Beberapa hari ni asyik masak masakan bersantan je. Kenapa? Sebab saya banyak santan. Bila habis santan ni, berbulan baru dapat makan santan lagi. Sewaktu membeli belah di pasar, anak saya nampak nangka muda yang dah dibelah dan dibuang kulitnya. Saya tanya dia, kita masak sayur ni hari ni nak tak? Dia kata apa tu? Terpaksa la saya bagi kuliah ringkas. Pelik pulak dia bila nangka warna putih. Selalunya yg dia nampak isinya warna kuning. Tambah lagi masa kuliah. Lepas tu dia kata, tak pernah rasa nangka muda. Nampak sangat penipunya. 


Nangka muda masak lemak antara hidangan popular di majlis perkahwinan terutama di kampung-kampung suatu ketika dahulu. Cuma sekarang ni je kalau pergi mana-mana majlis, mesti nasi beriani, nasi minyak, ayam masak merah, kari, dalca. Nak makan pun muka dah seposen. Pegi rumah india makan tu, rumah cina makan tu. Rumah melayu dah memang pasti.



Bahan-bahan untuk Resepi Nangka Muda Masak Lemak.
500g Nangka Muda
1L Santan (1 bj Kelapa)
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
4 bj Cili Padi Merah
10 ekor Ikan Bilis
2 cmt Serbuk Kunyit
1 helai Daun Kunyit
2 cmb Minyak Masak
3 cmt Garam
Air jika perlu



Cara membuat Nangka Muda Masak Lemak
  1. Nangka muda yang telah di buang kulit dan empulurnya di potong dadu besar-besar lebih kurang 1 – 1.5 inci.
  2. Rebus nangka dengan air yang banyak sehingga empuk kemudian tuskan airnya. Ketepikan.
  3. Tumbuk kasar cili api, bawang besar, bawang putih dan ikan bilis.
  4. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan tumbuk hingga layu.
  5. Masukkan semua bahan lain iaitu santan, serbuk kunyit, garam, daun kunyit dan nangka muda yang telah direbus serta air jika perlu hingga meliputi seluruh nangka.
  6. Kacau sentiasa supaya tidak pecah santan hingga mendidih.
  7. Kecilkan api dan biarkan merenih 10 – 15 minit lagi untuk nangka sebati rasa dengan kuahnya.
  8. Rasa dan seimbangkan rasa garamnya dan Nangka Muda Masak Lemak sedia untuk dihidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Memang jarang saya masak nangka muda walaupun di kampung banyak pokok nangka. Yang paling saya rimas adalah waktu memproses dan membersih kerana getah nangka betul-betul mengganggu. Habis semua peralatan terkena getah dan sukar dibersihkan. Biasanya saya akan menyapu perlatan yang terkena getah termasuk tangan sendiri dengan minyak masak. Kemudian saya akan gosok dengan berus periuk sampai semua getah tertanggal. Lepas tu baru dicuci dengan sabun macam biasa. 
  2. Kat bandar ni saya cari nangka yang dah siap dibelah dan dibuang kulitnya. Kurang sikit masalah getah. Lagipun, nangka ni besar. Memang tak habis nak makan kalau beli sebiji. Itu sebabnya masakan ini popular di majlis kenduri. Masak sebiji dua dah cukup untuk kenduri kecil-kecilan. Kelapa pun banyak. Kutip je keliling rumah.
  3. Biasanya bila saya menggunakan sebiji kelapa, saya asingkan santan perahan pertama yang pekat kemudian baru perah lagi untuk mendapatkan santan cair. Santan cair dimasukkan dahulu hingga kuah mendidih. Sebelum tutup api baru masukkan santan pekat. Terus tutup api sebaik sahaja kuah mula mendidih. Kaedah ini lebih baik untuk mengurangkan risiko pecah santan. Tak perlu la kacau kuah sepanjang masa. Dapat la buat kerja lain sementara tunggu mendidih.
  4. Jarang sekali saya masak lemak menggunakan daun kunyit. Hanya masakan tertentu sahaja saya gunakan daun kunyit kerana bau dan rasanya sangat kuat. Nangka masak lemak, saya dapati mempunyai rasa yang sesuai digandingkan dengan daun kunyit. Jadi kalau ada, saya akan letak sedikit. Kalau tak ada pun tak mengapa.
  5. Nangka muda tidak mempunyai rasa yang kuat. Setelah direbus, rasa nangka akan menjadi lebih tawar. Oleh itu adalah penting untuk menambahkan sedikit rasa dalam kuahnya. Saya menggunakan ikan bilis. Anda juga boleh menggunakan udang kering atau stok. Nangka akan menyerap rasa kuah menjadikan ia lebih sedap.
  6. Nangka muda perlu direbus terlebih dahulu kerana ia lambat empuk. Walaupun dah dipotong kecil, masih memerlukan masa 30 hingga 60 minit untuk memastikan ia cukup empuk. Nak potong terlalu kecil memang tak sesuai kerana isinya akan pecah dan bijinya akan bertaburan. Tak seronok nak makan nangka yang hancur macam tu. Rupa nangka pun tak de.