Bagi orang Malaysia, menu seperti Lempeng Batak Gebu hanya sesuai untuk sarapan, minum petang atau jenis-jenis makanan ringan. Bagi saya pula ia adalah hidangan utama. Anak saya memang menggemari roti canai, roti jala, tossei, dan sebagainya. Tapi nak membuatnya memerlukan masa dan perhatian yang lebih. Saya juga mahukan ia lebih menyihatkan dan mampu menawan selera anak. Cara paling baik adalah dengan membuat lempeng batak.


Namun kali ini saya teringin menjadikannya gebu dengan penggunaan yis. Lempeng Batak Gebu lebih kurang seperti roti nan ataupun flatbread. Bezanya lempeng batak saya ni mempunyai tekstur seperti roti. Apabila digandingkan dengan kari, lempeng batak gebu ini menjadi hidangan sepinggan lengkap. Jangan lupa, masukkan banyak sayur dalam kari ye..



Bahan-bahan Lempeng Batak Gebu
500g Tepung Gandum Pelbagai Guna
6g Yis Segera
1 cmt Minyak Zaitun
1 cmt Garam
250g Air



Cara Membuat Lempeng Batak Gebu
  1. Gaul Tepung Gandum bersama yis dan garam.
  2. Masukkan air perlahan-lahan dan uli hingga menjadi doh.
  3. Masukkan minyak masak dan uli lagi hingga menjadi doh yang lembut tapi tak melekat.
  4. Rehatkan lebih kurang 30 minit.
  5. Bahagikan doh menjadi lebih kurang 80g setiap satu. Bulatkan dan rehatkan dalam dulang dengan jarak 1 inci atau lebih.
  6. Setelah 30minit hingga 1 jam, canaikan dengan penorak menjadi setebal ½ cm.
  7. Goreng diatas kuali leper tanpa minyak dengan api sederhana perlahan kedua-dua permukaan.
  8. Hidangkan bersama kari atau pencicah kegemaran anda.



Tips Masakan Komersial
  1. Nisbah tepung dan air yang paling sesuai untuk dijadikan doh adalah 2:1. Bagaimanapun untuk kiraan tepat ia bergantung kepada jenis tepung yang anda gunakan. Tambahkan air untuk mendapatkan doh yang lebih lembut. Lebih lembut lebih baik.
  2. Jika doh terlalu lembut, tidak mengapa. Tak perlu ditambahkan tepung lagi sebenarnya kerana ia lempeng akan lebih gebu. Tetapi mungkin sedikit sukar untu mencanai apabila ia melekat pada papan pencanai. Cara paling baik adalah dengan menaburkan lebih banyak tepung sewaktu mencanai. Berbanding dengan menambah tepung kedalam doh, hasil lempeng batak anda akan lebih cantik.
  3. Minyak menjadikan lempeng lebih lembut dan gebu didalamnya. Tetapi ia bukan suatu kemestian. Ada juga yang menggemari lempeng yang liat tanpa minyak. Jika anda menambahkan lebih banyak minyak, lempeng akan menjadi lebih rangup permukaannya. Semuanya bergantung kepada selera anda.
  4. Jika ia digoreng dengan minyak yang lebih banyak, ia akan mengembang lebih besar. Permukaannya akan menjadi lebih rangup dan mungkin akan menggelembung besar. Kanak-kanak menggemari tekstur sebegini. Inilah kelebihannya jika masak sendiri. Anda boleh menyediakan ikut citarasa setiap orang dalam keluarga. Saya sukakan yang lebih tebal tanpa minyak. 
  5. Lempeng batak seduai digandingkan dengan kari sebagaimana roti canai, roti jala, roti nan, tosei dan sebagainya. Namun pastikan kari anda juga lengkap dengan khasiat yang diperlukan. Tambahkan sayur, kacang dhal dan berbagai lagi mengikut kehendak anda. Jangan la hanya kari kosong macam kat kedai tu. Kalau nak masak macam tu, lebih baik beli kat kedai je.