Biasanya bila beli nugget ayam dipasaran, terlalu banyak pilihan. Saya kategorikan hanya kepada 2 sahaja. Pertama yang mahal dan kedua yang murah. Harga nugget-nugget ini sangat berbeza bergantung kepada kualiti dan kuantiti daging ayam yang digunakan. Kalau yang mahal tu, memang ketara sangat ayamnya. Anda boleh bezakan sendiri dengan melihat dengan mata, merasa teksturnya dengan jari atau merasa kelazatannya dengan lidah. Bila membuat sendiri nugget dirumah, semuanya bergantung kapada kita. Kalau ayam ada sikit tapi nak makan banyak, kurang lah kualiti nuggetnya. Kalau ayam banyak tapi tukang makannya tak ramai, dah tentu saya buat sesedap mungkin. Resepi nugget tak penting sangat. Sedangkan ayam goreng dengan kunyit je pun, budak-budak dah suka sangat. Apa lagi kalau persembahannya sedikit istimewa dan menarik.

Dua tiga hari ni saya berada kat tempat yang tak de internet. Nak tengk email pun tak boleh. Lain la kalau ada Samsung Galaxy #S4Malaysia. Tolong la saya dapatkan satu. (Klik)


Bahan-bahan untuk Nugget Ayam Lolipop
300g Isi Ayam
50g Tepung Ayam Goreng Segera
½ cwn Serbuk Roti.
30g Tepung Ayam Goreng Segera dijadikan batter yang sangat cair
1L Minyak Masak untuk menggoreng


Cara membuat Nugget Ayam Lolipop
  1. Isi ayam dipotong kecil kemudian dikisar menggunakan pengisar kering (bijirin)
  2. Campurkan dengan tepung ayam goreng segera dan gaul rata.
  3. Kepal-kepalkan adunan seberat lebih kurang 50g dan cucukkan pada batang aiskrim sebagai tangkai.
  4. Golekkan nugget dalam batter dan kemudian dalam serbuk roti untuk menyadurnya.
  5. Gorengkan nugget dalam minyak yang sederhana panas sehingga garing dan masak dalamnya.
  6. Hidangkan ketika masih panas dan rangup.


Tip Masakan Komersial
  1. Tekstur nugget ayam lolipop bergantung sepenuhnya kepada daging ayam. Jika menggunakan sepenuhnya dada ayam, nugget akan lebih kering dan kurang jusnya. Jika menggunakan bahagian ayam yang lebih halus seperti peha, isinya lebih lembut.
  2. Bila menggunakan dada ayam, teksturnya akan lebih cantik jika dicampurkan sedikit lemak atau kulit ayam. Ini dapat mengelakkan nugget ayam menjadi terlalu kering. Tapi jika anda mementingkan khasiat, sebaiknya menggunakan kaedah lain yang akan saya ceritakan dibawah.
  3. Tepung ayam goreng yang dicampur dalam adunan hanya untuk memberikan rasa berempah pada nugget ayam. Jangan gunakan terlalu banyak kerana dalam tepung ayam goreng mengandungi tepung beras yang boleh menyebabkan nugget menjadi keras. Lebih senang memberi rasa pada nugget cara begini berbanding mengisar sendiri rempah-rempah sedangkan kita sendiri kurang mahir rempah apa yang harus digunakan.
  4. Jika adunan terlalu lembik, tambahkan sedikit tepung jagung. Adunan akan menjadi lembik sekiranya anda menggunakan daging ayam yang halus dan berlemak. Tepung jagung akan menjadikan nugget lebih kenyal jadi tak perlu menggunakan terlalu banyak.
  5. Untuk nugget yang lebih lembut, sebaiknya nugget diadun dengan lebih lembut. Mungkin sedikit sukar untuk memegangnya terutama sewaktu menyadur dengan breadcrumb dan senang tertanggal dari tangkai aiskrim. Tak mengapa, jangan dipegang tangkainya. Sadur seolah-olah ia tak mempempunyai tangkai.
  6. Tak perlu risau jika adunan terlalu lembik. Protin ayam akan bersimpul dan membentuk struktur yang kukuh sewaktu digoreng. Jadi jika sebelum digoreng, nuggetnya dah keras, selepas digoreng ia akan jadi lebih keras. Kalau menggunakan tepung jagung, bertambah-tambahlah kerasnya.
  7. Kadang-kadang saya lebih suka menggunakan serbuk roti dalam adunan nugget. Gunakan serbuk roti berwarna putih. Kalau tak ada, buat sendiri menggunakan roti sandwich yang dikeringkan dalam oven pada suhu 100˚C selama ½ hingga 1 jam. Ramas dan kisar halus. Serbuk roti juga cara terbaik untuk menambah kuantiti tanpa menjadikan nugget kering dan keras. Boleh belek Resepi Nugget Daging dan Tujuan Menyalut/Menyadur Makanan.
  8. Sebenarnya, cara terbaik membuat nugget adalah dengan mengukus dahulu sebelum di salut dengan serbuk roti. Cara ini bukan sahaja dapat memastikan nugget 100% masak malah dapat memudah kerja-kerja menyalut terutama untuk adunan yang lebih lembut.
  9. Nugget ayam lolipop seperti ini sangat sesuai dijadikan makanan sejukbeku. Tetapi saya cadangkan menggunakan kaedah mengukus terlebih dahulu agar kerja penghasilan dalam skala besar lebih mudah dilakukan. Anda juga dapat memastikan pelanggan mendapat nugget yang betul-betul masak. Selain itu, nugget yang dah masak tahan lebih lama dalam peti ais sejuk beku sekurang-kurangnya 1 tahun.
  10. Serbuk roti memang sedikit mahal dipasaran ditempat saya. Jadi ada kalanya saya hanya menyalut menggunakan tepung ayam goreng sahaja. Selepas dikepal dan dibentuk, terus digolekkan dalam tepung ayam goreng. Tak perlu dibancuh dahulu untuk dijadikan batter. Golek dan susun dalam dulang. Biarkan sebentar untuk tepung ayam goreng menjadi lembab barulah digoreng.