Saya pun tak pasti, mi ini berasal dari Bandung atau Muar tapi mi bandung Muar memang dah popular seluruh Malaysia. Beberapa syarikat juga telah mengeluarkan perencahnya secara komersial. Kerajaan juga memberi bantuan kepada pengusaha yang berminat mengeluarkan perencah mi bandung Muar. Kini kita dapati beberapa perencah keluaran IKS terutama dari daerah Muar dan Batu Pahat. Resepi dibawah ini hanyalah resepi mi bandung Muar yang ringkas dan menggunakan bahan-bahan terpenting sahaja. Dengan ini, lebih mudah untuk anda mengenali bahan yang memberikan rasa utama dalam mi bandung Muar. Mi bandung Muar dalam gambar yang saya buat tu sengaja dicairkan untuk mengurangkan kepedasannya dan terdapat bahan yang memberi kesan pada tubuh saya. Manakala dalam resepi dibawah, ia lebih sesuai untuk kebanyakkan penggemarnya walaupun tidak terlalu ekstrem. Kalaulah saya boleh makan mi bandung Muar yang pedas, dan pekat, alangkah nikmatnya..

Sebelum itu, apa kata anda belajar dulu cara-cara membuat mi kuning sendiri dirumah. Satu kilogram tepung gandum boleh menghasilkan hampir 2.5kg mi kuning. Baru puas makan mi bandung Muar. Klik disini.


Bahan-bahan untuk Resepi Mi Bandung Muar
1 kg Mi Kuning
300g Udang Kering
2 cwn Cili Boh
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
100g Udang Segar besar
400g Sawi
100g Kacang Tanah
5 Keping Tahu Keras
2 cmt Garam
10 cmb Gula Pasir
½ cwn Minyak Masak
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.
1.5 – 2 L Stok Ayam/Daging/Tulang
5 bj Telur ayam


Cara Membuat Mi Bandung Muar
  1. Mi kuning dicelur jika perlu dan diletak dalam mangkuk/pinggan hidang. Semua bahan dibersihkan.
  2. Tahu keras digoreng dengan minyak yang banyak sehingga keperangan. Kemudian goreng kacang tanah pula sehingga masak.
  3. Potong tahu nipis-nipis. Kacang tanah dikisar kasar menggunakan pengisar bijirin. Udang kering juga dikisar menggunakan pengisar bijirin. Sebaiknya dikisar berasingan.
  4. Kisar bawang besar, bawang putih, dan halia sehingga halus.
  5. Panaskan ½ cwn minyak, tumiskan bawang kisar dan cili boh sehingga garing.
  6. Masukkan udang kering kisar dan goreng lagi sehingga wangi.
  7. Tuangkan stok ayam. Tunggu sehingga mendidih.
  8. Masukkan tahu dan kacang tanah. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Masukkan udang segar, sayur sawi dan telur biarkan merenih sebentar. Jangan dihancurkan telur. Biarkan ia kekal sebiji.
  10. Curahkan kuah diatas mi kuning dan hidangkan panas.


Tip Masakan Komersial.
  1. Udang kering kisar akan menyerap minyak sewaktu ditumis. Tak perlu tambah minyak terlalu banyak kerana minyak ini akan terbit semula setelah dimasukkan stok.
  2. Sebaiknya udang segar, sayur dan telur hanya dimasukkan sejurus sebelum dihidangkan. Anda boleh menyediakan kuahnya dahulu dan apabila ingin menghidangkannya, baru dipanaskan kuah secukupnya dalam kuali. Masukkan sayur, udang dan telur, renihkan sebentar baru dicurahkan pada mi kuning.
  3. Dalam mi bandung Muar, udang kering memberikan peranan yang paling penting dari segi rasa dan aromanya. Bahan-bahan lain semua boleh diubahsuai atau diabaikan. Boleh menggunakan daging yang dihiris nipis, bebola ikan, daging dan sebagainya sebagai penambah kuantiti dan penyeri hidangan. 
  4. Anda boleh menghasilkan perencah mi bandung Muar anda sendiri dengan mudah. Abaikan telur, sayur, udang segar dan stok. Tumiskan bahan-bahan lain sehingga kering. Sejukkan dan bungkus dalam paket kecil seberat 400g. Sejukbekukan untuk digunakan bila-bila masa teringin mi bandung Muar atau jadikan sebagai produk jualan anda.