Kenapa saya tulis Resepi Nasi Dagang Kari Ikan Melayu hari ni? Begini ceritanya. Banyak surirumah yang berhajat sangat nak mencuba berbagai-bagai resepi hebat dan percuma di internet. Tengok gambar, memang menyelerakan. Bila tengok bahan-bahannya, terus patah semangat. Itu tak de. Ini tak de. Bahan tak dikenali, susah nak dapat dan macam-macam lagi. Akhirnya, masak yang sama je setiap hari.

Sebelum tu, apa kata anda bantu penyu ni dahulu semoga mereka tidak pupus. Tolong klik disini.
Itulah yang cuba saya elakkan dalam resepi saya. Saya berusaha menjadikan ia lebih mudah untuk anda dan lebih murah untuk kesenangan anda. Harapan saya agar lebih ramai berani mencuba resepi-resepi saya dengan segala peralatan dan bahan yang biasa ada dirumah anda.



Bahan untuk Nasi Dagang
2 cwn Beras
½ cwn Beras Pulut Hitam
5 cwn Air

Bahan untuk Kari Ikan Melayu
400g Ikan
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
200ml Santan Pekat
20 tangkai Cili Kering
1 cmb Serbuk Kari
½ btg Kulit Kayu Manis
2 bj Buah Pelaga
3 kuntum Bunga Cengkih
1 kuntum Bunga Lawang
1 kpg Asam Gelugur
½ cwn Minyak Masak
2 cwn Air
2 cmt Garam
½ cmb Gula


Cara membuat Nasi Dagang Kari Ikan Melayu
  1. Rendam beras pulut hitam semalaman.
  2. Cuci semua jenis beras bersama kemudian tanak seperti nasi biasa sehingga masak.
  3. Cili kering dijadikan pes dengan merendam sehingga lembut kemudian di kisar hingga halus.
  4. Kisar juga bawang besar, bawang putih dan halia hingga halus. Gaulkan bersama serbuk kari.
  5. Panaskan minyak masak dan tumiskan kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga naik bau.
  6. Masukkan bahan kisar dan masak hingga pecah minyak.
  7. Setelah pecah minyak baru masukkan air, asam gelugur dan sedikit santan.
  8. Masukkan ikan dan 50ml santan pekat kemudian renihkan sehingga ikan masak.
  9. Akhir sekali baru masukkan semua santan dan perasakan dengan garam dan gula.
  10. Hidangkan nasi dagang bersama kari ikan sewaktu panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Melayu bukanlah nama ikan tetapi nama kari yang sering dimasak oleh orang-orang Melayu di kampung. Berbeza dengan kari India, Kari Melayu lebih lembut rasa rempahnya kerana menggunakan sedikit sahaja rempah kari. Warnanya juga lebih cerah dan merah dengan penambahan cili boh.
  2. Apabila menumis bahan kisar, minyak tumis tidak akan kelihatan tetapi apabila dimasak lebih lama, minyaknya akan mula kelihatan semula. Inilah yang dianggap sebagai pecah minyak. Minyak akan terasing dari bahan tumis menjadikan bahan tumis lebih garing. Inilah salah satu rahsia masakan yang sedap.
  3. Kari India atau Melayu, kedua-duanya mestilah pekat. Kari India pekat kerana menggunakan banyak rempah tetapi kari Melayu menggunakan lebih banyak bawang. Penggunaan santan juga menjadikan kari Melayu lebih pekat.
  4. Saya tidak menggalakkan santan dimasukkan sekaligus kerana kebarangkalian santan akan mendadih lebih tinggi. Masakan yang pecah santan tidak cantik hasilnya. Kuahnya tidak licin dan halus.
  5. Dari segi rasa, kedua-duanya saya suka. Kedua-duanya pedas tetapi kepedasan rempah dan kepedasan cili jauh berbeza. 
  6. Saya menggunakan ikan tenggiri. Untuk nasi dagang, biasanya ikan tongkol digunakan. Anda boleh menggunakan apa-apa ikan yang anda suka. Jangan terlalu menghadkan jenis-jenis ikan yang sesuai untuk sesuatu masakan. Ini membuatkan masakan yang anda rancang tergendala. Kekurangan bahan bukanlah penyebab anda tak dapat mencuba sesuatu masakan.
  7. Dalam resepi diatas, saya tak memasukkan apa-apa sayuran tetapi sebenarnya saya menambah carrot macam kebanyakkan masakan saya yang lain. Anda pun eloklah gunakan mana-mana sayur yang ada. Ada orang nak marah ke kalau anda masukkan sayur-sayur yang pelik dalam kari anda? Abaikan je mereka. Konsep saya, makanan apabila dicampur dengan makanan, akan menghasilkan makanan juga. Berkenaan rasa, itu lain cerita. Yang penting berkhasiat.
  8. Kalau ada herba-herba sekeliling rumah yang sesuai dengan kari, bolehlah ditambahkan. Serai dan daun kari memang sesuai untuk masakan ini. Kalau tak ada, jangan pula bersusah-payah mencarinya. Jangan menyusahkan diri untuk sesuatu yang sepatutnya mudah. Gunakan apa yang ada dan jangan lupa untuk bersyukur kepada tuhan.
  9. Kebiasaannya, kesukaran mencari beras nasi dagang menyebabkan ramai surirumah tak mahu menghidangkan nasi dagang untuk keluarga. Ada juga yang tak pernah melihat atau dengar mengenai beras nasi dagang. Akibatnya, mereka sedikitpun tak mahu mencuba resepi nasi dagang.
  10. Beras pulut hitam mungkin lebih popular dari beras nasi dagang. Beras ini juga mudah dibeli dimana-mana termasuk di kampung terpencil. Jika anda tahu apa yang menjadikan beras nasi dagang, tentu anda boleh buat sendiri beras nasi dagang anda. Campurkan beras biasa dengan beras pulut hitam mengikut nisbah yang anda suka. Saya tidak sukakan nasi yang terlalu melekit jadi saya hanya menggunakan sedikit sahaja beras pulut hitam. Kalau nak cari beras pulut hitam pun susah, gunakan je beras pulut biasa.
  11. Nasi dagang banyak aksesorinya yang popular. Sebenarnya nasi dagang boleh dimakan dengan apa-apa lauk pun. Seperti yang saya pesan tadi, jangan jadikan ia suatu alasan. Nasi dagang dengan kari Melayu pun dah cukup. Nasi dagang jugak namanya.