Sejak dari hari raya aidilfitri yang lalu, saya teringin sangat nak buat dan makan maruku. Pada hari raya tu juga, setiap rumah yang saya singgah, tak ada pula maruku yang saya suka. Kalau ada pun cuma maruku yang banyak dijual di gerai-gerai yang wujud sepanjang tahun. Sehinggalah pada deepavali yang lalu, jiran-jiran saya memberikan maruku. Kemudian saya terfikir perbezaan antara maruku melayu dan maruku india. Nampaknya maruku india lebih menjimatkan lebih menjimatkan. Mungkin kerana mereka tidak menggunakan santan dan menyebabkan maruku mereka lebih keras.
 
Dibawah ini ada resepi maruku tanpa santan tetapi diubahsuai supaya lebih rangup dan menjimatkan. Ia juga tidak menggunakan tepung maruku yang siap dengan rempah-rempah sebaliknya hanya menggunakan tepung kacang dhal. Dengan ini, anda dapat mengubahsuai kandungan rempah mengikut citarasa anda. Rasa maruku ini juga lebih asli seolah-olah anda hanya makan kacang dhal yang digoreng rangup mengikut tekak saya.


Bahan-bahan untuk Resepi Maruku Mudah dan Jimat
400g Tepung Kacang Dhal
230g Tepung Beras
2 cmb Jintan Kasar
2 cmb Jemuju
2 cmb Majerin
4 cmb Bijan
8 tangkai Cili Kering
2 cmt Garam
400g Air
Minyak masak yang banyak untuk menggoreng.


Cara membuat Maruku Mudah dan Jimat
  1. Kisar jintan kasar, jemuju dan cili kering yang dibuang bijinya menggunakan pengisar bijirin. Sebaik-baiknya dikisar berasingan terutama cili kering.
  2. Campurkan bahan kisaran bersama tepung kacang dhal, tepung beras, majerin dan bijan. Gaul ramas sehingga rata dan majerin sebati.
  3. Larutkan garam ke dalam air dan masukkan dalam campuran tepung kacang dhal tadi.
  4. Gaul perlahan-lahan sehingga mendapat doh yang lembut dan melekit. Kuantiti air bergantung kepada kualiti tepung yang digunakan.
  5. Rehatkan sekejap lebih kurang setengah jam untuk doh mengembang. Setelah kembang, doh tidak akan terlalu melekit lagi tetapi masih lembut untuk dipaipkan menggunakan acuan.
  6. Panaskan minyak masak dengan api sederhana 230˚C.
  7. Masukan doh dalam acuan penekan maruku. Paipkan membentuk lingkaran dalam minyak yang panas. Gorangkan sehingga garing.
  8. Tuskan dan hidangkan setelah sejuk.


Tip Masakan Komersial
  1. Dalam setiap resepi yang saya belek, mereka sentiasa menggunakan tepung maruku yang sedia digunakan kerana tepung ini telah dicampurkan dengan rempah-rempah. Kemudian mereka campurkan lagi rempah-rempah dan beberapa jenis tepung seperti tepung pulut untuk menjadikan maruku mereka lebih sedap dan rangup. Cara ini kurang efisyen kerana hanya mengubahsuai sesuatu yang dah sememangnya maruku. Saya lebih gemar menghasilkan sesuatu hidangan itu dari asasnya.
  2. Kacang dhal adalah bahan utama dalam menghasilkan maruku. Ada juga maruku yang menggunakan kacang urulundu atau urad dhal iaitu kacang yang digunakan untuk membuat tossei dan wadeh urlundu. Anda boleh mengisar sendiri kacang dhal untuk menghasilkan tepung kacang dhal. Cara ini lebih menjimatkan. Jangan lupa untuk ayak untuk mendapatkan tepung yang betul-betul halus sekata.
  3. Menggunakan santan menggantikan air sememangnya bagus kerana santan memberikan rasa lemak dan minyaknya menjadikan maruku lebih rangup. Bagaimanapun harganya yang semakin meningkat menyebabkan kebanyakan pembuat maruku komersial kurang menggunakannya. Untuk menjadikan maruku rangup seperti yang dikehendaki, majerin digunakan.
  4. Saya menggunakan cili kering yang dikisar untuk mengelakkan maruku menjadi warna merah. Oleh itu cili kering dikisar tanpa direndam terlebih dahulu untuk menjadikan chilli flakes. Anda masih boleh menggunakan cili boh atau serbuk cili.
  5. Saya dapati, daun kari memang penting untuk maruku. Bukan sahaja memberikan bau tetapi juga rasa daun kari yang serasi dengan maruku. Malangnya pada ketika ini, saya tiada daun kari. Anda boleh mencincang daun kari untuk dimasukkan dalam doh atau ditaburkan sahaja daun kari tanpa dipotong kedalam minyak sewaktu menggoreng maruku.
  6. Adunan maruku ini sesuai untuk acuan maruku bersaiz 2 hingga 3 mm. Untuk acuan yang lebih kecil kemungkinan bijan atan tersangkut. Jika acuan terlalu besar, bahagian tengah maruku sukar garing dan mungkin keras jika dimasak lama. Anda juga boleh menggunakan piping beg jika tiada acuan maruku. Hanya paipkan sahaja pada tapak tangan sebelum dimasukkan dalam minyak panas. Ada ketikanya anda memerlukan adunan yang lebih lembut untuk memudahkan kerja memaip maruku. Tak usah risau. Tambahkan sahaja air sampai anda puas hati.