Bagi saya, makaroni bakar sebenarnya tak lebih daripada makaroni goreng lebihan semalam yang diberikan nafas baru supaya dapat dihidangkan panas-panas. Manakan tidak, rata-rata makaroni bakar yang saya rasa tak pernah mempunyai rasa yang tertentu yang melambangkan keunikan masakan itu sendiri. Kebanyakkannya mempunyai rasa mi yang digoreng cara Thai atau Melayu. Kalau di barat mungkin mempunyai citarasa barat. Persamaannya hanya keju yang ditaburkan diatas yang menjurus kearah masakan barat. Siapa yang tak setuju dengan pendapat saya ni, boleh utarakan pendapat anda dalam kotak komen dibawah. Mana tau jika salah seorang dari anda pernah merasai makaroni bakar asli daripada resepi nenek moyang anda.

Bahan-bahan untuk Makaroni Bakar
300g Makaroni Kering
4 ulas Bawang Putih
1 Bj Bawang Besar
2 cmb Minyak Masak
3 cmb Tomato Puri
1 helai Daun Bay
1 cmt Lada Hitam
1 cmt Garam
2 cmb Gula Pasir
3 bj Kentang Sederhana Besar
3 cmb Susu Cair
1 cwn Keju Cheddar
3 bj Telur A

Cara Membuat Makaroni Bakar
  1. Rebus Makaroni sehingga lembut. Saya sukakan makaroni yang sangat lembut jadi saya merenihnya sehingga setengah jam. Angkat, tuskan dan ketepikan.
  2. Ketuk dan cincang bawang putih, dadukan bawang besar dan tumiskan bersama minyak masak sehingga layu.
  3. Masukkan tomato puri dan daun bay. Perasakan dengan lada hitam, garam dan gula.
  4. Masukkan makaroni dan gaul sehingga sebati. Masukkan sedikit air jika perlu untuk memudahkan perencahnya meresap dalam makaroni dengan lebih baik.
  5. Tutup api dan biarkan makaroni menyejuk sebentar.
  6. Sementara menunggi makaroni sejuk, kupas kulit kentang, rebus sehingga empuk dan tuskan. Sewaktu panas, lecek sedikit dan gaulkan bersama susu cair. Ketepikan.
  7. Setelah makaroni sejuk, tanpa membuka api, gaulkan bersama semua telur dan separuh keju sehingga sebati.
  8. Masukkan dalam acuan, Tekan sedikit supaya lebih padat dan memudahkan ia melekat.
  9. Sapukan kentang lecek tadi sehingga rata dan taburkan separuh lagi keju tadi.
  10. Bakar dalam ketuhar pada suhu 180˚C selama setengah jam.
  11. Hidangkan panas-panas.

Tip Masakan Komersial
  1. Saya tak nampak kelebihan makaroni bakar berbanding makaroni goreng. Mungkin ia digemari kerana ia boleh dipotong seperti kek atau mungkin juga kerana kehadiran keju yang cair sewaktu panas seperti pizza.
  2. Makaroni itu sendiri sebenarnya boleh melekat sesama sendiri tanpa bantuan telur tetapi oleh kerana makaroni telah digoreng bersama minyak menyebabkan ia kurang melekat. Jadi pastikan anda tidak menggunakan minyak yang berlebihan. Keju juga membantu melekatkan makaroni.
  3. Dalam masakan barat, kentang lecek berfungsi sebagai hidangan iringan. Begitu juga dalam resepi makaroni bakar ini. Bezanya, kentang lecek dibakar bersama sekaligus dapat melindungi makaroni dari haba terus. Idea menghidang dalam masakan barat memang kreatif dan berubah-ubah.
  4. Terpulang kepada anda dalam menghidangkan makaroni bakar sesuai dengan selera pelanggan anda. Jika pelanggan anda menyukai masakan Thai, apa salahnya makaroni anda digoreng cara Thai. Jika mereka menyukai cara mi goreng mamak, anda juga boleh membuat makaroni bakar mamak. Utamakan kepuasan pelanggan. Hanya anda sahaja yang tahu apa yang pelanggan anda suka.
  5. Dalam gambar diatas, saya menambahkan carrot sahaja dan saya harap anda juga menambahkan beberapa jenis sayur-sayuran yang anda gemari agar hidangan lebih seimbang. Boleh menggunakan sayur campur sejukbeku atau cendawan butang yang dihiris nipis. Ia lebih baik dari tiada langsung.