Hidup dibandar ni segala-galanya kena beli. Bahan-bahan yang suatu ketika dahulu kita tak pandang, sekarang dah tinggi harganya. Dulu kita boleh nampak jantung pisang tergolek je kat pangkal pokok pisang, sekarang cuma nampak di pasar dengan tanda harga. Setiap hari saya nampak lori pisang di jalan raya tapi jantung pisang di pasar tak de pulak sebanyak tu. Waktu teringin memang susah sangat saya nak dapat apa yang saya nak. Jantung pisang untuk Masak Lemak Jantung Pisang ni pun kebas kat suatu tempat. Kalau ada galah, boleh la kebas lebih sikit. Hehehe. Orang tak nak, saya ambik je la.

Adakah jantung pisang boleh membantu menguatkan ingatan? Mari makan jantung pisang kemudian join saya main 
#CapitalFMReconnect Memory Game. Permainan yang boleh menguji daya ingatan anda juga boleh menang RM20,000.00. Klik disini untuk menguji daya ingatan anda.



Bahan-bahan untuk Masak Lemak Jantung Pisang
1 bj Jantung Pisang (Besar)
1 bj Cili Merah / 3 bj Cili Padi (Merah)
¼ bj Bawang Besar
1 ulas Bawang Putih
1 L Santan dari ½ bj Kelapa
2 ekor Ikan Bilis
1 cmt Serbuk Kunyit
1 cmt Garam


Cara membuat Masak Lemak Jantung Pisang
  1. Kupas kelopak jantung pisang yang berwarna ungu sehingga sampai ke lapisan yang berwarna putih. Buang tangkainya dan tuskan getah. Belah kepada 2 bahagian.
  2. Rebus jantung pisang dengan air yang banyak sehingga lembut. Asingkan getah yang kelihatan dalam air jika ada dan tuskan airnya. Apabila sejuk, potong jantung kecil-kecil.
  3. Cili, bawang besar, bawang putih dan ikan bilis ditumbuk kasar.
  4. Masukkan bahan tumbuk, santan, jantung pisang, serbuk kunyit dan garam dalam periuk. Nyalakan api sederhana besar.
  5. Sentiasa dikacau kuahnya terutama bahagian tepi periuk supaya tidak pecah santan sehingga mendidih.
  6. Hidangkan bersama nasi untuk makan tengah hari atau malam.



Tip Masakan Komersial.
  1. Jantung pisang ni, yang buat saya tak tahan adalah getahnya. Biasanya selepas dipetik, saya akan biarkan beberapa hari sehingga kering getahnya. 
  2. Jantung pisang mudah lebam apabila dimasak. Jika jantung pisang dipotong kecil dahulu kemudian direbus, ia akan jadi lebih lebam. Jadi, cara yang saya gunakan adaah dengan merebus dahulu baru dipotong. Warnanya tetap lebam tapi tak terlalu teruk.
  3. Sekarang ni, pasar sering kehabisan kelapa. Ladang-ladang kelapa yang banyak dinegara kita banyak yang telah dimajukan menjadi kawasan penempatan atau ditanam komoditi lain. Kelapa yang tinggal kebanyakkannya diborong oleh pihak industri seperti kelapa kering, minyak kelapa, santan, kerisik termasuklah makanan seperti dodol, kuih dan sebagainya yang diusahakan dalam skala besar. Kini Malaysia terpaksa mengimport kelapa dan santan dari Indonesia. Jika anda menggunakan santan segera, 1 kotak (200ml) santan diperlukan dan perlu dicairkan menjadi 1L santan.
  4. Masakan jenis sayuran seperti ini sebaiknya dikekalkan rasa sayurannya. Jadi saya jarang menambahkan perencah yang banyak seperti bawang, bawang putih dan ikan bilis. Ada rasa sipi-sipi je dah cukup. Kalau ada daun kunyit, mungkin saya akan tambahkan  sehelai yang kecil untuk rasa yang berbeza sedikit.
  5. Saya tak pernah menumis untuk sayur seperti ini. Hanya campurkan semuanya dan didihkan. Kalau bahan utamanya dah sememangnya berminyak, seperti ayam dan daging, barulah saya tumis. 
  6. Bahan perencah untuk Masak Lemak Jantung Pisang perlu ditumbuk kasar atau menggunakan food processor. Jika dikisar menggunakan blender, cili akan menjadikan warna kuah menjadi merah. Dari kisar, lebih baik anda hiris atau cincang sahaja semuanya. 
  7. Jantung pisang mempunyai banyak khasiat yang penting untuk badan.Ia mengandungi karbohidrat, protin, lemak, mineral seperti kalsium dan zat besi. Vitamin penting juga terdapat dalam jantung pisang iaitu vitamin A, B1 dan C. Kandungan seratnya juga sangat tinggi.