Semua orang mahukan cara pantas untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya. Kalau boleh, sebut je terus dapat. Sebut je pasal bayaran, semua nak cara yang paling lambat. Kadang-kadang, saya pun tak paham. Barang mau baik, bayar mau murah. Banyak kali saya terkena. Sewaktu nak, macam-macam cekadak. Bila bayar asyik nak mengelak je. Dah puas beri muka, sampai satu tahap, tak nak bayar langsung. Mintak free tanpa syarat. Kalau saya ada ladang gandum untuk menjual kuih, saya tetap perlu keluarkan kos untuk menanam gandum dan memproses tepung. Sekali-sekala, cuba la buat sendiri nasi ayam cara pantas dan sedekahkan pada Jemaah masjid. Memang tak dapat duit. Penat keluarkan peluh lagi. Tapi sekurang-kurangnya anda akan dapat ilmu. Boleh belajar kira kos nasi ayam yang sangat murah ni. Pahala dah pasti. Lepas tu boleh la fikir-fikirkan tentang benda-benda yang pernah anda mintak free.


Kehadiran produk segera sekarang ni memang memudahkan. Jadi tak ada alasan untuk tidak masak untuk keluarga. Resepi Nasi Ayam Panggang Cara Pantas seperti ini bukan sahaja pantas, mudah tapi setanding dengan nasi ayam yang dijual di kedai. Padahal, usahawan nasi ayam memang guna kaedah ini. Satu jam dah siap. Kalau dapur teratur, lagi cepat la. Siap basuh pinggan lagi. Jadi kali ini, saya akan ceritakan sekali gerak kerja kaedah menyambil supaya timing sesuatu proses lebih teratur.



Bahan-bahan Resepi Nasi Ayam Panggang Cara Pantas.
¼ ekor Ayam
2 cwn Beras
1 bj Bawang Besar
4 Ulas Bawang Putih
1 inci Halia
3 cmb Minyak Masak
1 cmb Sos Tiram
1 cmb Sos Cili
2 cmt Kicap Manis
5 cmb Gula Pasir
3 cmt Garam
10 tangkai Cili Kering
1 cmt Cuka
1 kuib Pati Ayam
1 kuntum Bunga Lawang
1 bj Buah Pelaga
2 kuntum Bunga Cengkih
1 inci Kulit Kayu Manis (Kecil)
1 cmb Tepung jagung dibancuh dengan air menjadi larutan.
1.5L Air
Secubit Lada Hitam jika ada
Daun Sup jika ada
Tomato, Timun dan Salad



Cara Membuat Nasi Ayam Panggang Cara Pantas
  1. Panaskan 1.5L Air dan masukkan separuh hirisan halia dan ayam. Biarkan mendidih.
  2. Sementara menunggu air mendidih, bolehlah mencuci beras, kupas bawang dan sebagainya.
  3. Untuk sos, Kisarkan cili kering dan 1 ulas bawang putih sehingga halus. Masukkan dalam periuk dan didihkan. Tambah air jika perlu.
  4. Perasakan dengan garam, gula dan cuka dan masukkan air tepung jagung. Biarkan merenih. Tutup api apabila telah pekat berkilat.
  5. Untuk perapan ayam, tumbuk separuh lagi halia dan 1 ulas bawang putih dengan lesung batu hingga hancur.
  6. Tambahkan sos tiram, sos cili, 2 cmb gula, 1 cmb garam, semua kicap manis dan gaul rata.
  7. Keluarkan ayam yang direbus dan masukkan dalam pinggan. Biarkan tus sebentar.
  8. Sementara itu, untuk nasi, panaskan 2 cmb minyak masak, dan tumiskan ½ bj bawang besar yang dihiris nipis dan 1 ulas bawang putih.
  9. Setelah wangi, masukkan beras yang telah dibersihkan dan goreng beras sebentar sehingga air beras kering. Masukkan semuanya dalam periuk nasi elektrik.
  10. Masukkan air rebusan ayam secukupnya. Perasakan dengan 1 cmt garam dan ½ kiub pati ayam. Kacau rata dan tanak nasi seperti biasa sehingga masak sempurna. Jangan lupa kacau lagi apabila telah mendidih supaya kiub larut sepenuhnya.
  11. Untuk sup, panaskan 1 cmb minyak masak lagi dan tumiskan ½ bj bawang besar yang dihiris bersama kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawing, buah pelage dan bawang putih. Setelah wangi, masukkan semuanya kedalam air rebusan ayam selebihnya tadi.
  12. Perasakan sup dengan garam, gula, ½ kiub pati ayam dan lada hitam. Tabur daun sup jika ada dan ketepikan.
  13. Untuk ayam, sapukan bahan perapan ayam tadi rata-rata. Panggang atau bakar ayam didalam ketuhar atau terus diatas bara untuk mendapatkan warna dan kerangupan.
  14. Sementara menunggu nasi masak, sup mendidih, sos cili memekat dan ayam siap dipanggang, bolehlah memotong sayur-sayuran jika ada seperti salad, timun, tomato dan sebagainya.
  15. Hidangkan Nasi Ayam Panggang sewaktu masih panas.



Tip Masakan Komersial
  1. Saya tak sangka, menulis artikel mengenai Nasi Ayam Panggang, jauh lebih lama dari memasak nasi panggang itu sendiri. Sebenarnya, konsepnya senang saja. Pertama, anda perlu mengenalpasti apa yang paling lambat untuk masak. Bagi saya dah tentulah nasi dan kemudian baru ayam. Bagaimanapun tanpa air dari rebusan ayam, kita tak dapat masak nasi.
  2. Set nasi ayam termasuklah nasi, ayam, sup, sos dan sekarang ni semakin banyak saya perhatikan, mereka menambahkan kicap. Sayur juga tak boleh diabaikan. Nanti dalam tip yang lain, saya ceritakan bagaimana mendapatkan kicap untuk nasi ayam ini tanpa menambahkan bahan lain.
  3. Nasi untuk nasi ayam asalnya hanyalah nasi berperisa dan wangi yang dating dari tumisan bawang merah dan bawang putih. Kini ada yang menambahkan rempah 4 sekawan, daun pandan dan macam-macam lagi menjadikan ia lebih menyerupai nasi minyak. Lepas tu tulis signboard besar-besar “Nasi Ayam Ori” hahahha
  4. Pastikan anda menyukat air untuk beras dengan betul. Gunakan cawan penyukat lebih baik. Apabila menggunakan air rebusan yang panas, proses menyukat menjadi lebih bahaya. Pastikan anda mengambilkira faktor-faktor keselamatan.
  5. Saya tak menumis bawang besar, bawang putih dan rempah sekaligus untuk dimasukkan kedalam sup sebelum air itu digunakan untuk menanak nasi kerana saya tak mahu rasa rempah dalam nasi saya. Kalau menumis sekaligus lebih cepat namun cuba anda bayangkan, sewaktu menjamu selera anda akan menambahkan sup ayam yang sememangnya telah pun ditambahkan dalam nasi sewaktu memasak. Tak ada maknanya. Jadi, biarlah sup dan nasi mempunyai rasa berlainan. Bila dicampurkan, menghasilkan rasa yang berlainan pula.
  6. Saya menggunakan kaedah merebus untuk memasak ayam kerana bagi saya, merebus ayam lebih cepat dan tak perlu banyak perhatian. Ayam yang telah direbus sangat mudah pecah apabila diangkat. Oleh itu saya nasihatkan, jangan potong ayam terlalu kecil. Kalau ada periuk besar, lebih baik dibiarkan dalam potong ¼ atau tak perlu potong langsung.
  7. Bila menyapukan bahan perapan kepada ayam, sebaiknya disapukan dengan sudu. Kalau digaulkan, sudah tentu ayam akan pecah. Letakkan diatas dulang dan sapukan menggunakan sudu bahagian atas dan bawah. Terus dibakar didalam oven.
  8. Selain itu, merebus ayam terlebih dahulu dapat mengelakkan ayam menjadi kecut apabila dimasak. Air rebusan juga boleh digunakan untuk nasi dan sup. Selain cepat dan tak perlu banyak perhatian, merebus ayam dapat mengelakkan isi ayam menjadi kering. Namun rasa ayam yang berkurang perlu disesuaikan dengan perapan yang pekat dan kuat rasanya.
  9. Ayam yang dibakar diatas bara lebih baik kerana aroma asap dan suhu yang panas maksimum menyedapkan dan mempercepatkan proses memasak. Warnanya juga lebih cantik dan asli. Menggunakan oven, lebih mudah dengan haba sekata namun untuk mendapatkan warna dan kegaringan yang betul memerlukan masa yang panjang. Paling cepat untuk mendapatkan warna yang cantik, kulit yang garing adalah dengan membakar terus diatas api dapur gas. Hahahah lepas tu berserabut la dapur anda.
  10. Jika menggunakan oven, letakkan ayam diatas dulang yang dapat menakung air. Setelah masak, kumpulkan air ini dan campurkan dengan lebihan bahan perapan ayam dan masak semula didalam kuali. Jika perlu tambahkan air dan perasakan semula. Ini menghasilkan kicap untuk nasi ayam yang betul-betul berperisa. Tak de la rasa buruk macam kicap yang dijual kat gerai-gerai tu.
  11. Sup nasi ayam yang dijual digerai-gerai, memang sangat simple. Hanya sup cair dan ditaburkan sedikit bawang goreng dan daun sup. Sekarang ni, dengan kenaikan harga barang, bahan tabur pun dah diabaikan. Jika anda berkemampuan, bolehlah tambahkan kentang atau lobak merah. Menambahkan sayuran dalam sup memberikan rasa vegetable seasoning yang lebih sedap.
  12. Sos nasi ayam yang saya paparkan memang sangat simple. Jadi anda perlu tahu seimbangkan rasa garam, gula dan asam untuk mendapatkan sos nasi ayam yang betul. Saya sukakan sos yang manis. Jarang saya jumpa sos cili nasi ayam yang manis. Maklumlah harga gula sangat tinggi sekarang ni. Warna sos cili tak perlu begitu merah. Tambahkan air lagi supaya ia menjadi lebih jernih. Air tepung jagung akan memekatkannya menjadi warna seperti sos cili thai. Yang penting, ia mesti berkilat. Tambahkan beberapa biji cili api untuk menjadikan ia lebih pedas tanpa menjadikan ia lebih merah. 
  13. Walaupun memang banyak produk segera untuk memudahkan membuat nasi ayam, saya hanya menggunakan pati ayam sahaja kerana untuk mendapatkan rasa ayam yang pekat, memerlukan banyak masa. Dengan adanya pati ayam, walaupun ayam sedikit, masih boleh membuat nasi ayam yang sedap. Tak perlu menyediakan tulang ayam untuk sup.
  14. Apabila menghidang ayam, sebaiknya ayam dipotong dahulu kemudian dicurahkan sos-sos yang ada untuk memberikan lebih banyak rasa dalam isi ayam. Tak akan ada yang perasan jika ayam telah direbus terlebih dahulu dan rasa kemanisan ayam telah berkurangan kalau anda tak beritahu!
  15. Selama ni kalau saya beli nasi ayam, dah tentu ayamnya telah sejuk kaku tergantung dalam cermin. Apa kata kali ni anda jual nasi ayam yang panas ayamnya. Bila pelanggan pesan, baru dipanggang diatas bara. Ayam yang dah direbus, tahan lebih lama. Siapa tak suka hidangan panas oii!