Sejak dahulu lagi saya dah sedar akan kebaikkan yogurt. Selain dari mendapat khasiat susu, yogurt mengandungi bakteria yang baik untuk penghadaman. Namun makan yogurt amat membosankan. Kalau bukan kerana khasiatnya, memang saya tak beli. Ramai juga kanak-kanak yang meminta ibubapa membelikan yogurt walaupun mereka tak memahami kebaikkan yogurt. Mungkin kerana pengaruh iklan. Mungkin juga kerana kemanisan dan kesejukkan yogurt berperisa dipasaran.


Bagi penggemar yogurt pula, harga sering menjadi masalah utama. Ada juga yang mempunyai anak ramai dan ingin memberikan khasiat yogurt kepada mereka tetapi untuk membeli yogurt dalam kuantiti yang banyak pasti membebankan. Cara yang paling baik supaya semua anak mendapat khasiat yogurt adalah dengan menjadikan yogurt sejenis minuman. Sebelum ini dapat makan seorang sesudu, setelah dijadikan minuman, setiap orang boleh dapat seorang segelas. Dan cara yang lebih baik lagi ialah dengan membuat sendiri yogurt dirumah kemudian dijadikan minuman. Saya harap setiap orang dalam keluarga tersebut dapat minum sepuas-puasnya dan inilah yang ingin saya ceritakan hari ini melalui Resepi Minuman Lassi Aneka Beri.



Bahan-bahan untuk Resepi Minuman Lassi Aneka Beri
½ cwn Yogurt Asli
2 Liter Susu Segar
¼ cwn Buah Strawberi
¼ cwn Buah Bluberi
¼ cwn Black Beri
¼ cwn Rasberi
Gula jika perlu.
Air atau susu secukupnya.



Cara membuat Minuman Lassi Aneka Beri
  1. Panaskan susu segar diatas api sederhana sehingga hampir mendidih lebih kurang 85˚C.
  2. Apabila mencapai suhu yang dikehendaki, kecilkan api untuk mengekalkan suhunya lebih kurang 15 minit.
  3. Setelah itu, matikan api, tutup periuk dan biarkan susu menyejuk lebih kurang 1 jam menjadi 43˚C.
  4. Setelah mendapat suhu yang dikehendaki, masukkan yogurt asli dan kacau rata.
  5. Tutup periuk kemudian bungkus dengan tuala supaya suhu susu dapat dikekalkan selama yang boleh. Biarkan pada suhu bilik 27˚C – 30˚C selama 4-5 jam.
  6. Yogurt sudah sedia untuk digunakan.
  7. Untuk membuat Minuman Lassi Aneka Beri, tak perlu saya memberikan penerangan panjang lebar. Masukkan aneka beri kedalam pengisar bersama 1 cwn yogurt atau seberapa banyak yang anda inginkan. Perisakan dengan gula dan cairkan sedikit dengan air atau susu. Kisar semuanya menjadi jus. Hidangkan sejuk bersama ketulan ais.



Tip Masakan Komersial
  1. Untuk membuat yogurt yang sedap, saya cadangkan anda menggunakan susu segar. Bagaimanapun susu UHT atau Pasteur juga sesuai. Anda juga boleh menggunakan susu rendah lemak namun hasilnya tak sebaik susu segar. Selain itu anda boleh menggunakan susu tepung bagaimanapun bancuhan susu perlulah mengikut sukatan yang terdapat pada label agar anda mendapat susu bancuhan yang setara dengan susu segar.
  2. Proses pemanasan susu mempunyai 2 tujuan. Pertama, untuk membunuh segala bakteria yang terdapat dalam susu. Senang cerita samalah fungsinya dengan Pasteur. Apabila kita melakukan proses yang melibatkan bakteria hidup, jadi kita kena pastikan ia tidak terganggu dengan bakteria lain yang tidak diperlukan. Kedua, pemanasan menjadikan protin susu lebih padat. Lebih kuranglah maksudnya menjadikan susu sedikit lebih pekat.
  3. Penggunaan yogurt adalah sebagai starter dimana bakteria hidup akan berkembang biak menjadi lebih banyak. Oleh itu yogurt yang digunakan perlulah mengandungi bakteria hidup. Biasanya pada paket yogurt ditulis mengandungi kultur hidup / probiotik. Tanpa kultur hidup, semua proses ini akan gagal.
  4. Kultur hidup juga boleh dibeli di kedai yang menjual additif makanan. Buka yellow pages dan cari food addictive. Mungkin terdapat dalam bentuk serbuk atau ketulan. Kalau untuk kegunaan sendiri, gunakan yogurt yang ada dipasaran sahaja sebagai starter.
  5. Proses membuat yogurt samalah seperti membuat roti atau tempe dimana suhu memainkan peranan penting. Suhu yang sesuai untuk pemeraman yogurt lebih kurang suhu badan kita iaitu 37˚C. Namun, takkanlah anda nak kepit yogurt berjam-jam. Saya hanya membungkus bekas berisi susu dengan tuala supaya suhunya kekal panas lebih lama. Anda boleh menggunakan flask tahan panas. Namun kadang-kadang suhu ini juga tak dapat dikekalkan lebih dari 2 jam. Alternatifnya anda boleh menggunakan lampu berfilamen sebagai sumber suhu. Letakkan susu berhampiran lampu dan suhu susu akan kekal panas lebih lama. Tak tau apa lampu berfilamen? Mentol bulat tu la. Bukan kalimantang atau LED.
  6. Sebenarnya banyak lagi cara untuk anda mengekalkan suhu susu untuk pemeraman sekiranya anda kreatif menggunakan peralatan disekitar anda. Contohnya jika anda mempunyai chocolate melting pot, oven yang mempunyai lampu berfilamen dan sebagainya. Hanya pastikan suhu diantara 30˚C – 40˚C dan ia baik untuk kultur hidup. Kalau anda tinggal di kawasan yang bersuhu seperti itu, mungkin anda tak perlukan apa-apa peralatan. Namun cara yang paling mudah ialah dengan menggunakan yogurt maker!
  7. Lebih lama yogurt diperam, ia akan menjadi lebih kental. Masa diantara 4-8 jam adalah yang terbaik. Itupun kalau anda dapat mengekalkan suhu untuk bakteria hidup. Setelah menadapat tekstur yang dikehendaki, yogurt perlu disimpan dalam peti ais untuk memperlahankan pembiakannya serta menambah jangka hayat yogurt. Didalam peti ais, yogurt boleh bertahan 1 hingga 2 minggu bergantung kepada kebersihan yang anda amalkan sewaktu proses membuat yogurt.
  8. Yogurt cara greek tidak banyak berbeza dengan yogurt biasa. Biasanya dalam proses membuat yogurt terdapat air yang terasing dari susu. Untuk membuat yogurt cara greek, anda perlu mengeluarkan air sebanyak mungkin dari yogurt ini. Tapis menggunakan kain maslin dan gantung 1 atau 2 jam hingga tiada lagi air yang menitis. Ini akan menghasilkan yogurt yang kering. Kita akan dapat rasa tekstur yang kesat sewaktu memakannya. Entah bagaimana, ramai yang menggemarinya. Untuk membuat Minuman Lassi Aneka Beri, proses ini tidak perlu. Macam mana nak minum kalai dah kering macam tu.
  9. Akhir sekali untuk penggemar froyo, tak perlu saya ceritakan panjang lebar lagi. Yogurt sudah ditangan. Perisakan sebagaimana yang anda suka dan sejukkan dalam peti ais sejuk beku. Tak pernah dengar apa itu froyo? Saya tak percaya!