Akhirnya setelah hampir setengah tahun menunggu, BE muncul juga akhirnya. Ingatkan Nuffnang dan melupakan terus pada Blog Resepi Masakan Barat Komersial. Syukur alhamdulillah. Sikit lagi nak merajuk kelat dan beralih arah. Dah la projek lain susah nak dapat. Orang perseorangan pun tak seberapa. Nuffnang pulak menyepikan diri. Harapkan ebook Masakan Barat Komersial je yang maintain setiap bulan. Sebagai langkah berjimat-cermat. Mari kita masak nasi lemak kukus. Kita belek dulu nasi lemak kukus cara hotel kemudian baru kita cerita pasal nasi lemak kukus komersial.


Bahan-bahan untuk Nasi Lemak Kukus
400g Beras
1 inci Halia
1 bj Bawang Merah
1 cmt Garam
400g Santan
2 helai Daun Pandan
1 btg Serai


Cara membuat Nasi Lemak Kukus
  1. Beras dicuci bersih, halia dihiris nipis, bawang merah dicincang, dan serai diketuk.
  2. Didalam bekas yang sesuai untuk dikukus, masukkan semua bahan.
  3. Biarkan semuanya terendam dalam santan kira-kira 10 minit.
  4. Panaskan pengukus sehingga airnya mendidih. Setelah itu kecilkan api dan biarkan merenih.
  5. Masukkan bahan-bahan yang direndam tadi bersama bekasnya sekali. Tutup pengukus dan biarkan 10-12 minit sehingga santan meresap dalam beras.
  6. Apabila nasi lemak setengah masak, gaul rata.
  7. Tutup pengukus semula dan biarkan 10-12 minit lagi sehingga nasi lemak benar-benar masak.
  8. Setelah masak, gaulkan nasi lemak menggunakan garfu supaya menjadi gebu.
  9. Hidangkan bersama sambal tumis ikan bilis, timun dan telur rebus.


Tip Masakan Komersial
  1. Nasi lemak dihotel memang mementingkan keharumannya dan bukan sahaja rasanya. Sebab itulah bahan seperti serai dan bawang merah digunakan. Jika berniaga di tepi jalan, cukup sekadar halia dan daun pandan sahaja. Kalau saya masak dirumah, halia pun tak letak. Tapi daun pandan mesti sebab bau daun pandan menjadikan seolah-olah nasi lemak kita sangat lemak.
  2. Sekarang ni saya susah betul saya nak jumpa nasi lemak yang betul2 lemak. Kalau nasi lemak yang berharga RM2 kebawah memang tak lemak. Yang lebih dari RM2 pulak bukan kerana nasinya yang lemak tetapi lauknya yang berbagai. Memang santan dan kelapa mahal sekarang ni. Jadi kalau berniaga nasi lemak tu, lebihkanlah daun pandan. Kalau boleh, tanam dimana sahaja ada tanah kosong. Kalau tak cukup, siat-siat dan ketuk sikit daun pandan tu supaya aromanya keluar.
  3. Memang leceh kalau nak ikut cara nasi lemak hotel macam ni. Dia orang memang boleh je sebab pengukus mereka memang besar. Jika anda ingin berniaga nasi lemak kukus, seeloknya anda tanak sahaja nasi lemak tu macam masak nasi putih tetapi kurangkan sikit air supaya nasi lemak sedikit keras. Ini memudahkan nasi lemak dileraikan kerana ciri utama nasi lemak kukus adalah nasinya berderai. Kemudian di lokasi perniagaan, baru anda kukus semula kali ini terus sahaja didalam pengukus yang dialaskan dengan daun pisang.
  4. Nasi lemak yang sedap banyak bergantung kepada sambal tumisnya. Ketahui ciri-ciri sambal tumis nasi lemak yang baik dalam entri Resepi Sambal Tumis Ikan Bilis