Sekali pandang, terasa macam leceh sangat membuat nasi kerabu ni. Kalau setakat untuk makan tiga atau empat orang, terasa tak berbaloi nak membuatnya. Tapi sebenarnya nasi kerabu tak seleceh mana. Nasi kerabu asalnya terdiri dari nasi, sambal budu, sambal kelapa, dan ulam-ulaman sahaja. Kemudian barulah ditambah lauk-pauk yang disukai seperti daging salai, solok lada, ayam percik, ikan goreng tepung dan macam-macam lagi. Lain kali je la kita cerita pasal lauk-pauk ni. Kali ni utamakan yang penting dahulu. Lauk-lauknya gunakan telur masin dan keropok ikan sahaja. Resepi dibawah adalah resepi nasi kerabu yang saya pelajari. Bagaimanapun, resepi nasi kerabu pasar malam lebih mudah dan ringkas. Nanti kita cerita dalam tip masakan komersial dibawah. Saya ni orang Johor, jadi mungkin resepi nasi kerabu ni adalah melalui citarasa nasi kerabu yang pernah saya rasai seluruh Malaysia sahaja.

Klik disini jika anda menyokong produk dari usahawan wanita Malaysia khusus untuk wanita Malaysia.

Bahan-bahan untuk Nasi Kerabu
2 cwn Beras
1 helai Daun Pandan
1 btg Serai
4 cwn Air Bunga Telang atau gunakan sedikit Pewarna Biru sahaja.


Bahan-bahan untuk Sambal Budu Tumis
2 cmb Minyak Masak
5 tangkai CIli Kering
4 ulas Bawang Merah
1 Ulas Bawang Putih
200 ml Santan
1 btg Serai
½ kpg Asam Gelugur
1 cmt Gula Melaka
3 cmb Budu
2 cm Belacan
Gula, dan Garam secukupnya

Bahan-bahan untuk Sambal Kelapa
1 ekor Ikan Kembung
80g Kelapa Parut
2 ulas Bawang Merah
1 btg Serai
¼ cmt Serbuk Lada Hitam
Garam dan Gula

Cara Membuat Nasi Kerabu
  1. Cuci beras sehingga bersih.
  2. Serai diketuk dan pandan disiat dan diikat.
  3. Masukkan semua bahan dalam periuk dan tanak seperti nasi biasa.

Produk buatan Malaysia dari usahawan wanita Malaysia. Mari beri sokongan kepada mereka. Klik disini.

Cara Membuat Sambal Budu Tumis
  1. Kisar cili kering, bawang merah dan bawang putih. Serai diketuk.
  2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar san serai sehingga wangi.
  3. Masukkan santan, asam, budu, gula melaka, gula dan garam.
  4. Masak dengan api besar sehingga pecah minyak. Kacau sekali sekala.


Cara membuat Sambal Kelapa
  1. Ikan kembung direbus, diambil isinya dan ditumbuk.
  2. Kelapa parut digoreng tampa minyak sehingga sedikit kuning kemudian ditumbuk.
  3. Bawang merah ditumbuk halus. Serai perlu dihiris nipis dahulu sebelum ditumbuk juga.
  4. Masukkan semua bahan dalam kuali. Perasakan dengan garam, gula dan lada hitam. 
  5. Goreng tanpa minyak sehingga agak kering. Angkat.
  6. Hidangkan nasi kerabu bersama sambal budu tumis, sambal kelapa serta ulam-ulaman seperti tauge segar, kobis atau timun yang diracik halus, Kacang panjang di potong bulat dan nipis atau ulam-ulaman yang lain. Jangan lupa keropok ikan atau keropok lekor dan telur masin.


Tip Masakan Komersial
  1. Jika anda menggunakan pewarna, anda boleh merenjis pewarna apabila nasi hampir masak. Jangan dikacau dahulu. Apabila nasi masak sepenuhnya barulah di kacau. Dengan cara ini, nasi kelihatan lebih cantik kerana tone warna daripada putih hinggalah kepada biru terang akan kelihatan.
  2. Kuantiti air bergantung kepada kualiti dan jenis beras. Pastikan anda tahu kuantiti air yang diperlukan untuk setiap beras yang anda gunakan.
  3. Sambal budu perlu dimasak sehingga pecah minyak. Apabila anda nampak minyak mula keluar dan terapung diatas sambal, barulah boleh dimatikan api. Sambal akan menjadi sedikit pekat. Jangan lupa rasa dan baiki keseimbangan garam dan gulanya semula.
  4. Rasanya kalau di pasar malam sekarang ni, tak ramai peniaga yang menggunakan sambal budu bersantan seperti ini. Cili kering pun tak ada. Biasanya hanya budu, cili padi, bawang, air asam atau limau kasturi yang ditumis bersama sedikit minyak.
  5. Sambal kelapa sering dipanggil serunding tetapi sebenarnya ia tak layak dipanggil serunding kerana bahan untuk serunding lebih kompleks lagi. Lebih sesuai dipanggil kelapa goreng sahaja.
  6. Sambal kelapa perlu digoreng dengan api perlahan. Kelapa parut mudah hangus. Jika menggunakan api yang besar, kemungkinan besar sebahagian kelapa akan hangus sebelum sempat mengering. Hasilnya sambal kelapa akan berbelang-belang dengan warna yang tak sekata.
  7. Satu lagi bahan yang penting untuk nasi kerabu adalah sambal cili. Ini untuk penggemar makanan pedas. Hanya tumbuk cili padi dan perasakan dengan gula, garam dan cuka. Gunakan sedikit air jika perlu. Boleh juga digantikan dengan sambal belacan.
  8. Kadang-kadang ada peniaga nasi kerabu menggantikan sambal cili dengan air lada sahaja. Biasanya mereka menggunakan cili api hijau atau merah yang dikisar dengan air yang banyak. Kemudian barulah diperasakan dengan garam, gula dan cuka. Cara ini lebih mudah disediakan jika membuat dalam kuantiti yang banyak. Kisar je dengan blender. 
  9. Untuk solok lada, daging salai, ikan goreng tepung dan lain-lain, mungkin lain kali baru cerita.