Sengaja saya memaparkan resepi muffin asas lagi kerana kedua-duanya sangat jauh berbeza. Resepi muffin asas yang pertama lebih bersifat komersial dimana kos menghasilkannya sangat kecil dan tidak cerewet manakala resepi muffin asas kali ini lebih tinggi kosnya dan sesuai untuk surirumah yang hanya menghidangkan yang terbaik untuk keluarganya. Saya harap anda dapat membandingkan kedua-duanya dan ulaskan pendapat anda dalam kotak komen dibawah.

Bahan-bahan untuk Resepi Muffin Asas2
350g Tepung Gandum
20g Baking Powder
170g Gula Castor
160g Susu Segar
170g Mentega
5 bj Telur B
1 cmt Esen Vanilla

Cara Membuat Muffin Asas 2
  1. Ayak tepung gandum bersama baking powder dan ketepikan.
  2. Gunakan whisk tangan untuk memukul mentega dan gula castor sehingga kembang dan gebu.
  3. Masukkan telur sebiji demi sebiji dan diikuti dengan esen vanilla sambil terus dipukul.
  4. Setelah itu masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit sehingga habis.
  5. Akhir sekali tuangkan susu segar dan kacau sehingga sebati.
  6. Pada peringkat ini, anda boleh masukkan apa-apa perasa kegemaran, bijirin, coklat, kekacang, buah-buahan dan sebagainya.
  7. Sendukkan dalam acuan muffin. Masukkan inti jika suka.
  8. Bakar dalam ketuhar selama 15-20 minit dengan suhu 180˚C.

Tip Masakan Berguna
  1. Bila disebut muffin, teksturnya mesti tidak segebu kek. Jadi sewaktu menggaulkan kek dan susu, tidak perlu terlalu rata. Lebih elok jika masih kelihatan tepungnya. Begitu juga dengan susu.
  2. Muffin dengan resepi bukan komersial sedap walaupun tanpa bahan tambahan. Bagaimanapun tak ramai yang mahu muffin yang kosong. Sekurang-kurangnya mesti ada sedikit chocolate chip atau filling buah-buahan atau kekacang yang akan memberikan warna dan rupa yang menarik. Dengan tambahan bahan-bahan seperti ini, rasa asal muffin tidak dapat dikekalkan. Jadi dengan bahan tambahan, muffin dengan resepi komersial lebik baik malah menjimatkan kos.
  3. Mengawal kos dalam perniagaan makanan memang penting tetapi jika kita dapat mengurangkan kos tanpa mengurangkan citarasanya, itu lebih baik. Memang kita boleh menjual produk yang berkos RM1 dengan harga RM2 tetapi alangkah baiknya jika dapat menjual produk yang sama pada harga RM1.50. Asalkan rasanya sama seperti produk yang berharga RM2, pasti pelanggan akan berpuashati.