Seperti yang saya katakan dalam entri yang lepas, saya membeli 6 bakul durian. Separuh dah dibuat tempoyak untuk kegunaan dalam pengajaran selepas hari raya nanti. Separuh lagi saya jadikan lempuk kerana nak makan semua memang tak larat. Kebetulan ada durian yang diimport dari kampung juga baru tiba. Cara yang terbaik untuk simpan durian adalah dengan manjadikannya lempuk. Teknik ini dah lama digunakan oleh nenek moyang kita sebagai cara tradisional untuk mengawet durian.

Bahan-bahan untuk Lempuk Durian
1kg Isi Durian
250g Gula Pasir

Cara Membuat Lempuk Durian
  1. Masukkan isi durian dan gula ke dalam kuali.
  2. Masak di atas api sederhana sambil dikacau sentiasa.
  3. Apabila lempuk telah menjadi betul-betul kental sehingga tidak melekat pada kuali dan berwarna gelap, tutup api. Biarkan sejuk didalam kuali. Proses ini mungkin mengambil masa sehingga 1 jam.
  4. Setelah sejuk, barulah disimpan didalam bekas yang sesuai atau dipek dalam plastik atau upih.

Tip Masakan Komersial

  1. Mengawet menggunakan gula adalah salah satu teknik yang banyak digunakan dalam mengawet buah-buahan seperti limau kasturi, asam jawa, pala dan lain-lain.
  2. Lebih banyak gula yang anda gunakan, lempuk anda akan tahan lebih lama jika diproses dan disimpan dalam keadaan bersih. Anda boleh menambah gula sehingga separuh dari berat durian jika anda sukakan manis tetapi lempuk yang terhasil akan menjadi terlalu keras apabila sejuk.
  3. Secara komersial, lempuk dimasak dalam kawah yang besar dengan pengacau elektrik seperti membuat dodol. Penggunaan mesin yang kuat ini akan menjadikan lempuk lebih halus dimana isi durian termasuk bahagian yang keras akan hancur dan bercampur sebati. Tidak hairanlah jika mereka tidak perlu memikirkan kualiti durian dan ini amat menjimatkan.
  4. Untuk membuat jem durian, anda tak perlu memasak terlalu lama. Cukuplah sekadar isi durian menjadi pekat dan mudah disapu pada roti. Tak perlu santan, nanti jadi serawa pulak. heheh
  5. Setelah sejuk, lempuk durian akan menjadi lebih keras. Jadi apabila anda rasa semakin sukar untuk mengacau lempuk ini, boleh la dimatikan apinya. Kalau tunggu sampai betul-betul kental baru nak matikan api, dikhuatiri apabila sejuk nanti terpaksa menggunakan pisau untuk memotongnya.