Entah macam mana, tiba-tiba boleh popular pulak mi oat padahal sejak dulu lagi saya dah mencuba berbagai-bagai bahan yang sesuai termasuklah oat. Kelebihan oat yang paling saya suka ialah kandungan seratnya yang tinggi. Memang sesuai sangat dengan saya yang sedang menjalani Program Nak Kurus Terpimpin ciptaan saya sendiri. Kandungan serat yang tinggi membolehkan saya merasa kenyang lebih lama.


Kebanyakkan program menguruskan badan yang dianjurkan di Malaysia mementingkan cara hidup sihat dengan pemakanan yang sihat. Program Nak Kurus Terpimpin pula lebih menumpukan tentang apa yang nak dimasak dan dimakan supaya anda dapat makan apa yang anda suka seperti biasa. Paling baik adalah masak sendiri. Kalau nak beli, memang jauh sekali nak dapat makanan sesuai. Orang yang jual makanan mana peduli dengan kesihatan kita. Nak kurus ke nak gemuk ke, suka hati engkau. Yang penting aku dapat duit engkau!



Bahan-bahan untuk Resepi Mi Oat | Oat Noodle
50g Rolled Oat
100g Tepung Atta
1 bj Putih Telur B
50g Air
Garam jika perlu



Cara membuat Resepi Mi Oat | Oat Noodle
  1. Kisar rolled oat hingga betul-betul halus dan gaulkan dengan tepung atta.
  2. Masukkan telur putih dan air dan gaul dengan hujung jari hingga menjadi ketulan-ketulan kecil.
  3. Kemudian baru uli lebih kurang 10-15 minit hingga mendapat doh yang padat.
  4. Gunakan penggelek atau penorak untuk mencanai doh menjadi leper lebih kurang 2-3mm tebal.
  5. Taburkan sedikit tepung dan lipat doh supaya tepung yang ditabur berada didalam lipatan. Leperkan lagi hingga menjadi tebal yang asal.
  6. Ulangi menabur tepung, melipat dan menggelek beberapa kali lagi supaya doh menjadi cukup keras dan padat. Pada tahap ini, doh tidak lagi melekit tetapi jangan sampai doh menjadi mudah pecah.
  7. Akhir sekali, leperkan mengikut sebagaimana tebalnya mi yang anda kehendaki dan potong menjadi mi yang panjang.
  8. Panaskan air yang banyak dalam periuk dengan api yang kuat. Apabila air telah mendidih, masukkan mi dan rebus sebentar.
  9. Sebaik sahaja air rebusan mendidih semula, bolehlah mi dituskan dan terus dihidangkan bersama kuah kegemaran seperti kari, sup dan sebagainya.



Tip Masakan Komersial
  1. Oat akan pecah dan hancur apabila direbus. Sebab itulah oat kurang sesuai dijadikan mi. Bagaimanapun gluten dalam tepung gandum dapat membantu membentuk mi yang kenyal. Bagaimanapun ada hadnya juga. Jika terlalu banyak oat, akan menyebabkan mi mudah patah dan besar kemungkinan hancur. Resepi diatas adalah maksimum oat yang dapat anda gunakan. Kurangkan oat menjadikan mi lebih cantik dan kenyal. Saya perlukan oat yang banyak jadi saya gunakan oat semaksimum yang mungkin.
  2. Tepung atta menyamai tepung whole wheat tetapi tepung atta lebih halus lagi. Oleh itu sifat tepung atta adalah lebih kurang sama dengan tepung whole wheat. Maksudnya, jika anda menggunakan tepung gandum biasa, hasil mi anda akan lebih kenyal. Kalau menggunakan tepung high protin, sudah pasti ia menjadi tersangat kenyal.
  3. Kalau anda buat roti dengan tepung whole wheat, doh roti akan kurang elastic berbanding jika anda menggunakan tepung roti. Sebab itulah roti whole wheat lebih keras dari roti putih biasa. Jadi jika anda menggunakan tepung atta, hasilnya juga adalah lebih kurang sama dengan tepung whole wheat. Ini bermakna, mi anda akan mudah patah. Kalau anda kurang mahir mengendalikan roti, adalah lebih baik anda menggunakan tepung multi purpose dalam resepi ini.
  4. Oat mengandungi banyak serat begitu juga dengan tepung atta. Ini dapat membantu saya kenyang lebih lama. Bagaimanapun oat dan tepung atta juga mengandungi lebih banyak kalori dari tepung biasa. Oleh itu, kuantiti mi yang dimakan perlulah dijaga supaya kalori yang anda makan setara dengan kalori yang anda perlukan dalam sehari. Resepi diatas sesuai untuk 3 hidangan.
  5. Saya cadangkan oat mi terus dihidangkan setelah direbus kerana apabila sejuk, mi ini akan melekat sesama mereka. Untuk mengelakkan ini berlaku, anda perlu menggaulkan dengan sedikit minyak. Perlu diingat, minyak tidak begitu baik kalau anda nak jaga kesihatan. Hidangkan panas-panas supaya anda tak perlu menggunakan minyak.
  6. Ada juga pendapat mengatakan, sebaik sahaja mi dituskan, terus masukkan dalam air sejuk supaya mi menjadi lebih kenyal. Proses ini bertujuan untuk menghentikan proses memasak dengan serta merta kerana selagi mi panas, selagi itulah proses memasak berterusan. Mi yang terlebih masak akan menjadi benyek dan lembik. Jika anda terus hidangkan mi sebaik sahaja dituskan, anda tak perlu khuatir tentang perkara ini. Selesai semua masalah. Tak perlu susah payah.
  7. Mi Oat sesuai dimakan sebagai hidangan berkuah. Pada kali ini, saya menghidangkan mi oat sebagai mi kari yang berkhasiat dimana kuah kari yang saya masak menggunakan hanya sedikit minyak zaitun, tanpa santan atau susu atau krim, menggunakan gula rendah kalori dan garam yang dikurangkan. Bagaimanapun kepekatannya dikekalkan seolah-olah menggunakan santan. Rasa macam makan mi kari yang biasa. Walaupun Cuma dapat makan semangkuk kecil, tapi puas hati.