Saya respect kat surirumah yang hidup di kampung-kampung jauh di pedalaman kerana mereka berupaya memasak hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang terhad. Ini menyebabkan saya terkenang kepada zaman kanak-kanak saya dahulu. Zaman dimana produk-produk makanan segera masih kurang dan kecil pasarannya. Tiada sos ikan, tiada sos tiram, tiada kuib ayam. Hanya ada ikan bilis atau belacan.


Tak perlu saya ceritakan siapa Mak Ngah. Saya cuma ingin beritahu, gaya masakan Mak Ngah memang tak berubah dari dulu sampai sekarang. Walaupun kini dah macam-macam produk yang menjadi penyedap rasa namun dia masih tetap masak sama macam dulu. Satu lagi, kalau dia masak nasi goreng atau mi goreng, dia memang tak letak kicap sikit pun. Tak sedap, katanya. Mungkin dulu kicap cap tiga ayam buatan cina memang tak sedap tapi kini dah banyak jenama kicap yang sedap-sedap. Bagaimanapun dia tetap tak kata tak sedap kalau letak kicap. Tradisional betul!



Bahan-bahan untuk Resepi Kwey Teow Goreng Mak Ngah Dulu Kini Dan Selamanya
1 kg Kwey Teow
20 bj Cili Kering
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
5 ekor Ikan Bilis
1 bj Telur
3 cmt Garam
1 cmb Gula Pasir
¼ cwn Minyak Masak
Sayur-sayuran seperti sawi dan sebagainya jika suka.



Cara membuat Resepi Kwey Teow Goreng Mak Ngah Dulu Kini Dan Selamanya
  1. Cili kering dipotong, dibuang bijinya dan direbus sebelum di kisar dengan sedikit air hingga menjadi cili boh.
  2. Ikan bilis direndam sebentar kemudian dikisar bersama bawang besar, bawang putih. Boleh juga dikisar bersama cili boh.
  3. Panaskan minyak masak kemudian tumiskan bahan kisar hingga wangi dan garing.
  4. Masukkan telur dan kacau sedikit sahaja supaya telur kelihatan kasar-kasar.
  5. Masukkan sayur-sayuran yang keras dan lambat empuk seperti batang sawi, lobak merah dan sebagainya. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Bila sayuran sudah lembut, masukkan kwey teow dan gaul rata. Masukkan sedikit air jika terlalu kering.
  7. Akhir sekali masukkan sayur yang lembut seperti daun sawi dan lain-lain. Hidangkan ketika panas.



Tip Masakan Komersial
  1. Selain Mak Ngah, saya belum pernah jumpa orang sudi mengekalkan cara masakannya. Dari kecil sampai besar saya makan masakan Mak Ngah rasanya tetap sama. Kalau orang lain buat mi atau nasi goreng mesti ada berbagai-bagai rasa. Kadang-kadang ada sos tiram, kadang-kadang ada sos cili atau kicap. Mungkin juga diperasakan dengan udang kering, kiub ayam atau sos ikan. Namun Mak Ngah punya masakan tetap seperti ini.
  2. Untuk nasi goreng, biasanya kita masak berbagai-bagai jenis seperti nasi goreng kampung, nasi goreng cina, nasi goreng ikan masin, nasi goreng kerabu, nasi goreng thai dan banyak lagi. Tapi Mak Ngah cuma ada 2 jenis nasi goreng iaitu nasi goreng yang berwarna putih dan nasi goreng yang berwarna merah seperti Resepi Kwey Teow Goreng Mak Ngah Dulu Kini Dan Selamanya. Unik betul la Mak Ngah ni.
  3. Kadang-kadang Mak Ngah menggunakan bahan tambahan seperti fishball dan tauhu tapi belum pernah saya makan mi goreng atau nasi goreng yang ditambah ayam, sotong, karangan laut dan sebagainya. Kalau udang, memang pernah. Untuk Resepi Kwey Teow Goreng Mak Ngah Dulu Kini Dan Selamanya diatas ni saya tambahkan isi ayam sebagai protin tambahan.
  4. Artikel saya kali ini bertujuan untuk mengajak anda semua berfikir mengenai fungsi produk-produk makanan segera yang ada dipasaran sekarang. Ramai diantara kita yang terlalu bergantung kepada produk-produk ini untuk memasak. Tak ada benda ni, langsung tak boleh nak masak. Contohnya, kalau tak ada kiub tomyam, langsung tak tahu nak buat tomyam. Lebih teruk lagi, terus tak mahu masak. Kita patut contohi Mak Ngah. Masakannya menggunakan bahan asli menyebabkan rasa masakannya kekal sama dari dulu sampai sekarang. 
  5. Saya selalu juga makan di warung dan restoran macam orang lain. Namun saya biasanya makan di tempat yang sama, menu yang sama berulang. Bagaimanapun rasa masakan ini jarang yang kekal sama. Hari ni makan nasi goreng rasa lain. Minggu depan lain pula rasanya. Tukang masak masih sama. Harga juga sama. Rupa-rupanya bahan yang digunakan seperti sos tiram, sos ikan, sos cili dan lain-lain yang bertukar-tukar. Ini kerana harga bahan ini tidak tetap dan tukang masak hanya memilih bahan yang menawarkan harga murah. Jadi bila sesuatu bahan itu ada promosi dengan harga lebih murah, bahan itulah yang dipilihnya. Kalau dia tak bergantung kepada produk segera, perkara seperti ini tak akan berlaku.
  6. Hari ini saya makan di gerai food truck yang kononnya gah dan viral sekarang ni. Tengok harga nasi goreng sampai RM8. Fuhh! Ni mesti berselirat ayam udang sotong dan ntahapaapalagintah dalam nasi goreng tu. Sekali dia hantar pesanan, yang saya terima hanya nasi goreng kosong semata-mata. Tak meriah langsung. Timun tak de. Salad pun tak de. Sos cili, sup kosong atau sambal belacan, jangan mimpi la. Baik saya makan kat warung. Ada kipas, ada TV boleh tengok JDT lawan Felda United. Timun, sup kosong, sambal belacan memang tak kedekut la. Siap tabur bawang goreng dan daun bawang lagi. Harga tak sampai RM5.
  7. Mungkinkah berniaga  menggunakan food truck memerlukan kos yang tinggi? Sepatutnya pelanggan tak patut dibebankan untuk sesuatu yang bukan untuk kegunaan pelanggan. Patutkah anda naikkan harga semata-mata sebab anda nak berniaga menggunakan kereta Ferrari? Tapi kalau anda dapat sediakan ruang makanan yang selesa, berhawa dingin ada logik juga kalau harganya sedikit tinggi kerana ia adalah untuk pelanggan. 
  8. Bagaimana pula jika anda berhenti bergantung kepada produk segera? Cuba hasilkan makanan yang sedap seolah-olah anda menggunakan produk-produk ini. Dengan cara ini, anda dapat mengurangkan kos. Masakan anda juga kekal stabil rasanya dan juga unik macam Mak Ngah. Dimanapun Mak Ngah masak, saya akan dapat kenal ini adalah masakan Mak Ngah.