Resepi Mi Kari Komersial
Posted by Norasikin Basri on Tuesday, January 17, 2012
Under: Sembang-sembang dan tip masakan
1 kg Mi Kuning
¼ ekor Ayam
½ cwn Rempah Kari
1 bj Bawang Besar
3 Ulas Bawang Putih
1 inci Halia
2 btg Serai
1 pelepah Daun kari
1 cmt Jintan Putih
1 bj Kentang
½ btg Carrot
300g Sawi
5 kpg Tauhu Goreng
4 cmb Gula
3 cmt Garam
4 cmb Jus Limau Nipis
½ cwn Santan Pekat
½ cwn Minyak Masak
1.5L Air
- Bawang besar, bawang putih dan halia dikisar halus dengan sedikit air. Bancuh serbuk kari dengan bahan kisar. Ayam dipotong kecil.
- Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumiskan serai yang diketuk, daun kari dan jintan manis sehingga wangi.
- Masukkan rempah yang dibancuh tadi dan tumis sehingga garing.
- Masukkan pula ayam dan kacau sehingga bahagian tepi ayam sedikit masak.
- Tuangkan air dan biarkan mendidih.
- Sementara itu, potong sayur-sayuran iaitu carrot, kentang dan sawi termasuklah tauhu. Masukkan carrot dan kentang dalam periuk supaya ia empuk dahulu.
- Perasakan dengan garam, gula dan asam kemudian masukkan sayur-sayur yang lain.
- Akhir sekali masukkan santan pekat. Perasakan lagi jika perlu. Biarkan merenih perlahan.
- Apabila mahu menghidang, celur mi kuning dalam air mendidih yang banyak. Tuskan dan curahkan kuah mi kari diatasnya.
- Kuah mi kari komersial sememangnya cair sahaja. Bagaimanapun kuah yang cair ini boleh dilindungi jika anda menambah beberapa sudu lada boh dalam bancuhan rempah. Lada boh akan memberikan warna yang terang pada mi. Minyak yang terapung juga menjadi merah terang menutupi bahagian bawahnya seolah-olah kuah mi kari anda pekat sedangkan hakikatnya tidak begitu.
- Kalau nak makan sendiri, jangan la terlalu kosong sangat. Tambah la udang ke, sotong ke atau sekurang-kurangnya isi kerang kerana isi kerang memberikan rasa yang kuat pada kuah mi kari.
- Rempah kari mengandungi berbagai bahan termasuk rempah tumis jadi penggunaan buah pelaga, kulit kayu manis, cengkih dan bunga lawang sebenarnya hanya menambahkan kos. Bagaimanapun, jika nak makan sendiri, boleh la letak. Ia akan menjadikan kuah kari lebih wangi dan enak. Jika untuk jualan, serai dan daun kari sudah mencukupi.
- Saya menggunakan jintan yang ditumis untuk menguatkan bau masakan india dalam mi kari ini. Saya dapati bau jintan memang sangat kuat dalam masakan india asli sedangkan rempah kari yang dijual di pasaran terlalu lembut baunya. Jika inginkan kari melayu, anda boleh ketepikan jintan ini.
- Jika anda rasa kuah mi ini terlalu cair, anda boleh menambahkan rempah kari sesuka hati anda. Saya dapati rempah kari yang dijual berbeza mengikut jenis. Ada yang kuat rasa dan baunya dan ada yang kurang sedikit. Jadi sukatan bergantung kepada selera anda. Tiada masalah jika ingin manambah rempah setelah kuah mendidih.
- Selagi garam, gula dan asam yang anda gunakan seimbang, keadaan kuah mi kari yang cair tidak akan menjadi masalah. Menggunakan msg pula memang akan menyedapkan makanan tetapi ia tidak asli seolah-olah otak kita dipaksa mengatakan makanan itu sedap tanpa kerelaan hati kita. Gunakan kemahiran sendiri untuk menjadikan makanan lebih sedap dan bukannya bergantung harap pada msg.
- Saya sangat menggunakan tauhu dalam mi kari. Kalau anda lihat dalam gambar, saya meletakkan 2 jenis tauhu iaitu tauhu keras biasa dan tauhu pok. Memang kegemaran saya terutama tauhu pok kerana kuahnya dapat meresap dalam tauhu dengan banyaknya. Lagi pula, tauhu adalah bahan yang murah tetapi memberikan visual yang nyata dalam hidangan. Memang sesuai sangat sebagai penambah kuantiti terutama dalam masakan komersial.
In : Sembang-sembang dan tip masakan
Tags: resepi mi kari komersial gerai restoran tip berniaga memasak hidangan popular lazat
blog comments powered by Disqus



