Pernah ke makan muffin yang tak manis? Mungkin tak ramai yang tahu, dalam masakan barat terdapat muffin yang tak semestinya manis. Ada muffin yang pedas, masin dan sebagainya. Muffin seperti ini termasuk dalam kategori savoury. Mungkin ada sedikit pelik ketika pertama kali mencuba namun akhirnya kita akan sedar muffin ini juga ada kelebihannya. Jika kita di Malaysia lebih gemar makanan bergoreng seperti jemput-jemput, cucur udang dan lain-lain, masyarakat barat lebih gemar menggunakan kaedah bakar. Jika jemput-jemput, kita gemar menggabungkan berbagai-bagai bahan seperti ayam, daging atau sayuran, begitu juga dengan muffin. Mungkin ada baiknya anda cuba segala jenis masakan untuk menambah ilmu didada.

Sebelum mulakan buat muffin, sila pasang lagu dulu. Baru mood muncul. Kalau tak de lagu, bukak #DGDeezer. Banyak lagu boleh dengar. (Klik disini) Nasib baik boleh menang Freebies!


Resepi Muffin Sosej dan Keju.
280g Tepung Gandum Pelbagai Guna
2 bj Telur A
250ml Susu Cair
85g Mentega
1 cmt Baking Powder
3 btg Sosej Ayam/Daging
140g Keju Cheddar
Secubit Garam dan Lada Sulah


Cara membuat Muffin Sosej dan Keju
  1. Cairkan mentega diatas api. Sosej dicincang kasar. Keju cheddar diparut kasar.
  2. Didalam mangkuk adunan, campurkan tepung gandum, baking powder, garam dan lada sulah. Gaul rata.
  3. Kemudian barulah dimasukkan keju cheddar dan sosej. Gaul rata kemudian buatkan satu lubang ditengah-tengah.
  4. Didalam bekas yang lain, pukul telur sebentar sahaja untuk mencapurkan telur kuning dan putih.
  5. Campurkan susu, mentega dan telur bersama. Kacau.
  6. Tuangkan seluruh cecair kedalam bahan kering. Kacau rata sekadar untuk mencampurkan bahan sahaja.
  7. Bahagikan adunan kepada 12 bahagian dan masukkan dalam cawan muffin yang besar.
  8. Bakar dalam oven dengan suhu 180˚C selama 15 – 20 minit sehingga permukaannya kekuningan dan kering.
  9. Setelah masak, sejukkan sebentar dan hidangkan ketika suam.


Tip Masakan Komersial
  1. Untuk mencairkan mentega, panaskan mentega didalam periuk atau kuali terus diatas api sambil dikacau. Apabila separuh mentega telah cair, matikan api. Periuk masih panas walaupun api telah dimatikan, jadi teruskan mengacau sehingga semua mentega cair. Kaedah ini supaya cecair dalam mentega tidak hilang dan hanya meninggalkan minyak sahaja.
  2. Jika anda menggunakan keju cheddar jenis slice, anda boleh potong keju menggunakan pisau. Biar kasar sedikit kerana keju akan cair apabila dibakar. Boleh juga menggunakan keju-keju yang lain terutamanya keju yang keras dan tak mudah cair.
  3. Ciri asas muffin adalah ia mestilah mudah dan cepat disediakan. Jadi ia tidak gebu seperti cupcake. Menggaulkan bahan basah dan bahan kering juga perlu dilakukan perlahan-lahan tetapi perlu sebati dalam masa yang pantas. Tak boleh terlebih kacau. Cukup dalam hanya 10 hingga 12 kali kacau sahaja. Tak perlu risau jika ada beberapa bahagian masih tepung yang kering atau ada cecair lagi yang belum bersatu. Itulah yang sepatutnya. Terlebih kacau menyebabkan muffin menjadi liat dan kenyal.
  4. Banyak lagi bahan yang boleh digunakan untuk mempelbagaikan rasa muffin ini. Saya rasa, apa sahaja bahan yang sesuai ditabur diatas roti pizza ringkas, juga sesuai untuk muffin ini. Boleh juga menggunakan bahan-bahan dari masakan tempatan seperti ikan bilis, bawang dan sebagainya. Bijirin seperti jagung juga sayur campuran sejuk beku juga sesuai. Gunakanlah apa yang anda suka. Suatu hari nanti anda akan menemui savoury yang memuaskan hati anda.
  5. Kalau guna inti untuk muffin ini juga adalah suatu idea yang baik. Kalau boleh gunalah inti yang masin atau pedas. Kalau di Malaysia, kita popular dengan sambal tumis ikan bilis, serunding daging, rendang ayam kampung dan sebagainya. Cubalah salah satunya untuk menghasilkan muffin ala Malaysia.