Nasi Ambeng sering dihidangkan ketika majlis kecil-kecilan seperti tahlil dan doa selamat. Oleh kerana aksesorinya yang ada beberapa jenis menyebabkan ramai surirumah memilih untuk memasak lauk-pauk yang lebih cepat dan mudah. Padahal, sama je. Bukan banyak pun pelengkap nasi ambeng ni. Selalunya ada lauk ayam, sambal jawa, serunding, mi goreng dan ikan masin. Nak lebih pun boleh tapi kena la kerja lebih sikit.

14 Annoying Pranks Our Older Siblings Played On Us Just Because They Could

Bila rumah saya dikunjungi tetamu, inilah masanya untuk saya menguji keupayaan diri memasak nasi ambeng. Masa yang saya peruntukkan adalah 1 ½ jam. Semuanya dibuat dari bahan asas dan belum dibersihkan. Bawang pun belum dikupas. Berpeluh juga la bila tiba-tiba ketika memasak sambal jawa, gas memasak boleh habis pula. Spoil betul la. Tapi semuanya berjalan lancar dan hidangan semuanya tersedia 5 minit sebelum masa tamat. Beginilah ceritanya bermula. Saya selesai membeli barang dapur pada pukul 5 petang. Jadi saya mesti selesaikan sebelum pukul 6.30 petang.



Bahan-bahan untuk Nasi
1 ½ Cawan Beras Herba Ponni
Daun pandan jika ada
4 ½ cawan air

Bahan-bahan untuk Sambal Jawa
3 keping Tempe
4 keping Tauhu Keras
2 Keping Tauhu Kering
20g Suhun
2 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 bj Cili Merah
1 cmb Kicap Manis
1 cmt Sos Tiram
Minyak Masak untuk menumis


Bahan-bahan untuk Serunding Kelapa
1 bj Kelapa Parut
3 bj Cili Kering
½ inci Kunyit Hidup
1 cmt Udang Kering
2 cmt Ketumbar
1 cmt Jintan Manis
3 cmb Gula Pasir
2 cmt Garam

Bahan untuk Ungkep Ayam Berempah
1 ekor Ayam dipotong 10
2 btg Serai
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
½ inci Kunyit Hidup
1 inci Halia
1 cmb Ketumbar
1 cmt Jintan Manis
Asam Gelugur atau Asam Jawa atau Jus Limau
Minyak Masak untuk menumis
2 cmb Gula Pasir
3 cmt Garam

Bahan-bahan untuk Mi Goreng Biasa
1 kg Mi Kuning
10 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
Sedikit ikan bilis atau udang kering
1 cmb Sos Tiram
2 cmb Kicap Manis
Sawi atau sayur-sayuran lain yang sesuai.
2 cmt Garam
2 cmb Gula Pasir
Minyak Masak untuk menumis.

Bahan Lain
Minyak masak yang banyak untuk menggoreng tauhu dan tempe
Ikan Masin Bulu Ayam



Cara membuat Nasi Ambeng Satu Setengah Jam
  1. Panaskan minyak masak yang banyak. Sementara menunggu minyak panas, saya rendam tauhu kering, dan suhun. Dapat la mengupas beberapa biji bawang dan bawang putih.
  2. Dadu tauhu keras kepada 12 bahagian. Dan terus digoreng dalam minyak panas. Sementara menunggu tauhu masak, saya teruskan mengupas bawang, halia, kunyit.
  3. Setelah tauhu keperangan, angkat dan tuskan. Teruskan dengan menggoreng tempe yang telah didadu lebih kurang sama saiz dengan tauhu. Ada lagi persediaan yang perlu di sediakan seperti serai, cili. Sempat juga mencuci beras.
  4. Setelah tempe rangup, angkat dan tuskan bersama tauhu. Kurangkan minyak menjadi ½ cawan sahaja. Gorengkan pula ikan masin bulu ayam. Ikan ni cepat masak, jadi tak dapat nak buat benda lain sangat selain membersihkan sampah-sampah seperti kulit bawang, bungkusan tempe dan lain-lain.
  5. Lepas goreng ikan masin, gunakan minyak yang sama untuk menumis bawang merah, bawang putih yang dihiris sampai wangi. Masukkan sos tiram, kicap, dan perasakan dengan garam. Terus masukkan tauhu kering. Masukkan air supaya tauhu cepat kembang. Sementara tauhu kering kembang, sempat masak nasi sebab beras dah cuci tadi.
  6. Masukkan tauhu, tempe, suhun dan cili merah. Gaul rata dan rasa dan sesuaikan rasanya. Kecilkan api dan biarkan sambal jawa kering sedikit.
  7. Sementara tu kisarkan semua bahan untuk serunding kecuali kelapa menggunakan air yang paling minimum. Masukkan semuanya dalam kuali dan gaulkan dengan kelapa. Buka api sederhana dan teruskan mengacau. Perlu sentiasa dikacau supaya tidak hangus. Sambal jawa dah siap, boleh tutup api dan pindahkan dalam mangkuk hiding. Bersihkan kuali sebab nak guna untuk ayam pula. Buat cepat-cepat dan jangan lupa serunding perlu dikacau sentiasa.
  8. Tutup api serunding selepas 10 minit. Biarkan dalam kuali untuk ia menjadi kering dan wapnya tersejat. Terus kisar bahan ungkep ayam berempah iaitu, bawang besar, bawang putih, kunyit, halia, cili kering, serai, ketumbar dan jintan sampai halus. 
  9. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana, tumiskan bahan kisar untuk ayam hingga garing dan wangi. Sempat lagi mencuci ayam dan dibuang semua kulit dan organ dalamannya. Selepas wangi, masukkan ayam, perisakan dengan garam, gula dan asam. Kecilkan api sedikit dan tutup kuali supaya ayam menjadi empuk.
  10. Mula mengisar bahan untuk mi goreng pula iaitu bawang besar, bawang putih, lada kering, dan ikan bilis atau udang kering jika ada.
  11. Panaskan minyak masak, dan tumiskan bahan kisar. Selepas ia garing, masukkan kicap, sos tiram, sos ikan, garam dan gula. Masukkan mi kuning dan batang sawi, gaul rata. Masukkan air jika perlu untuk mi yang lebih lembut. 
  12. Mi goreng dan ayam digaul bergilir-gilir. Bila air ayam dah keluar, besarkan api dan gaul lebih pantas untuk mengeringkannya. Begitu juga dengan mi. Setelah rasanya sesuai bolehlah ditutup ai kedua-duanya. Jangan lupa tutup suis periuk nasi elektrik. Dah lama masak tu….
  13. Sebelum dihidangkan, panaskan semula serunding. Pada ketika ini serunding telahpun menjadi lebih kering dan berderai. Kacau sedikit sahaja lagi supaya ia menjadi lebih kering dan sesuai untuk nasi ambeng.
  14. Ada sedikit lagi masa, bolehlah mula mencuci dan mengemas.



Tip Masakan Komersial
  1. Faktor utama yang perlu dititikberatkan sekiranya memasak berbagai hidangan dalam masa yang terhad adalah pengurusan masa. Untuk ini, kita perlu tahu jangkamasa memasak untuk setiap hidangan. Bukan itu sahaja, masa penyediaan juga kita perlu tahu seperti mengupas bawang, menggoreng tauhu dan tempe dan lain-lain. Kita juga perlu mengenalpasti bahagian mana yang memerlukan perhatian lebih dan mana yang kita boleh abaikan contohnya serunding mesti selalu dikacau dan ayam boleh ditinggalkan sebentar.
  2. Setelah kita mengetahui tempoh masa setiap hidangan, barulah kita boleh menguruskan masa dengan betul. Kita boleh mengetahui hidangan mana perlu disediakan dahulu. Penyediaan bahan yang mana perlu dibuat dahulu. Contohnya tauhu kering perlu direndam sekurang-kurangnya ½ jam jika kurang daripada itu, kita perlu renihkan diatas api untuk ia menjadi lembut.
  3. Akhir sekali barulah kita mencari penyelesaian bagaimana supaya proses memasak menjadi lebih mudah. Contohnya ayam ditutup supaya ia lebih cepat empuk. Serunding dibiarkan mengering sendiri tanpa api kerana ia tidak memerlukan banyak perhatian. Jadi masa yang ada ini dapat dipenuhi dengan membuat masakan yang lain.
  4. Saya memerlukan dapur dengan 2 tungku untuk memasak nasi ambeng ini. Kalau ada lebih banyak tungku, kerja saya akan menjadi lebih cepat. Saya hanya perlu menyediakan semua bahannya terlebih dahulu barulah semuanya dimasak serentak. Saya pernah mencubanya dan setakat ini tak de pula tersalah letak bahan atau terlupa sesuatu bahan dalam sesuatu masakan.
  5. Saya suka menggunakan beras herba ponni kerana ia kurang karbohidrat. Mungkin harganya lebih mahal tetapi mengikut perkiraan saya hasilnya lebih kurang sama kerana 3 cwn beras menghasilkan 12 cwn nasi manakala beras biasa 4 cwn beras menghasilkan 12 cwn nasi. Beras habis boleh dibeli, kesihatan habis, memang tak de jual.
  6. Ada berbagai resepi sambal jawa yang pernah saya rasa. Setiap orang lain seleranya. Ada yang memang suka sambal tumis jadi sambal jawanya menggunakan cili boh yang banyak. Ada yang tak suka kicap jadi warnanya cerah sahaja macam sayur tumis. Ada juga yang menggunakan santan. Walaupun sedikit sahaja digunakan untuk memberi rasa lemak, tetapi selagi boleh dikurang, kurangkan lagi. Apapun sambal jawa yang anda suka, cubalah banyakkan lagi sayur-sayuran seperti kacang panjang, peria, terung, lada benggala dan sebagainya. Saya tak letak semuanya sebab nak simpan untuk menu keesokkannya.
  7. Nasi ambeng berasal dari masyarakat Jawa di Johor. Biasanya mereka memilih ayam masak kicap atau ayam masak ungkep dalam penyediaan nasi ambeng. Sekarang ni ramai peniaga yang menjual nasi ambeng dengan kari ayam, ayam masak merah dan rendang ayam. Mungkin mereka menggunakan apa sahaja lauk ayam yang ada untuk nasi ambeng untuk memudahkan kerja memasak. Semuanya sesuai namun perlulah diingat, nasi ambeng adalah menu warisan negara kita jadi keaslian haruslah diutamakan.
  8. Saya menggunakan ayam masak ungkep tetapi kali ini saya menambahkan sedikit rempah untuk memberikan rasa seperti rendang. Barulah berselera sikit. Ayam ungkep lebih ringkas. Anda boleh membaca resepi saya mengenai ayam masak ungkep dalam link ini.
  9. Mi goreng untuk nasi ambeng bolehlah dikategorikan sebagai seringkas-ringkas mi. Biasanya hanya bahan kisar dan kicap sahaja. Tapi sebab di rumah saya memang ada sos tiram, saya letaklah sikit. Kalau ada sos ikan dan lain-lain sos yang sesuai, boleh lah diletakkan. Saya juga menggunakan sawi yang banyak kerana dalam nasi ambeng saya, terlalu kurang sayuran hijau. 
  10. Kalau anda suka sayuran, bolehlah ditambah sayur tumis seperti kobis, sawi dan sebagainya. Selalunya hanya masakan kering sahaja digunakan dalam nasi ambeng untuk memudahkan membungkus. Maklumlah, orang dulu bungkus dengan daun pisang. Kalau berkuah, masalah pula nak bawa pulang.
  11. Nasi ambeng sepatutnya dihidang di dalam dulang dimana dulang yang dialas daun pisang di letakkan nasi hingga penuh. Kemudian sekeping lagi daun pisang diletakkan diatas nasi. Kemudian barulah lauk pauk diletakkan diatas daun pisang yang kedua. Biasanya nasi ambeng didalam setiap dulang adalah untuk 4 orang tetapi porsinya seperti untuk 20 orang. Kenapa banyak sangat ye. Nasi ambeng bukanlah untuk dimakan di majlis. Selepas nasi ambeng dihidang, ia hanya dicicipi sahaja. Maksudnya setiap orang hanya merasa sedikit sahaja kemudian ia akan dibahagikan kepada 4 dan dibungkus untuk dibawa pulang. Sebab itulah porsinya banyak. Jadi masyarakat bukan sahaja dapat berinteraksi di majlis malah mereka juga dapat makan bersama keluarga di rumah.
  12. Setakat ini belum pernah saya jumpa nasi ambeng dihidang bersama ikan masin selain dari ikan bulu ayam. Ikan bulu ayam adalah ikan masin yang paling berbaloi kerana harganya, rasanya dan teksturnya yang menjadi kegemaran semua. Anda boleh menggorengnya begitu sahaja atau di salut dengan tepung untuk kerangupan yang tahan lebih lama. Kalau tak sukakan ikan yang terlalu masin, bolehlah direndam dahulu dalam air.
  13. Serunding akan tahan lama melebihi sebulan tanpa peti ais jika ia cukup kering. Jadi anda boleh menyediakan lebih awal dan dimasak perlahan-lahan. Saya tak ada masa sebanyak itu jadi terpaksa lah saya sediakan pada masa itu juga. Tahap kekeringan bergantung kepada jenis kegunaan serunding itu. Jika untuk pulut panggang, cucur badak, anda tak perlukan serunding yang kering. Bukan tak boleh tetapi ia hanya membuang masa. Jika untuk nasi ambeng, kekeringannya sederhana. Manakala untuk jenis-jenis kuih yang tahan lama seperti popia mini, anda memerlukan yang betul-betul kering.