Bagi seorang pengusaha makanan kecil-kecilan contohnya gerai Mi Hoon Sup, perakaunan dianggap tidak penting. Kebanyakkannya hanya menggunakan sebuah buku kecil untuk menulis jumlah wang keluar dan jumlah wang masuk sahaja. Ramai juga yang langsung tak mempunyai catatan aliran keluar masuk wang mereka. Hakikatnya, sekecil manapun usaha kita, catatan yang lengkap amat penting dalam menilai sejauh mana kejayaan yang dicapai. Penilaian ini membantu kita untuk maju lebih jauh kehadapan. Takkan selepas sepuluh tahun, gerai Mi Hoon Sup anda masih kekal sebesar itu dengan jualan tak sampai 100 mangkuk sehari? Tak terfikir ke nak buka beberapa gerai lagi ditempat lain dengan setiap gerai menjual melebihi 100 mangkuk Mi Hoon Sup sehari? Tambah la produk macam mi rebus, mi bandung Muar, mi kari dan sebagainya. Oleh itu bermulalah dari sekarang. Pertama sekali yang perlu anda lakukan adalah mengagihkan wang hasil jualan anda kepada beberapa bahagian.  


  1. Biasanya keuntungan berniaga makanan lebih kurang 50%, jadi asingkan separuh dari hasil jualan sebagai modal pusingan. Wang ini digunakan untuk membeli bahan-bahan untuk diniagakan esok atau akan datang. Baki separuh lagi dipanggil untung kasar. 
  2. 1/3 daripada untung kasar digunakan untuk perbelanjaan keluarga. Banyak ini sahaja sepatutnya termampu anda gunakan untuk barang dapur, sekolah anak, sewa rumah, api, air, pakaian dan sebagainya. Jadi, jangan belanja lebih dari jumlah ini.
  3. 2/3 daripada untung kasar barulah dibahagi-bahagikan sama banyak untuk disimpan kepada beberapa perkara berikut. Pertama, untuk disimpan secara kekal. Kedua, tabungan peribadi anda, Ketiga, simpanan untuk dilaburkan semula dalam perniagaan anda seperti membesarkan perniagaan. Keempat, untuk melunaskan hutang, jika ada. Dan terakhir, jangan lupa saham akhirat. Gunakanlah untuk agama seperti zakat, sedekah serta berdoa semoga Allah melipatgandakan rezeki kita.



Bahan-bahan untuk Resepi Mi Hoon Sup Masakan Cina
400g Mi Hoon direbus sehingga lembut.
300g Tulang Ayam
3L Air
1 inci Halia
4 Kuntum Bunga Cengkih
2 bj Bawang Merah
150g Udang Saiz Sederhana
120g Daging
100g Tauge
4 cmb Bawang Goreng
50g Daun Bawang
1 cmb Kicap Masin
Secubit Lada Hitam



Cara membuat Mi Hoon Sup Masakan Cina
  1. Rebus tulang ayam bersama 3L air, halia, bunga cengkih dan bawang merah. Biarkan merenih dengan api perlahan selama 1½ jam. Tapis dan ambil stok ayam sahaja.
  2. Bersihkan udang dan rebus dalam stok ayam tadi. Rebus sebentar sahaja lebih kurang 1 minit, keluarkan udang dan simpan stoknya. Buang kulit udang dan ketepikan isinya.
  3. Rebus daging dalam stok  yang sama sehingga empuk. Keluarkan daging dan hiris nipis, ketepikan.
  4. Stok rebusan tadi ditapis menggunakan kain maslin untuk mendapatkan stok yang jernih.
  5. Panaskan stok, tambahkan kicap. Perasakan dengan lada hitam, garam dan gula.
  6. Untuk menghidang, masak air lain sehinga mendidih.
  7. Masukkan 1 porsi mi hoon dan tauge kedalam penapis mi. Celur dalam air mendidih sebentar.
  8. Tuskan mi dan tauge dan masukkan dalam mangkuk.
  9. Susunkan sedikit udang rebus dan daging diatas mi.
  10. Curahkan sup dan akhir sekali, taburkan daun bawang dan bawang goreng.



Tip Masakan Komersial.
  1. Sup dalam rangkaian masakan cina memang ringkas bahannya. Mereka juga tak gemar menggunakan minyak masak apalagi menumis. Seperti yang saya ceritakan sebelum ini dalam beberapa resepi masakan cina, mereka mahukan rasa asli dalam masakan mereka. 
  2. Sekali pandang, mudah je membuat sup masakan cina. Hanya rebus je semuanya. Namun, mereka sebenarnya cerewet sedikit dari segi teknik. Kalau kita perhatikan cara mereka merendam dan menghidangkan teh pun kita dah boleh agak.
  3. Memang masyarakat cina mementingkan teknik dalam menghasilkan masakan mereka. Nak buat sup pun kena rebus satu persatu. Sebenarnya tindakan mereka memang masuk akal. Setiap bahan iaitu daging, udang dan tulang ayam memang berbeza waktu merebusnya. Udang kalau direbus terlalu lama sudah pasti isinya menjadi kecut dan rasa udangnya hilang. Berbeza dengan daging dan ayam. Cara paling selamat untuk merebus bahan-bahan ini dalam waktu yang tepat adalah dengan cara merebus secara berasingan.
  4. Seorang usahawan berjaya, harus menjaga kualiti hidangan mereka. Jika mi tak boleh terlalu kembang, dan tak boleh terlalu keras. Pendek kata semuanya perlu dijaga. Suhu masakan mereka juga perlu tepat sehinggalah ia berada dihadapan pelanggan. Oleh itu, mereka biasanya menuangkan sup atas mi dalam mangkuk kemudian menuangkan semula sup kedalam periuk. Kemudian barulah di tuangkan sup sekali lagi baru dihias dengan daun bawang dan bawang goreng. Daging dan udang yang disediakan awal sudah pasti sejuk kerana jika panas, menyebabkan udang dan daging terlebih masak. Begitu juga mangkuk yang sejuk akan menyebabkan suhu sup berkurangan. Cara ini memastikan suhu hidangan kekal panas sewaktu dihidang.