Orang kata, kalau hujung bulan je makan mi segera. Maksudnya gaji belum keluar, duit tak de jadi cuma mampu makan mi segera. Namun kini mi segera bukanlah semurah yang disangka. Ada mi segera yang melebihi RM4 sebungkus. Makan sebungkus belum tentu cukup. Bagi saya, kalau harga mi macam tu, lebih baik makan nasi kat mamak. Ada juga mi segera yang murah yang tak sampai RM1. Bagaimanapun, saya lebih selesa memasak sendiri mi untuk keluarga saya supaya saya tahu setiap benda yang masuk dalam perut mereka. 


Resepi dibawah adalah resepi untuk membuat perencah mi segera perisa kari ayam. Berbagai cara untuk anda perisakan mi anda dan supaya ia mudah digunakan. Resepi dibawah adalah asas dan kemudian boleh anda simpan untuk digunakan sama seperti anda memasak mi segera. Bezanya semua bahan anda campurkan sendiri. Sebelum tu, mari kita tonton dulu demo masakan cara membuat mi telur dari anak bujang saya. Mi ini setara dengan mi segera di pasaran. Nanti saya ajarkan cara menjadikan ia kering dan boleh disimpan lebih lama.


Bahan-bahan untuk Resepi Mi Segera Sup Kari Ayam
1 cmb Serbuk Pati Ayam
1 cmb Serbuk Bawang Putih
½ cmt Serbuk Halia
2 cmb Serbuk Rempah Kari
2 cmt Gula Pasir
2 cmt Garam
1 cmt MSG jika suka.
1 Adunan Mi Telur yang boleh didapati dalam video diatas.



Cara membuat Resepi Mi Segera Sup Kari Ayam
  1. Sediakan mi telur yang siap direbus. Artikel lebih lengkap terdapat di Mi Telur Sup Cara Komersial
  2. Campurkan semua bahan-bahan yang lain kedalam pengisar kering dan kisar hingga sebati.
  3. Simpan perencah dalam bekas kedap udara untuk digunakan apabila diperlukan.
  4. Untuk membuat Mi Segera Sup Kari Ayam, sama seperti anda membuat mi segera biasa. Panaskan air dan masukkan 1 cmb perencah Sup Kari Ayam.
  5. Masukkan telur, cili dan sayur-sayuran jika suka.
  6. Akhir sekali masukkan mi telur. Renih seketika.
  7. Hidangkan serta merta untuk mengelakkan mi menjadi terlalu kembang.



Tip Masakan Komersial.
  1. Kebanyakkan mi segera yang ada di pasaran menggunakan bahan asas yang sama seperti ini untuk menghasilkan perencahnya. Anda boleh mengubahsuai sesuka hati anda bergantung kepada selera anda. Mungkin anda lebih suka rasa ayam yang kuat, maka lebihkan pati ayam. Lebihkan serbuk bawang putih jika anda sukakan rasa bawang putih tumis yang wangi seperti saya.
  2. Saya tak masukkan minyak dalam perencah diatas kerana minyak mengurangkan jangka hayat perencah ini. Bagaimanapun minyak menjadikan mi segera sup kari ayam ini lebih sedap. Tambahkan 1 cmt minyak masak dan gaul bersama bahan yang lain yang telah dikisar. Masukkan sedikit-sedikit hanya sekadar menjadikan perencah sedikit lembab. Jika berlebihan mengakibatkan perencah menjadi pes.
  3. Anda juga boleh menggunakan minyak berperisa yang lebih sedap. Jika anda penggemar mi segera, tentu anda pernah lihat bungkusan minyak yang berasingan dari perencah sup. Minyak ini adalah minyak tumisan bawang putih atau bawang merah. Cara membuatnya, tumiskan bawang putih atau bawang merah yang dihiris nipis sehingga garing. Tapis minyak dan biarkan sejuk. Boleh juga menggunakan minyak cili untuk rasa lebih pedas. Caranya adalah sama iaitu tumiskan cili boh hingga garing tapiskan dan sejukkan.
  4. Sentiasa sesuaikan dan seimbangkan garam dan gula dalam masakan anda. Jadi tak perlu ikut 100% resepi saya terutama yang melibatkan garam dan gula. Sentiasa percaya kepada selera anda sendiri dan minta saudara mara menilai keseimbangan garam dan gula pilihan anda.
  5. Perencah mi segera yang kedua popular adalah perisa ayam. Dengan kaedah yang sama anda boleh menghasilkan perencah yang berkualiti bezanya perencah mi segera perisa ayam tidak menggunakan serbuk kari. Gantikan serbuk kari dengan sedikit serbuk lada sulah.
  6. Mi segera yang mahal-mahal tu biasanya mengandungi sayur-sayuran terhidrat. Maksud terhidrat adalah, kandungan air dalam sayur-sayuran di keluarkan. Sebenarnya anda boleh membuat sendiri sayur terhidrat seperti ini sekiranya anda berminat mengeluarkan mi segera jenama anda sendiri. Terdapat sejenis mesin dehydrator yang memudahkan kerja-kerja mengeringkan sayur-sayuran. Jika anda menggunakan cahaya matahari untuk mengeringkan sayur-sayuran, ia akan menjadi gelap dan melecur. Dehydrator mengeringkan sayur-sayuran dengan tujuan mengekalkan warna, rasa dan sebahagian khasiatnya. Sayur boleh digunakan semula setelah direndam dalam air panas.
  7. Mi segera yang dijual kebanyakkannya telah dikeringkan dan hanya perlu direndam apabila mahu dimakan. Anda juga boleh membuat mi segera seperti ini. apa yang perlu anda lakukan hanya mengeringkan mi ini namun ada sedikit trick. Jika anda mahu memasak mi kering dengan cara merebus, anda hanya perlu mengeringkan mi setelah adunan mi di potong menjadi mi. Jika anda mahu memasak mi dengan kaedah merendam, anda perlu merebus dahulu mi sebelum dikeringkan. Di kilang mi segera, mereka menggunakan stim untuk memasak mi namun ini sedikit leceh untuk dibuat dirumah. Jadi anda rebus mi seperti biasa, tuskan dan lambakkan diatas dulang. Biar ia kering sedikit supaya bentuknya kekal dan tak melekat sesama mereka. Kemudian barulah di masukkan dalam acuan supaya elok bentukkan dan bakar dalam oven dengan suhu sangat perlahan lebih kurang 70C - 80C sampai kering dan keras.