Masa kecil-kecil dahulu memang saya kurang gemar kuih-kuih lembut dan manis seperti onde-onde ni. Maklumlah, gigi masih kuat. Badan masih muda. Tentulah suka yang pedas dan rangup. Kini bila rambut dah mula putih, badan dah sakit-sakit, barulah terasa nikmatnya kuih tradisional yang manis dan lembut ni.

Seiring dengan peredaran zaman, kita tak perlu lagi mengisar beras pulut untuk membuat onde-onde. Walaupun guna pengisar modern, tetap berpeluh juga nak mengisar dan mengayak berkali-kali. Kalau dulu guna penggiling, lagi berlendir seluruh badan terutama bila menggiling beras pulut yang dah direndam semalaman. Bila dah basah, kena la tapis guna kain. Comot sampai ke muka.


Bahan-bahan untuk Kuih Tradisional Onde-onde Buah Melaka

500g Tepung Pulut

50g Tepung Gandum

Sedikit Garam

1 bj Kelapa Parut (Putih)

Gula Melaka

Air secukupnya.



Cara Membuat Kuih Tradisional Onde-onde Buah Melaka

  1. Campurkan tepung pulut, tepung gandum dan sedikit garam.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil dikacau sehingga menjadi doh yang lembut dan licin.
  3. Jika ingin membuat onde-onde berwarna-warni, bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan warnakan mengikut kesukaan anda.
  4. Cubit doh dan bulatkan lebih kurang 3 cm.
  5. Gula melaka di dadu kecil secukupnya.
  6. Ambil satu doh kemudian lubangkan seperti mangkuk. Masukkan gula melaka kemudian tutup dan bulatkan semula. Buat sehingga habis untuk semua warna.
  7. Panaskan air dalam periuk yang tinggi dengan paras air lebih kurang 6 inci. Biar mendidih kuat.
  8. Rebuskan doh yang telah siap dimasukkan gula melaka tadi. Tunggu hingga doh timbul.
  9. Sementara itu, gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam.
  10. Apabila bebola doh dah timbul, kaup dengan senduk berlubang, tuskan beberapa saat kemudian golekkan diatas kelapa parut. Pastikan kelapa melekat dengan rata.
  11. Buah melaka bolehlah dihidangkan.



Tips Masakan Komersial

  1. Dahulu, ibu saya menggunakan tepung pulut sepenuhnya. Tiada campuran tepung lain. Hasilnya onde-onde menjadi lebih lembut dan mudah digigit. Saya menambahkan tepung gandum untuk menjadikan onde-onde saya sedikit kenyal. Ada juga yang menambahkan tepung beras. Cara ini menghasilkan onde-onde yang lebih keras dan kukuh bentuknya. Macam biasa, saya suka yang sedang-sedang sahaja sesuai untuk semua orang dan jimat sikit belanjanya.
  2. Sukatan air untuk onde-onde tak perlu tepat. Lebih lembut doh, lebih sukar mengekalkan bentuknya. Terlalu kering pula, onde-onde akan meretak sebelum direbus. Jadi doh yang baik adalah doh yang meretak sedikit sahaja apabila dipicit. Apabila dibulatkan kecil-kecil, permukaannya licin dan ia tidak meleper sedikitpun setelah beberapa minit.
  3. Doh yang terlalu kering akan menghasilkan onde-onde yang sedikit keras dan lambat masak. Bila terlalu basah pula, bentuknya tidak betul-betul bulat setelah direbus. Saya lebih utamakan rasa jadi saya tak kisah sangat dengan bentuknya asalkan lembut dikunyah. Anda tentukan selera anda sendiri. Jangan dengar cakap orang lain.
  4. Untuk mewarnakan doh, ada baiknya anda menggunakan paste iaitu dimana ia mengandungi rasa dan warna sekaligus. Untuk warna hijau saya suka gunakan pandan paste. Jadi ada rasa pandan selain dari warna hijau yang cantik.
  5. Paste lebih pekat dari pewarna. Anda harus perhatikan kepekatan pewarna yang akan digunakan. Jika ia cair, adalah lebih baik anda bancuh doh lebih keras supaya doh yang terhasil nanti tidak terlalu lembik.
  6. Berbagai jenis gula yang boleh anda gunakan namun pastikan gula mudah cair. Gula melaka, gula merah, gula buku, gula kabung, semuanya sesuai untuk onde-onde. Bagaimanapun tempoh masa mencair setiap gula tidak sama. Gula buku atau gula masak paling lambat cair jadi dadu gula ini lebih kecil lagi supaya lebih cepat cair. Bagaimanapun lagi kecil gula didadu, lagi leceh la nak masukkan kedalam doh.
  7. Pastikan air betul-betul mendidih sebelum dimasukkan bebola onde-onde. Jangan masukkan banyak sekaligus kerana tahap kepanasan air akan berkurang secara mendadak. Jika air kurang panas, onde-onde akan terus tenggelam kedasar periuk dan melekat dibawah. Kita perlu meregangkan onde-onde yang melekat ini dengan senduk. Ini menyebabkan bentuk onde-onde tidak begitu cantik dan kemungkinan pecah atau bocor. Sebab itulah saya mengesyorkan periuk yang tinggi dengan paras air tertentu.
  8. Onde-onde yang cantik adalah onde-onde yang bulat, ketebalan doh yang sekata dan salutan kelapa yang tidak basah. Selain itu rasanya juga perlu sesuai dengan selera. Tidak terlalu manis dan gula cair dengan baik tanpa ada gula yang masih berketul atau mungkin sedikit sahaja yang belum cair.
  9. Onde-onde perlu dimakan dengan berhati-hati kerana walaupun luarnya dah sejuk, gula yang cair didalamnya mungkin masih panas. Perlu diingatkan kepada kanak-kanak kerana mereka biasanya tak sabar bila nampak kuih yang berwarna-warni seperti ini. Saya juga suka membuat onde-onde bersaiz kecil dimana boleh muat dalam mulut sekaligus. Jika onde-onde terlalu besar, kita perlu menggigit dahulu menyebabkan gula memancut keluar. Begitulah hebatnya kuit tradisional. Nak makan pun kena ada caranya!
  10. Saya tak pernah cuba menggunakan bahan lain seperti tepung beras, air kapur dan sebagainya. Semua tu hanya berbeza tahap kekenyalannya. Bagi saya, resepi seperti diatas ni pun dah cukup sedap, mudah dan jimat.