Selalunya dalam sebulan sekurang-kurangnya sekali saya akan membuat nasi berperisa. Nasi berperisa ni contonya nasi beriani, nasi minyak hujan panas, nasi arab, nasi tomato dan sebagainya. Bagaimanapun nasi seperti nasi lemak, nasi ayam juga termasuk dalam nasi berperisa tetapi dihidangkan dalam set berserta lauk yang tertentu.

Kali ini saya teringin pula menikmati nasi jagung. Daripada beberapa nasi jagung yang pernah saya rasa, saya dapati nasi jagung tidak mempunyai rasa rempah yang kuat atau tidak mempunyai rempah dan herba langsung. Ini mungkin kerana rasa manis jagung yang lembut dan aromanya juga tidak begitu kuat menyebabkan ia akan tenggelam jika menggunakan rempah yang terlalu banyak. Dibawah ini adalah Resepi Nasi Jagung versi saya yang saya olah supaya ketara rasa dan aromanya jagungnya dengan keserasian untuk dinikmati bersama Ayam Masak Merah.

Bahan-bahan untuk Resepi Nasi Jagung
4 cwn Beras
8 cwn Air
1 cwn Butiran Jagung Manis
½ bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
½ kiub Pati Ayam
¼ cwn Minyak Masak
2 cmt Garam

Cara membuat Nasi Jagung
  1. Cuci beras dan tuskan airnya.
  2. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan hiris sehingga wangi.
  3. Masukkan sedikit air dan kiub pati ayam, kacau hingga pati ayam larut.
  4. Masukkan garam dan butiran jagung seterusnya, masukkan beras, gaul rata hingga minyak menyaluti butiran beras.
  5. Pindahkan semuanya kedalam periuk nasi elektrik, masukkan air secukupnya dan tanak seperti biasa.
  6. Apabila air telah kering, gaul perlahan-lahan dan biarkan hingga ia masak sepenuhnya.
  7. Hidangkan sewaktu panas bersama lauk kegemaran.

Tip Masakan Komersial
  1. Setiap kali menggunakan resepi nasi saya, anda boleh menggunakan apa-apa jenis beras yang anda suka namun pastikan anda tau setepatnya kuantiti air yang diperlukan untuk menghasilkan nasi yang lembut dan gebu, tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras. Sebaiknya anda rujuk pada paket beras untuk sukatan yang betul. Setiap jenis beras, lain sukatannya. Kemudian barulah anda kurang atau lebihkan air untuk menepati selera anda sama ada mahukan nasi yang keras atau lembut.
  2. Seperti biasa, saya menggunakan beras herba ponni yang mempunyai butiran beras lebih kecil tetapi setelah masak, saiz nasinya sama seperti beras biasa kerana ia mengembang 3 kali ganda. Jadi sukatan airnya juga tiga kali ganda sukatan beras.
  3. Anda boleh menggunakan jagung segar ataupun sejukbeku, bagaimanapun pilihlah jagung yang mempunyai rasa yang manis. Jagung sejukbeku seperti yang digunakan dalam mix vege mempunyai rasa yang kurang manis. Jadi saya gunakan jagung sejukbeku untuk cup corn. Bukan itu sahaja, anda perlu pilih butiran jagung yang penuh kerana jika jagung dihiris ia mudah hancur jika ditanak bersama nasi. Jika anda menggunakan jagung segar, mungkin sedikit sukar untuk anda mengasingkan butiran jagung dari tongkolnya untuk mendapatkan butiran jagung penuh.
  4. Saya suka menggoreng beras bersama bahan tumisan kerana beras yang digoreng akan mengeluarkan aroma yang berbeza dan minyak yang menyaluti beras menjadikan nasi yang terhasil lebih cantik dan berderai. Bagaimanapun jika anda menggunakan beras basmathi yang cantik, proses ini tak perlu lagi.
  5. Setelah nasi masak, jangan lupa taburkan sedikit daun saderi dan bawang goreng untuk menambahkan lagi aroma. Ia juga akan memberikan sedikit warna untuk nasi jagung. Gunakan sebagai hiasan ketika di meja makan.