilogram sahaja. Ini menunjukkan mereka menggunakan bahan tertentu sebagai penambah kuantiti. Biasanya mereka menggunakan bahagian-bahagian ayam yang tidak diperlukan seperti lemak, kulit, tulang-tulang yang lembut atau sisa-sisa soya yang tak menyihatkan. Saya lebih rela menggunakan serbuk roti sahaja.
- Saya juga mendapati restoran makanan segera pasti menjual nugget dalam menu mereka dan mereka menyatakan nugget mereka 100% daging lembu atau ayam. Ini tak bermakna nugget mereka tidak mempunyai campuran bahan lain. Ayat ini sebenarnya bermaksud, nugget mereka tidak menggunakan daging lain selain dari daging lembu dan ayam. Adakah saya betul?
In : Resepi Masakan Barat
Tags: resepi nugget daging resipi salut sadur teknik tujuan kelebihan breadcrumb
blog comments powered by Disqus



