Mi Bandung Muar Feat. Gearbox seperti ini memberikan kenangan paling menyedihkan dalam hidup saya. Ini adalah hidangan terakhir yang dapat saya nikmati bersama ayah diluar, saya sebelum dia meninggalkan saya buat selama-lamanya pada minggu lepas. Mi Bandung Muar Feat. Gearbox ini akan terus membeikan nostalgia kepada saya setiap kali saya terkenangkan beliau.


Sebelum ini saya ada kongsikan Resepi Mi Bandung Muar dan Cara Membuat Perencah Segera dalam blog Resepi Masakan Komersial ini tetapi pada waktu itu saya menggunakan bahan asas seluruhnya. Kali ini saya  menggunakan perencah Mi Bandung Muar Maharani yang dah lama terkenal di Muar. Jiwa tengah kacau, hati terkenang-kenang, menggunakan perencah adalah jalan yang terbaik.



Bahan-bahan untuk Mi Bandung Feat. Gearbox
1 kg Mi Kuning
1 bj Bawang Besar
20 tangkai Cili Kering
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 kg Gearbox Kambing
1 bgks Perendah Mi Bandung Maharani
5 L Air
4 cmb Gula
3 cmt Garam
½ cmt Minyak Masak
7 bj Telur
20 bj Tauhu Pok
1 btg Lobak Merah
1 kg Sawi



Cara Membuat Mi Bandung Feat. Gearbox
  1. Rebus gearbox dengan 5 liter air bersama hirisan halia. Apabila air mendidih, kecilkan api dan renih selama 3 – 4 jam hingga air menjadi separuh.
  2. Cili kering dijadikan cili boh, Lobak merah dipotong baton, tauhu pok dihiris nipis, sawi dipotong pendek dan diasingkan tangkai dari daunnya.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang besar dan bawang putih yang dihiris nipis sehingga wangi.
  4. Masukkan cilli boh dan masak hingga cili menjadi garing dan pecah minyak. Tambahkan minyak masak lagi jika perlu supaya warnanya menjadi betul-betul merah berkilat.
  5. Masukkan perencah mi bandung Maharani dan tumiskan juga hingga naik bau.
  6. Masukkan semua bahan tumis kedalam periuk yang mengandungi rebusan gearbox. Kacau perlahan.
  7. Masukkan lobak merah dan tauhu pok. Tunggu lobak merah empuk.
  8. Perasakan dengan garam dan gula. Renihkan sebentar.
  9. Sementara itu, celur mi kuning supaya ia lembut sedikit. Tuskan dan masukkan dalam mangkuk untuk seorang.
  10. Ambil 2 senduk kuah mi bandung serta sedikit tangkai sawi dan panaskan dalam kuali hingga mendidih.
  11. Masukkan telur dengan berhati-hati supaya telur kuningnya tidak pecah. Masak hingga telur kuning sedikit keras.
  12. Masukkan daun sawi dan kacau perlahan tanpa mengganggu telur.
  13. Curahkan kuah mi bandung yang telah dimasukkan telur dan sayur keatas mi kuning yang siap dicelur.
  14. Letakkan gearbox, tauhu pok dan lobak merah serta kuah mi bandung secukupnya.
  15. Hidangkan panas-panas.



Tip Masakan Komersial
  1. Menggunakan perencah dalam masakan memang memudahkan kerja seharian. Cara ini juga sesuai untuk berniaga dimana rasa masakan lebih mudah menjadi konsisten. Bagaimanapun produk segera lebih mahal berbanding membuat sendiri seluruhnya. Oleh itu mengubahsuai masakan adalah cara terbaik untuk menambahkan kuantiti hidangan.
  2. Perencah segera ada kalanya kurang menepati selera saya. Perencah mi bandung Maharani ini contohnya, mempunyai rasa udang kering yang kuat. Jadi sekiranya saya ubahsuai menjadi lebih banyak tidak akan menjadi suatu masalah yang besar. Rasa mi bandung tetap kuat. Saya juga dapat menghasilkan mi bandung yang lebih pedas, dengan warna yang lebih merah.
  3. Rasa mi bandung bergantung kepada stok rebusan sepenuhnya. Walaupun rasa udang kering sudah cukup kuat tapi stok yang pekat juga perlu. Kombinasi ini yang menjadikan rasa mi bandung muar yang sebenar. Jika menggunakan perencah sahaja tanpa stok, rasanya akan lebih kepada mi udang.
  4. Sekiranya tiada gearbox, adalah lebih baik anda menggunakan tulang ayam atau lembu dalam mi bandung muar. Tulang lembu paling sesuai dengan rasa mi bandung muar. Boleh juga guna stok segera sama ada kiub atau serbuk.
  5. Gearbos perlu direbus lama untuk melembutkan isinya. Yang paling penting adalah untuk mengeluarkan rasa dari tulang-tulang tersebut. Untuk melembutkan dagingnya saya biasa menggunakan soda bikarbonat. Untuk resepi mi bandung ini, saya masukkan ½ cmt soda bikarbonat kedalam air rebusan. Bagaimanapun ia tidak membantu dalam mengeluarkan rasa dari tulang. Oleh itu masih perlu merebus dengan lama melebihi 2 jam.
  6. Saya sering mengasingkan sayur dari kuah dan hanya masukkan sayur apabila tiba waktu menghidang terutama dalam masakan berkuah seperti mi bandung ini atau mi kari juga sup. Sayur amat mudah layu dan jika dimasukan lebih awal, warnanya tidak lagi hijau. Khasiatnya juga hilang.
  7. Saya masukkan telur sebiji untuk setiap mangkuk dan tidak dimasukkan sekaligus kedalam periuk besar. Kaedah ini bagus untuk berniaga. Apabila pelanggan pesan, barulah telur dipecahkan cukup untuk bilangan yang dipesan. Ini dapat memudahkan menyukat dan memastikan hidangan yang dijual hampir setara dan asil semuanya. Lagipun, sayur dapat dimasukkan pada waktu ini.
  8. Kalau kita beli gearbox dipasar, hampir tiada isi pada tulang ini. Oleh itu, kalau boleh masukkan la sedikit daging ayam atau lembu dalam mi bandung. Rebus sekali bersama tulang tadi. Jangan la kedekut sangat. Kesian pelanggan tercari-cari dimana isinya.
  9. Jangan lupa rujuk artikel cara membuat mi kuning dalam post Resepi Homemade Mi Kuning. Resepi yang lebih jimat, lebih selamat, lebih sedap.