Hidangan nasi berperisa selalunya disajikan dalam majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin, hari raya atau sambutan-sambutan tertentu.  Ini menyebabkan ramai yang beranggapan nasi berperisa sukar dilakukan dan jarang menghidangkannya untuk keluarga dihari-hari biasa. Sebenarnya ia tidaklah terlalu sukar. Contohnya nasi hujan panas seperti ini boleh disediakan dalam beberapa minit sahaja. Bahan yang digunakan memang tidak banyak. Tiada masalah jika menyediakannya dalam kuantiti kecil dan lebih mudah menggunakan periuk nasi elektrik. Resepi nasi hujan panas dibawah menggunakan beras herba ponni iaitu beras yang lebih baik untuk kesihatan kerana kurang kanji, rendah karbohidrat sekaligus rendah kalori. Dalam tip masakan dibawah, saya akan menerangkan sedikit lagi mengenai beras herba ponni. Saya juga akan menerangkan kaedah dan tip penggunaan beras biasa dan beras basmathi dalam menyediakan nasi hujan panas.

Sebelum tu, jom kita dengar dulu lagu yang memang ditujukan khas untuk kaum wanita macam kita. Ada juga yang menghargai orang yang duduk didapur ye... Sila klik kalau nak rasa dihargai.


Bahan-bahan untuk Resepi Nasi Hujan Panas
2 cwn Beras Herba Ponni
5 ½ cwn Air
½ bj Bawang Besar (saiz sederhana)
2 ulas Bawang Putih
2 kuntum Bunga Cengkih
2 bj Buah Pelaga
1  kuntum Bunga Lawang
½  batang Kulit Kayu Manis
¼ cwn Susu Sejat
2 cmb Minyak Sapi
1 cmt Garam
Pewarna Merah, Kuning dan Hijau


Cara membuat Nasi Hujan Panas
  1. Cuci beras dan tuskan. Bawang besar dan bawang putih dihiris nipis.
  2. Panaskan minyak sapi dan tumiskan rempah-rempah, bawang putih dan bawang besar sehingga wangi.
  3. Masukkan bahan tumis dan semua bahan yang lain kecuali pewarna kedalam periuk nasi elektrik.
  4. Tanak nasi seperti biasa sehingga masak.
  5. Setelah nasi masak, titiskan pewarna 2 titis setiap warna di permukaan nasi pada kedudukan berasingan untuk setiap titisan.
  6. Jangan dikacau dahulu. Tutup periuk dan biarkan 15 minit.
  7. Setelah itu, barulah nasi digemburkan dan bolehlah dihidangkan.

Kalau rasa nasi hujan panas ni mudah sangat, jom belajar buat nasi beriani. Siap ada video lagi. Klik disini.

Tip Masakan Komersial
  1. Jangan menumis bawang sehingga perang kerana ia akan menyebabkan warna nasi menjadi lebih gelap dan kusam. Jadi, tumis sekadar untuk mengeluarkan bau wanginya sahaja. Jika membuat nasi yang sememangnya berwarna gelap seperti nasi beriani, tak mengapalah. Jika nasi minyak atau nasi ayam berwarna gelap, tentu tak elok rupanya.
  2. Saya lebih suka menggunakan minyak masak sahaja untuk menumis berbanding minyak sapi, mentega atau planta. Pilihlah mana yang anda suka kerana setiap satunya mempunyai rasa yang berbeza. Saya pilih yang lebih berkhasiat dan sesuai untuk keluarga saya.
  3. Setelah dititiskan pewarna, jangan terus dikacau kerana ia akan menyebabkan warna-warna itu bercampur. Jadi biarkan ia kering dahulu barulah dikacau. Jangan menggunakan terlalu banyak warna kerana warna asal nasi perlu dikekalkan. Nasi yang berwarna hanya lebih kurang 20% sahaja daripada keseluruhan nasi.
  4. Saya menggunakan warna merah yang digunakan untuk kek red velvet. Warna ini memang pekat berbanding pewarna hijau dan kuning dari jenama star brand. Hasilnya nasi saya menjadi terlalu merah. Jadi, kalau boleh gunakan pewarna dari jenama yang sama supaya dapat seimbangkan nisbah warnanya.
  5. Kalau ada daun pandan tu, masukkan la sehelai dua. Bau rempah tumis dan bau pandan memang sangat serasi. Aroma yang sedap boleh meningkatkan kualiti masakan.
  6. Beras herba ponni mempunyai saiz beras yang kecil tetapi boleh mengembang 3 kali ganda saiz asalnya. Jadi jika anda menggunakan beras ini, anda memerlukan air 3 kali lebih banyak dari isipadu beras. Ini bermakna, jika menggunakan 2 cawan beras, anda memerlukan 6 cawan air. Jika menggemari nasi yang lebih keras dan berderai, kurangkan penggunaan air.
  7. Beras biasa pula biasanya memerlukan air 2 kali ganda dari isipadu beras. Ertinya, 2 cawan beras memerlukan 4 cawan air. Beras biasa mempunyai banyak kanji jadi nasi akan menjadi terlalu melekit. Nasi yang cantik adalah nasi yang berderai dan tidak melekat. Jika menggunakan beras yang sangat berkanji seperti ini, saya cadangkan anda gorengkan beras ini bersama bahan tumisan setelah tumisan menjadi wangi. Goreng sehingga beras kering, dan hasilnya nasi hujan panas anda lebih berderai seperti menggunakan beras basmathi.
  8. Beras basmathi pula mempunyai ciri yang paling istimewa iaitu berasnya panjang. Ia juga menggunakan air yang paling sedikit dimana isipadu beras bersamaan dengan isipadu nasi. Lebihkan air untuk nasi yang lebih lembut. Beras ini juga sesuai digoreng dahulu seperti beras biasa untuk hasil yang lebih berderai.
  9. Nasi hujan panas menggunakan sedikit susu sejat untuk menjadikan ia sedikit lemak. Tak perlu susu pun tak mengapa asalkan kuantiti air perbaiki. Setiap kali mengubahsuai resepi, pastikan penggunaan air bersesuaian dengan kuantiti beras. Pastikan nasi tidak terlalu keras atau tak terlalu lembut.
  10. Soalan bonus : Jika saya masak nasi menggunakan beras herba ponni, beras biasa dan beras basmathi 1 cawan setiap satu secara berasingan, beras mana yang menghasilkan nasi yang paling banyak?