Berhubung dengan misteri kehilangan pesawat MH370, saya turut bersimpati atas apa yang berlaku. Moga kaum keluarga individu yang terlibat dapat bersabar dan jangan berhenti berdoa agar dipermudahkan segala urusan. Saya mohon kepada pengunjung-pengunjung blog Resepi Masakan Barat Komersial juga sama-sama mendoakan kesudahan yang baik untuk mereka. 

Saya memaparkan resepi Lamb Chop Mudah dan Pantas pada kali ini khusus untuk penggemar masakan barat yang tak begitu cerewet asalkan dapat menikmati makanan kegemaran mereka dengan segera. Resepi lamb chop ini mudah dan pantas disediakan. Saya rasa, dalam masa tak sampai 5 minit, anda dah dapat menghidangkan  masakan ini. Jadi, jangan bertangguh lagi. Segera dapatkan bahan-bahan yang diperlukan dan pastikan anda sentiasa menyimpannya di dapur anda. Walaupun resepinya pendek dan ringkas tapi banyak yang akan anda pelajari dalam tip masakan berguna dibawah. Jadi teruskan membaca.


2 keping Lamb Shoulder
Secubit Rosmary ditumbuk
1 cmt Lada Hitam ditumbuk kasar
50g Serbuk Demi Glaze
Sayur-sayuran seperti carrot, asparagus, brokoli dsb
Karbohidrat seperti kentang atau nasi dsb
Sedikit mentega atau majerin atau minyak masak


Cara membuat Lamb Chop Mudah serta Pantas
  1. Bersihkan lamb shoulder dan buangkan lemak-lemak yang tebal. Taburkan secubit rosmary dan secubit garam serta lada hitam.
  2. Panaskan kuali leper, sapukan sedikit minyak dan grilkan lamb shoulder kedua-dua permukaan sehingga masak.
  3. Sementara itu, campurkan serbuk demi glaze dan 1 cwn air kedalam periuk. Masak sehingga mendidih dan pekat.
  4. Masukkan lada hitam jika suka. Perasakan dengan garam dan gula jika perlu.
  5. Untuk sayur-sayuran, potong  kecil dan saute diatas kuali leper bersama sedikit mentega.
  6. Hidangkan semuanya ketika masih panas.

Tip Masakan Berguna
  1. Lamb shoulder adalah bahagian yang paling saya suka kerana dagingnya lebih pejal dengan sedikit tulang. Bahagian kedua adalah rib dimana bahagian ini lebih lembut. Di pasaraya biasanya menjual daging bahagian ini dalam bentuk siap dipotong kepada kepingan nipis 2 hingga 3 cm. Kali terakhir yang saya tahu, harganya RM17 sekilogram. Sekarang mungkin lebih tinggi lagi. Anggarannya sekeping lamb diantara 2 hingga 4 ringgit.
  2. Anda boleh menggunakan rosmary segar jika ada dijual ditempat anda tetapi jika tiada, gunakanlah rosmary kering yang banyak dijual di pasaraya. Kalau kering, mudah sikit menyimpannya dan boleh tahan lama. Anda juga boleh menggunakan herba-herba masakan barat yang lain yang anda suka. Kalau susah sangat nak pilih, guna je steak seasoning atau mix herbs. Habis cerita.
  3. Tak ramai yang tahu kewujudan serbuk demi glaze dipasaran. Mungkin ini sebabnya ramai surirumah yang membuat lamb chop menggunakan sos lada hitam dalam botol. Sos dalam botol seperti ini lebih sesuai sebagai sos pencicah. Sos import dalam botol pula kebanyakkannya untuk barbeku dan diragui status halalnya.
  4. Knorr adalah satu-satunya jenama yang saya jumpa menjual serbuk demi glaze ditempat saya. Telah lama produk ini dipasaran tapi kurang dikenali. Mungkin kerana ia menggunakan nama demi glaze dan hanya orang tertentu sahaja yang tahu. Kalau ia menggunakan nama black pepper sauce atau brown sauce mungkin lebih ramai yang mengenalinya. Demi glaze serbuk ini juga dikeluarkan dalam pek yang besar menyebabkan ia tak sesuai dibeli oleh pengguna dirumah. Mungkin syarikat mensasarkan pengusaha restoran untuk menggunakan produk mereka. Patut la banyak restoran yang menyajikan chicken chop, lamb chop, fish and chip, black pepper steak mempunyai rasa yang sama je. Bagaimanapun, dikedai barangan kek ada menjual demi glaze serbuk dalam kuantiti kecil tapi mereka membungkus sendiri menyebabkan saya tak mengetahui jenama yang digunakan.
  5. Dalam masakan barat mesti ada sayur agar hidangan lebih seimbang. Anda boleh menggunakan sayur yang anda suka dengan kaedah memasak yang anda suka. Kalau carrot dan asparagus saya suka saute dengan sedikit minyak atau mentega. Kalau brokoli atau kobis bunga, saya suka celur dalam air panas sebentar. Boleh juga menggunakan sayur campur sejukbeku. Selain itu ada juga sayur yang saya suka makan segar seperti salad, lettuce, watersprout atau kobis. Curahkan sedikit dressing seperti vinaigrette iaitu french dressing atau sos tartar untuk lebih enak.
  6. Karbohidrat dalam masakan barat biasanya kentang sama ada kentang goreng atau kentang putar. Kentang juga boleh dipotong kecil dan direbus sehingga empuk. Kemudian saute bersama mentega, lada sulah, garam dan gula jika suka. Kalau tumiskan bawang besar bersama  kentang ini pun sedap juga. Buatlah yang mana anda rasa selesa.
  7. Untuk nasi, bolehlah dikatakan masakan barat versi Malaysia. Orang kita memang tak kenyang kalau tak makan nasi. Dah makan macam-macam pun tetap nak cari nasi juga. Jadi anda boleh hidangkan nasi bersama lamb chop ini. Cetakkan nasi yang baru dimasak menggunakan mangkuk kecil kemudian letakkan sedikit mentega diatasnya. Kepanasan nasi akan menyebabkan mentega menjadi cair dan menyerap kedalam nasi. Boleh juga menggunakan nasi goreng citarasa hotel yang cepat dan mudah yang pernah saya paparkan dalam blog ini dahulu.
  8. Bagi penggemar chicken chop, fish and chip atau steak, kaedah yag sama juga boleh digunakan. Jika anda lebih suka menggoreng dalam minyak banyak untuk lebih garing, lakukanlah. Ramai kanak-kanak amat menggemari masakan barat tetapi tak ramai ibubapa sanggup kerana harga hidangan ini sedikit tinggi di restoran. Moga dengan resepi ini anda dapat menghidangkan masakan barat untuk mereka bila-bila masa mereka mahu. 
p/s Suka tengok anak saya terlompat-lompat bila dapat apa yang dia mahu.