2 minggu lepas saya ada berjanji untuk memaparkan resepi serta teknik membungkus lepat pulut iaitu hidangan yang sentiasa saya masak setiap kali menyambut hari raya. Lepat pulut memang popular dikampung saya. Hampir semua rumah akan menghidangkan juadah ini kerana ia benar-benar istimewa setaraf dengan ketupat nasi, lemang, ketupat palas atau dodol. Saya juga pernah berjanji untuk memaparkan video teknik membungkus lepat pulut sambil tidur. Dibawah ini sudah saya siapkan videonya tapi sebelum itu, lebih baik kita belek resepinya dahulu.


Bahan-bahan untuk Lepat Pulut Aidilfitri
2 kg Beras Pulut
1 bj Kelapa Parut
2 cmt garam
Daun kelapa secukupnya
Air untuk merebus


Cara membuat Lepat Pulut Aidilfitri
  1. Cuci beras pulut dan tuskan airnya.
  2. Campurkan semua bahan iaitu beras pulut, garam dan kelapa parut. Gaul rata.
  3. Lipatkan sehelai daun kelapa dan masukkan bahan yang telah dicampur tadi.
  4. Ikat kemas menggunakan tali. Siapkan sehingga habis semua pulut.
  5. Didihkan air yang banyak dan rebus lepat pulut selama 2 jam.
  6. Angkat dan gantung lepat pulut untuk tuskan airnya.
  7. Potong lepat pulut dan sedia dinikmati.

Tip Masakan Komersial
  1. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, saya dapati lepat pulut ini sudah mula dijual di bandar tempat tinggal saya menjelang perayaan terutamanya di bazaar ramadhan. Hidangan ini memang sesuai dikomersialkan sama seperti lemang. Hidangan ini juga boleh disejukbekukan setelah masak untuk rasa dan persembahan yang lebih tradisional. Daun kelapa memang tidak menjadi masalah untuk disejukbekukan sama seperti yang dilakukan pada otak-otak ikan. Bangganya jika hidangan ini dapat dieksport ke luar negara seperti produk makanan malaysia yang lain.
  2. Sangat mudah untuk mempelbagaikan lepat pulut. Paling popular ialah dengan menggunakan kacang tanah dan beras pulut merah. Anda hanya perlu menambahkan 200g bahan ini untuk digaulkan bersama beras pulut. Dalam video diatas, saya menggunakan kacang tanah. Anda juga boleh menggunakan kekacang lain seperti kacang merah,kacang hijau, kidney bean, jagung dan lain-lain. Cubalah menggunakan bahan yang mempunyai warna yang cantik untuk mendapatkan warna lepat yang cantik berbintik-bintik. Ada sesiapa yang teringin menggunakan beras nasi dagang tak? Mesti cantik warnanya..

Bahagian mana yang dikatakan teknik membuat lepat pulut sambil tidur tu? Tengok je la video tu.