Sibuk dengan EURO ke sekarang ni? Saya pun sibuk jugak tapi sibuk dengan kerja-kerja saya la. Nak masak pun kadang-kadang miss. Tapi makan tetap makan. Bila melihat tilawah al-quran tv, barulah terfikir bulan Ramadhan dah semakin dekat. Tambahan pula, tilawah peringkat kebangsaan dibuat di Johor Bahru. Mula la terkenangkan kuih-kuih yang popular di bulan puasa. Tentunya kuih tradisional yang menjadi pilihan memandangkan kuih modern, sepanjang tahun pun boleh dapat. Teringin betul nak makan kuih getas atau getas-getas. Ada juga yang memanggil gegetas. Kuih tradisional yang sangat unik kerana rasanya yang lemak manis. Membuatnya memang paling senang berbanding kuih tradisional yang lain. Uli, gentel dan goreng je. 10 minit dah boleh makan.


Bahan-bahan untuk Kuih Getas
50g Tepung Pulut
80g Kelapa Parut
100g Air
1 cmt Garam
3 cmb Gula Pasir
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.


Cara membuat Kuih Getas

  1. Campurkan tepung pulut dengan kelapa parut.
  2. Larutkan garam dalam air dan masukkan kedalam tepung pulut dan kelapa parut tadi.
  3. Uli sehingga dapat doh yang lembut tapi tak melekat pada tangan dan mangkuk.
  4. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian lebih kurang 30g setiap satu
  5. Bentukkan menjadi lonjong dan leper. Buat sehingga habis.
  6. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
  7. Gorengkan kuih getas sehingga kekuningan. Angkat dan tuskan.
  8. Masukkan gula dan 1 cmb air dalam kuali dan panaskan dengan api kecil
  9. Setelah gula cair dan berbuih, masukkan kuih getas tadi dan gaul sentiasa sehingga gula berhablur.
  10. Angkat dan hidangkan


Tip Masakan Komersial

  1. Kuih getas dalam resepi diatas menghasilkan kuih yang rangup diluar dan lembut didalam ketika panas. Jika anda gemarkan kuih yang lebih kenyal didalamnya, boleh tambah 1 atau 2 cmb tepung gandum didalam adunan. Jangan terlalu banyak kerana tepung gandum akan menyebabkan kuih getas liat setelah sejuk. Bagi saya, jika ingin makan panas-panas, saya akan gunakan resepi diatas. Jika ingin makan sejuk, saya akan tambah tepung gandum. Baru terasa mengunyahnya.
  2. Gunakan kelapa parut yang sedikit muda dan putih isinya. Tak seronok mengunyah kelapa tua kerana terasa sangat hampasnya. Jadi parutlah bahagian putihnya sahaja supaya kuih lebih cantik tanpa bintik-bintik hitam.
  3. Timbangan 30g sesuai untuk kuih yang berharga RM1 untuk 3 keping. Dapat la RM4 untuk satu resepi diatas. Memang kelapa, tepung pulut dan gula sekarang lebih mahal tapi berpada-pada la dalam meletakkan harga.
  4. Gorengkan kuih getas dengan kepanasan sederhana kerana kuih getas mudah meletup dalam minyak panas. Jadi berhati-hatilah supaya tidak ditimpa kemalangan. Saya kadang-kadang suka juga kuih getas yang meletup ni sebab isi dalamnya gebu sungguh. Tapi tak tahan la asyik terpercik minyak panas. Nak kena lap seluruh dapur lak tu. Kalau anda sukakan ekstrem, boleh cuba cara ini.
  5. Saya rasa menyira kuih getas dengan gula senang je. Macam kita menyira kuih keria je. Saya tak sempat nak cerita pasal ni terutama sebab-sebab gula tidak berhablur. Kali kali je la.