Selalu orang komplen bila beli laksam di gerai atau pasar malam, rasanya hambar. Saya pun rasa macam tu juga Cuma taka da la bising-bising. Saya faham kos yang mereka tanggung. Bila nak jual harga murah, tentulah bahan yang digunakan cukup-cukup je. Kalau guna banyak ikan, harganya tentu kena up lagi. Kalau yang berduit, boleh la ke restoran popular untuk laksam yang sedap. Kalau tak sanggup keluar duit banyak, masak sendiri adalah pilihan yang terbaik. Bagi saya pula, masak sendiri memang dah jadi darah daging. Masak sendiri memang lebih menjimatkan berbanding beli di kedai. Bagaimanapun masak sendiri dengan resepi komersial lebih menjimatkan. Malah, saya dapat menjauhkan bahan yang mungkin memudaratkan keluarga saya.



Bahan-bahan untuk Resepi Laksam Senang, Sedap dan Sempurna
200g Tepung Beras
60g Tepung Gandum
600g Air
2 ekor Ikan Bembung Besar
200g Santan Pekat
1 bj Bawang Besar
2 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
1 cmt Lada Hitam
2 kpg Asam Gelugur/Keping
Garam dan Gula serta air secukupnya
Ulam-ulaman, sambal belacan dan limau Kasturi sebagai pelengkap.



Cara membuat Laksam Senang, Sedap dan Sempurna
  1. Bancuhkan 600g air Bersama tepung beras dan tepung gandum. Masukkan garam jika suka. Kacau sehingga sebati dan tidak berketul. Boleh juga menggunakan blender. 
  2. Rehatkan adunan selama 15 minit. Sementara itu panaskan air kukusan dan sediakan acuan atau Loyang atau tutup periuk untuk mengukus adunan. Sapukan dengan nipis sedikit minyak masak.
  3. Setelah kukusan sedia, letakkan acuan kedalam pengukus dan tuangkan ½ cawan adunan. Sebarkan rata dan tutup. Biarkan ia dikukus dengan api besar selama 3 hingga 4 minit.
  4. Apabila adunan sudah menggelembung, keluarkan dari kukusan dan sejukkan sebentar. Kemudian barulah digulung.
  5. Teruskan mengukus sehingga habis semua adunan.
  6. Untuk kuahnya, kita perlu merebus ikan terlebih dahulu sehingga masak sepenuhnya. Gunakan air yang banyak lebih kurang 1 L
  7. Setelah ikan masak, sejukkan supaya mudah diasing isi dan tulang ikan. Air rebusan disimpan untuk digunakan nanti.
  8. Seterusnya, kisar tulang dan kepala ikan terlebih dahulu menggunakan air rebusannya kemudian tapis. Ambil airnya sahaja dan buang tulang ikan.
  9. Kemudian kisar isi ikan pula sehingga halus juga menggunakan air rebusan ikan. 
  10. Dengan menggunakan air rebusan ikan juga, kisar bawang, bawang putih, halia dan lada hitam.
  11. Kemudian masukkan air kisaran tulang, kisaran isi ikan dan kisaran perencah kedalam periuk. Tambahkan santan, asam gelugur, garam dan gula. Hasil yang diperolehi lebih kurang 1.5L. Kalau terlalu pekat, tambah air lagi.
  12. Masak kuah laksam sambal dikacau perlahan-lahan sehingga mendidih. Pastikan garam dan gula seimbang.
  13. Untuk menghidang, potong atau gunting laksam yang digulung tadi setebal 1 – 2 cm. Tuangkan kuah kemudian hiaskan dengan ulam-ulaman. Akhir sekali letakkan sedikit sambal belacan dan sepotong limau kasturi.



Tip Masakan Komersial
  1. Kandungan air dalam adunan mi laksam akan menentukan tekstur mi laksam. Lebih banyak air digunakan, lebih lembut mi laksam yang anda dapat. Tentukan selera anda sendiri. Cuba kukus sikit dahulu kemudian adjust airnya. Ada orang yang suka lembut, ada yang suka yang lebih keras.
  2. Tepung gandum berfungsi untuk memberikan isi dalam laksam. Tanpa tepung gandum, mi laksam yang terhasil akan menjadi lebih jernih. Malah jika menggunakan tepung beras sepenuhnya, mi laksam akan lebih mudah patah. Anda juga boleh menggunakan tepung jagung atau tepung ubi kayu. Ini akan menjadikan mi laksam lebih liat, mudah digulung dan boleh dibuat lebih nipis seperti kwey teow.
  3. Pastikan sebelum dituangkan dalam acuan, aduanan mi laksam perlu dikacau rata terlebih dahulu. Tepung beras lebih tumpat dari air jadi sekejap sahaja ia akan termendak. Aduanan yang tidak dikacau rata menyebabkan laksam yang terhasil teksturnya tidak rata. Ada bahagian lembik dan ada bahagian keras.
  4. Satu resepi ini anda boleh menghasilkan 6 atau 7 batang mi laksam bergantung kepada saiz acuan. Pengukus saya besar jadi saya buat 8 dan 9 inci diameternya. Jadi saya perlu buat nipis supaya apabila digulung tak de la besar sangat gulungannya. Ketebalan yang baik adalah 2 hingga 3 mm tetapi apabila digulung, diameter gulungan lebih kurang 4 cm. Oleh itu sebaiknya gunakan acuan 4 segi bersaiz 9 x 9 inci. Selepas dikukus, potong dua menjadi 9 x 4 ½ inci. Sekali kukus boleh dapat 2 batang sepanjang 9 inci. Cukup untuk satu hidangan. Jika gunakan acuan bulat, gulungan yang diperolehi kecil ditepi dan besar ditengah.
  5. Laksam boleh menggunakan apa sahaja jenis ikan yang anda suka. Biasanya ikan yang mempunyai isi hitam dan kasar digunakan seperti kembung, Selayang, selar dan jenis-jenis trout. Jika menggunakan ikan yang mempunyai isi sangat kasar seperti tongkol, kuah laksam akan berkeladak dan apabila dimakan terasa isi ikan yang berpasir. Jika ikan tenggiri digunakan, kuahnya lebih putih dan halus. Tak kira apa jenis ikan yang anda gunakan, ia akan menjadi sedap asalkan anda tau menangani ikan ini contohnya jika ikan sungai atau kolam digunakan.
  6. Memasak kuah laksam memang mudah. Kisar semuanya dan masak sekaligus. Hanya perlu kacau supaya kuah tidak pecah santan. Sukatan yang saya gunakan cukup untuk hidangan 5 hingga 6 orang. Laksam ni, orang tak makan kuah banyak-banyak macam laksa penang.
  7. Laksa dan laksam memang ada persamaannya. Oleh itu segala herba yang digunakan untuk laksa sama ada laksa penang atau laksa johor, juga sesuai untuk laksam. Bagaimanapun ini bukan keutamaan. Jika ada, boleh la masukkan serai yang diketuk, bunga kantan atau daun kesom. Cuba juga dengan daun selasih, daun roselle dan sebagainya. 
  8. Begitu juga dengan bahan pelengkap, bahan yang sama digunakan untuk laksa dan laksam. Bahan biasa digunakan adalah timun, tauge, daun kesom, bunga kantan, cili merah. Di pasar malam, bahan yang lebih murah dan mudah dicari digunakan iaitu tauge, timun, kobis, kacang Panjang. Bagi saya pula, ulaman dikeliling rumah sahaja yang ada. Saya gunakan ulam raja, daun selasih, daun kaduk, timun, lobak merah, daun kesom, dan selom.
  9. Tanpa sambal belacan, rasanya tak lengkap laksam kita. Lagipun saya tak masukkan belacan dalam kuahnya. Secara aslinya, memang ada belacan dalam kuah kemudian dimakan dengan sambal belacan lagi. Saya memang tak boleh makan belacan. Apa nak buat dah nasib. Jadi saya tak gunakan belacan dalam kuah. Bagaimanapun saya menggunakan sambal belacan tapi sambal belacan saya tak ada belacan. Maksudnya resepi sambal belacan saya tak de belacan tapi rasa macam sambal belacan. Saya pun pening nak menjelaskan. Jadi berhenti disini je lah.