Memang ada keseronokannya bila memasak tidak tertakluk kepada kelaziman. Pertama, kita tak rasa terkongkong bila dapati banyak bahan yang diperlukan tak ada dalam dapur. Jadi gunakan sahaja apa yang ada. Kedua, kita dapat menghabiskan stok bahan yang ada sebelum ia rosak. Kalau nak tunggu semua bahan ada untuk membuat sesuatu masakan, mungkin lama lagi. Kalau nak beli pun tak berbaloi sebab tujuan asal adalah untuk mengosongkan dapur dan bukan menambahkan lagi barang-barang. Ketiga, mungkin terhasil satu masakan baru yang tidak disangka-sangka dan kalau bernasib baik, dapatlah mencipta hidangan yang sedap macam Laksa Ayam Pedas ni. Saya pun tak sangka rasanya boleh serasi dan seimbang dalam beberapa hal.


Masakan gabungan seperti ini dipanggil fusion. Biasanya apabila masakan barat dan masakan timur digabungkan. Bagaimanapun spagetti telah lama digunakan dalam Laksa Johor. Jadi saya dah rasa seperti Laksa Johor masakan Malaysia sepenuhnya. Nak tau apa komen anak saya? Dia kata “Sedap la mi ni. Macam makan kat hotel.”



Bahan-bahan untuk Laksa Ayam Pedas
200g Spagetti
¼ ekor Ayam
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
20 tangkai Cili Kering
2 kuntum Bunga Kantan (Kembang)
10 tangkai Daun Kesum
1 cmt Asam Jawa Extra
¼ cwn Minyak
500ml Air
2 cmt Garam
2 cmt Gula Merah



Cara membuat Laksa Ayam Pedas
  1. Spagetti direbus seperti biasa, tuskan dan ketepikan.
  2. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Daun kesum dibuang tangkainya.
  3. Bawang besar, bawang putih, halia dan cili kering dikisar sehingga halus dengan sedikit air hingga menjadi pes cair. Bunga kantan juga dikisar halus tetapi secara berasingan.
  4. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan-bahan kisar sehingga wangi dan pecah minyak. Selepas itu baru masukkan bunga kantan kisar.
  5. Masukkan ayam dan gaul rata. Apabila ayam mula mengeluarkan air, kecilkan api dan biarkan merenih.
  6. Masukkan daun kesum dan asam jawa kemudian perasakan dengan garam dan gula merah.
  7. Masak sehingga ayam masak dan sos menjadi pekat. Tambahkan air jika terlalu pekat. 
  8. Tuangkan sos diatas spagetti dan hiaskan dengan hirisan ulam-ulaman seperti daun kesum, bunga kantan, timun, tauge dan sebagainya jika perlu.



Tip Masakan Komersial
  1. Hidangan ini baru sekali saya buat jadi tak dapat la nak komen banyak-banyak. Bagaimanapun tip-tip masakannya masih sama seperti masakan melayu yang lain.
  2. Saya sukakan spagetti yang lembut. Biasanya saya merebus dua kali lebih lama dari biasa. Anda juga boleh cuba menggunakan mi-mi yang lain. Mana lah tau kalau kena dengan anak tekak anda.
  3. Secara dasarnya bahan-bahan masakan ini menyerupai asam pedas dan mesti ramai yang menyangka rasanya seperti asam pedas. Namun setelah makan bersama spagetti, barulah terasa kelainannya dan memang sangat serasi dengan spagetti.
  4. Konsep ini lebih kurang sup yang dipekatkan menjadi kurma atau rendang yang dicairkan menjadi kari. Semuanya sedap dan kini popular di Malaysia. Kalau tak cuba memang tak tahu. Mungkin juga sambal dicairkan menjadi asam pedas. Jadi apa salahnya asam pedas dipekatkan menjadi laksa ayam pedas.
  5. Bagi saya, Laksa Ayam Pedas lebih menyerupai spagetti dimana rasa masam asam jawa menggantikan tomato manakala bunga kantan menggantikan herba-herba masakan barat. Kuahnya pekat seperti sos memang melambangkan spagetti tetapi kehadiran cili kering menyerlahkan ciri-ciri kemelayuan.
  6. Jika menggunakan daging atau ayam cincang, ia akan lebih menyerupai spagetti tetapi jika menggunakan potongan ayam begini, kita dapat rasa yang lebih kuat kerana terdapat tulang bersamanya. Tetapi bila menggunakan potongan ayam, rupanya lebih kepada rendang. Jadi jangan terlalu kering. Asalkan ada kuah seperti sos tu dah mencukupi.
  7. Kalaulah saya ada aksesori laksa yang betul, tentu lebih nikmat rasanya. Selain ulam-ulaman, boleh juga menggunakan tauhu goreng, kacang dan lain-lain untuk memeriahkan pinggan. Bagaimanapun, benda yang boleh saya makan agak terhad. Jadi cukuplah apa yang ada dan bersyukur sungguh kerana dapat merasai nikmat begini.