Saya berhasrat untuk memaparkan resepi-resepi masakan melayu berempah yang mudah dan ringkas. Resepi ini sesuai untuk perayaan atau keraian seperti hari raya Aidil Fitri atau majlis perkahwinan. Rasanya cuma kerutup sahaja yang masih menunggu giliran. Resepi lain seperti kari, rendang, kuzi, opor dan lain-lain semuanya sudah. Kali ini Resepi Kurma Ayam 70-an mengambil giliran. Seperti biasa, resepi saya tidak menggunakan rempah segera seolah-olah berada di tahun 70-an. Saya lebih selesa mengisar sendiri rempah-rempah saya mengikut selera saya. Sekurang-kurangnya rasa kurma ayam saya hari ini tak sama dengan rasa kurma ayam saya esok. Setiap kali masak kurma, rasanya berlainan walaupun nama masakannya masih kurma. Yang paling utama, belanjanya sangat murah dan sesuai untuk berniaga nasi kandar.


Bahan-bahan untuk Resepi Kurma Ayam 70-an
½ ekor Ayam
2 bj Kentang
2 ulas Bawang Putih
1 bj Bawang Besar
1 inci Halia
2 btg Serai
1 cmb Ketumbar
1 cmt Jintan Manis
1 cmt Jintan Putih
1 cmt Lada Putih
¼ cwm Minyak Masak
½ L Air
1 inci Kulit Kayu Manis
4 kuntum Bunga Cengkih
2 kuntum Bunga Lawang
3 bj Buah Pelaga
2 cmt Garam
200 ml Santan Pekat


Cara membuat Kurma Ayam 70-an
  1. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Kentang dikupas dan dibelah 4.
  2. Kisar bawang besar, bawang putih, halia, serai, ketumbar, jintan manis, jintan putih dan lada putih dengan sedikit air sehingga menjadi pes.
  3. Panaskan minyak masak dan tumiskan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih.
  4. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga naik baunya. Boleh tambahkan air jika perlu untuk mengelakkan rempah hangus.
  5. Masukkan ayam dan gaul hingga isi ayam menjadi putih.
  6. Masukkan kentang dan air. Biarkan mendidih.
  7. Apabila mendidih, kecilkan api dan biarkan merenih. Kacau sekali-sekala supaya masaknya sekata dan tidak hangus di permukaan bawah.
  8. Setelah ayam dan kentang empuk, masukkan santan pekat dan perasakan dengan garam.
  9. Masak sehingga kuah menjadi pekat dan taburkan bawang goreng jika ada sebelum dihidang.


Tip Masakan Komersial
  1. Selalunya apabila kita menggunakan rempah kurma segera dipasaran, kita tetap juga menambah rempah penumis dan rempah-rempah lain sedangkan bahan-bahan itu semuanya sudah tersedia dalam rempah segera. Perbuatan seperti ini, bagi saya tidak menepati kehendak rempah segera itu yang bertujuan memudahkan kerja-kerja memasak. Kalau kita masih tetap perlu membeli dan menambah rempah-rempah ini, lebih baik kisar sendiri semua rempah. Lebih jimat.
  2. Anda boleh menggunakan susu berbanding santan untuk hidangan yang lebih menyihatkan. Bagaimanapun anda perlu seimbangkan rasanya dengan garam atau mungkin juga gula.
  3. Rempah seperti ketumbar dan jintan, kalau tidak dikisar halus, terasa sangat tak selesa ketika memakannya. Rasa macam mengunyah habuk kayu pun ada. Jadi pastikan anda mengisar benar-benar halus. Boleh juga terus membeli serbuk ketumbar, jintan dan sebagainya dikedai.
  4. Tanpa menggunakan ketumbar, jintan manis dan jintan putih, anda masih boleh memasak kurma. Tak percaya? Cuba sendiri dan rasai kelainannya. Bagaimanapun, cuba tambahkan cili hijau yang dikisar halus untuk mendapatkan warna kehijauan.

p/s: Kesian model blog ni demam. Makan pun tak berselera.