Selalunya dikampung saya, ibadah korban tidak hanya dilakukan di surau dan masjid. Ada juga yang melaksanakannya di rumah sendiri. Bagi ayah saya yang menternak lembu kecil-kecilan, menyembelih lembu dirumah sendiri hampir setiap tahun. Ada juga pelanggan dari jauh yang datang membeli lembu dan datang cuma untuk mengambil dagingnya. Lebih mudah membawa daging lembu dari membawa lembu. Mujur orang kampung saya sangat bermuafakat dan bersama-sama membantu menyempurnakan ibadah korban ini. Setakat tiga atau empat ekor memang tak ada hal punya. Sebagai tuan rumah, adalah menjadi tanggungjawab untuk menyediakan juadah. Hari raya…. takkan tak ada makanan pulak. Orang kampung yang datang membantu bukan sedikit. Boleh mencecah sehingga 100 orang pada satu-satu masa. 20 orang mengerjakan lembu, selebihnya mengerjakan makanan. Cara paling baik untuk menjamu tetamu ramai begini adalah dengan menyediakan hidangan yang lengkap tetapi mudah disediakan dalam kuantiti banyak seperti mi rebus. Hanya kuahnya sahaja yang perlu dimasak dengan teliti. Yang lain cuma tabur je. Tak de la asyik makan mihun goreng je. Bagi yang tak dapat mengerjakan ibadah korban beramai-ramai begini, anda boleh melaksanakan ibadah korban secara online (klik). Hanya perlu tempah kuantiti bahagian lembu yang diperlukan dan emailkan nama-nama peserta korban.


Bahan-bahan untuk Kuah Mi Rebus
1.5L Stok Rebusan Tulang Lembu
5 bj Bawang Merah
1 inci Lengkuas
1 inci Kunyit Hidup
1 cmb Cili Boh
3 bj Buah Keras
3 cmb Minyak Masak
1 cmb Serbuk Ketumbar
300g Ubi Keledek
Garam dan Gula


Bahan-bahan untuk Hiasan dan Taburan
1 kg Mi Kuning
50g Bawang Goreng
4 Kpg Tauhu Keras digoreng dan dipotong 8
100g Tauge dicelur sebentar
3 bj Kentang direbus, dikupas kulit dan dihiris tebal
3 bj Telur Rebus dibelah 4
3 bj Limau Kasturi dibelah dua
1 bj Cili Merah/hijau dihiris
100g Pengaram diramas


Cara membuat Mi Rebus
  1. Kisar bawang merah, lengkuas, kunyit, cili boh dan serbuk ketumbar dengan sedikit air sehingga mendapat pes yang halus.
  2. Ubi keledek dikupas kulitnya dan direbus sehingga empuk. Sewaktu panas, lenyek menggunakan garfu.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan kisar sehingga wangi dan keperangan.
  4. Masukkan stok rebusan tulang dan biarkan mendidih.
  5. Tambahkan ubi keledek untuk mendapatkan kepekatan yang dikehendaki. Tambah air jika terlalu pekat atau tambah ubi keledek jika terlalu cair.
  6. Perasakan dengan garam dan gula.
  7. Celur mi kuning sebentar. Masukkan dalam mangkuk hidang. Susunkan bahan taburan dan hiasan. Curahkan kuah mi rebus dan hidang panas-panas.


Tip Masakan Komersial
  1. Jika anda teliti bahan-bahan kuah mi rebus memang tiada yang istimewa. Rasa kuah yang sedap sepenuhnya datang dari stok rebusan tulang. Apabila seimbang rasa masin dan manisnya, mi rebus anda akan menjadi kegilaan ramai.
  2. Selain untuk memekatkan kuah mi rebus, ubi keledek juga memberikan rasa unik. Boleh digantikan dengan ubi kentang tetapi anda memerlukan lebih gula untuk menyeimbangkan rasa. Bagaimanapun tekstur kuah mi rebus menggunakan ubi keledek lebih halus.
  3. Di Johor, sangat popular dengan mi rebus Hj Wahid. Memang kuahnya istimewa namun semenjak perniagaannya diuruskan oleh anak cucunya di merata-rata tempat, saya kurang berminat lagi. Mungkin kerana kos bahan dan overhead yang semakin meningkat, bahan yang digunakan dan porsi hidangan terpaksa dihadkan.
  4. Dalam perniagaan, jika anda tahu sesuatu cara mengurangkan kos sesuatu bahan sudah pasti sangat menguntungkan. Walaupun cuma dapat mengurangkan hanya sedikit kos namun ia tetap membantu. Cuba hitung berapa banyak yang dapat dijimatkan jika setiap hari anda jual 100 pinggan mi rebus dengan penjimatan RM0.10 sepinggan. Kalau setahun bagaimana pula. Contohnya anda buat mi kuning anda sendiri dirumah. Kos membuat mi kuning RM1.50 dapat 2.5kg mi kuning. Cukup untuk 12 pinggan mi rebus. Jika anda beli mi kuning, 2.5kg berharga RM5.00. Secara puratanya, kos mi kuning yang dibuat sendiri untuk sepinggan adalah RM0.13 dan kos mi kuning dibeli siap pula adalah RM0.42. Untuk mi kuning sahaja anda dapat jimatkan RM0.29. Sekarang kiralah penjimatan untuk sehari, setahun dan sebagainya.
  5. Saya tak pasti apa yang anda panggil untuk pengaram. Saya belajar dulu guna baha omputeh dan dipanggil prawn fritters atau prawn crackers. Mudah sahaja membuatnya. Kisar udang kering atau udang geragau kering sehingga halus dan adunkan bersama tepung gandum dan air sehingga mendapat batter yang cair. Titiskan atas minyak panas berlapis-lapis dan goreng sehingga keperangan dan rangup. Kalau nak lebih keras, boleh campurkan tepung beras sama banyak dengan tepung gandum. Kalau susah sangat, anda mintak je serdak kat penjual pisang goreng. Tiap hari diaorg buang berkilo-kilo benda tu. Tak de rasa udang tak mengapa. Yang penting mesti rangup.
  6. Jika anda perhatikan gambar bahan diatas tu, saya ada menggunakan sotong segar yang direbus. Kaedah ini untuk menjadikan hidangan lebih seimbang. Sekurang-kurangnya ada la sedikit sumber protin. Usahawan yang jual mi rebus belum pernah saya nampak menambahkan protin dalam hidangan. Mungkin ada sedikit ikan billis atau udang kering sahaja. Mi kuning pun seciput je. Harga semakin naik. Pinggan makin kecik. Saya tak nampak ada bahan mahal dalam resepi diatas tu. Semuanya syilling je.
  7. Kepekatan kuah menggunakan keledek berbeza dengan kepekatan menggunakan tepung jagung seperti mi ladna atau mi hongkong terutama dari segi rasanya. Namun tepung jagung boleh digunakan dalam keadaan tertentu seperti kekurangan ubi keledek dan tidak sempat untuk mencarinya. Apabila berniaga, berbagai alternatif boleh digunakan dan troubleshooting seperti ini sangat penting dan perlu difikirkan dengan pantas.