Mi Racun tidaklah sepopular mi bandung, atau mi rebus. Namun mi ini cukup popular di Batu Pahat, Johor. Kali pertama saya makan mi racun, lebih 10 tahun lalu. Saya tak pasti versi mana yang saya makan tapi rasanya sangat mengecewakan. Mi racunnya terasa kosong. Tiada kenikmatan. Perisanya cuma cukup-cukup sahaja. Tak de kejutan, tiada boom! Tiada Uummph! Bukan itu sahaja, kuahnya jernih, dan sangat kurang aksessorinya. Rasa tak berbaloi untuk mengeluarkan RM5 untuk itu. Saya tahu, ramai yang bercerita tentang kehebatan mi racun tapi sampai sekarang saya tercari-cari gerai yang mana betul-betul boleh meracun hati saya.


Bagi saya, rasa mi racun adalah sup tanpa rempah dan minyak kemudian ditambah kepedasan cili boh yang ditumis. Jadi saya rasa lebih puas hati jika saya masak sendiri mi racun versi saya, mengikut selera saya dengan budget terhad saya sendiri. Guna ayam sahaja. Saya boleh makan, sesiapa pun boleh makan. Yang penting, rasanya mesti hebat, kosnya mesti jimat. Tidak terlalu kurang, tidak terlalu lebih.



Bahan-bahan untuk Resepi Mi Racun Versi Saya
1 kg Mi Kuning
300g Ayam
20 tangkai Cili Kering
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 cmt Udang Kering
1 cm Halia
1 L Air
2 cmb Gula
2 cmt Garam
1cmt jus lemon/limau/cuka
3 cmb Minyak Masak
Aksesori tambahan seperti tauhu, sayur-sayuran atau telur.



Cara membuat Mi Racun Versi Saya
  1. Cili kering direndam dan dikisar halus. Kisarkan besama udang kering dan ½ bawang besar.
  2. ½ bawang besar lagi dihiris, bawang putih diketuk dan dicincang, halia diketuk sahaja.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan yang di ketuk dan dicincang sehingga wangi.
  4. Masukkan bahan kisar dan tumis lagi sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan ayam yang dipotong kecil. Teruskan mengacau sehingga ayam masak.
  6. Masukkan air dan perasakan dengan gula garam dan asam.
  7. Masukkan sayur-sayuran dan tauhu biarkan mendidih.
  8. Sementara itu, celur mi kuning dengan air mendidih.
  9. Sebelum api dimatikan, seimbangkan rasanya dan bolehlah dihidang bersama mi.



Tips Masakan Komersial
  1. Mi racun yang saya pernah makan mempunyai rasa yang terlalu kosong. Kalau boleh biarlah rasa stok pada kuahnya mencukupi. Saya menambahkan sedkit udang kering untuk rasa yang lebih kuat tapi tak bleh terlalu banyak supaya ia tidak terlalu rasa mi bandung muar.
  2. Untuk rasa sup yang kuat, anda boleh gunakan stok tulang lembu atau kambing. Ada peniaga yang menggunakan gearbox kambing untuk mi racun gearbox. Bagaimanapun, mi racun yang pernah saya makan semuanya menggunakan ayam sahaja. Mungkin juga hanya menggunakan kiub ayam.
  3. Saya hanya mengisar sebahagian bawang besar sahaja bersama cili padi. Jika saya mengisar semuanya termasuk bawang putih dan halia, kemungkinan sup yang akan saya dapat mempunyai rasa asam pedas. Jadi bawang putih ditumis untuk memberikan rasa dan bau sup seperti biasa.
  4. Berbagai versi mi racun sekarang ni dipasaran. Ada yang menggunakan resepi warisan dan banyak yang hanya mencuba-cuba dan meniru-niru macam saya! Ada juga yang menambahkan sos tiram, kicap, lada hitam dan berbagai lagi. Saya lebih suka menguatkan rasa stok dalam sup saya berbanding menambahkan berbagai-bagai perisa tambahan yang kebanyakkannya tidak asli.
  5. Ada juga yang menggemari sup yang sedikit pekat macam sup cina, blehlah menambahkan sedikit tepung jagung. Boleh juga mengacaukan telur tapi anda tak akan dapat sup yang merah jernih jika menggunakan telur.
  6. Untuk aksesori kebanyakkannya saya dapati hanya menambahkan telur rebus bawang goreng dan aun sup sahaja. Kalau saya ada banyak sayur, saya akan tambahkan lebih banyak sayur. Semua aksessori yang sesuai untuk hidangan bersup seperti tom yam, mi sup, mi bandung muar, mi kari, mi rebus dan sebagainya, juga sesuai untuk mi racun ini. Bahan-bahan seperti tomato, sawi, putik jagung, bunga kobis dan sebagainya akan menyedapkan lagi rasa sup.

p/s: Kalau 10 tahun lalu harga RM5 pun dah kosong macam tu, sekarang ni ntah macam mana agaknya.