Saya tak tahu adakah benar resepi mi ini berasal dari Hong Kong. Yang saya tahu mi ini dihidangkan di kebanyakkan restoran masakan thai di seluruh Malaysia. Saya suka mi ini kerana, mi ini mengandungi banyak sayur-sayuran selain dari rasa kuahnya yang tidak terlalu bercampur aduk dengan perasa lain. Selain itu, mi ini mempunyai rasa rangup apabila dihidangkan panas-panas dan telurnya mampu menyerap kuah dengan sangat baik. Kenapa saya katakan begini? Beleklah resepi dibawah ini baru tahu.

Bagi anak saya pula, asalkan saya menghidangkan mi, sudah pasti dia suka. Kalau hidangan yang saya masak sendiri lagi dia suka. Jadi hidangan ini memang sesuai untuk kanak-kanak yang menggemari mi dan telur. Anda juga dapat mengasuh anak makan sayur. Cara membuatnya memang sangat cepat dan tak banyak karenah.

Bahan-bahan untuk Mi Hong Kong
200g mi kuning
1 bj telur
1 cwn air rebusan ayam
1 ulas bawang putih
1 cmt sos tiram
1 kepingan nipis hirisan halia
1/2 cmt kicap cair
2 bj cili padi
5 titik jus limau nipis
Sayur-sayuran
Garam dan gula
3 cmb minyak masak
1/2 cmb tepung jagung.

Cara membuat Mi Hong Kong
  1. Panaskan minyak masak. Pecahkan telur dan gaul dengan mi kuning. Tambahkan garam jika suka.
  2. Dadarkan mi bersama telur sehingga garing. Jangan lupa ratakan mi supaya ia leper dan lebar.
  3. Angkat dan tuskan. Hidangkan didalam pinggan dan ketepikan.
  4. Panaskan lebihan minyak gorengan tadi. Pecahkan bawang putih dan tumiskan sehingga wangi.
  5. Tuangkan air rebusan ayam.
  6. Masukkan bahan-bahan lain seperti hirisan halia yang diracik, sos tiram, jus limau, kicap, cili padi, garam dan gula. Biarkan mendidih.
  7. Kemudian masukkan sayur-sayuran. Jika sayuran yang lambat empuk seperti  carrot dan putik jagung boleh dimasukkan dahulu. Sawi, kobis, bunga kobis boleh dimasukkan kemudian.
  8. Bancuh tepung jagung dengan sedikit air. Tuangkan air tepung ini sewaktu kuah mi mendidih dan kacai dengan cepat untuk memekatkannya.
  9. Tuangkan kuah keatas mi yang didadar tadi dan boleh dihidangkan.

Tip Masakan Komersial

  1. Sekali pandang, resepi diatas sama je dengan mi ladna cuma bezanya hanya terdapat pada kaedah mi dihidangkan iaitu mi Hong Kong didadar berdama telur.
  2. Jika di gerai atau restoran anda menghidangkan mi ladna atau mi hailam, mengapa tidak cuba menghidangkan mi hong kong juga kerana bahan-bahannya adalah sama.
  3. Tambahkan makanan berunsurkan protin sedikit jika anda ingin menjadikan mi ini sebagai produk jualan. Baru la pelanggan rasa berbaloi untuk membeli. Sesuai menambahkan isi ayam, udang atau sotong dalam hidangan ini.