Bila saya ceritakan mengenai kuih tradisional, biasanya tiada resepi khusus untuknya. Orang Melayu dulu, rasa kuih di majlis kenduri, balik rumah terus cuba buat sendiri. Sebab itulah kuih tradisional ini ada banyak versi. Seperti kuih bom ini, ada berbagai cara yang pernah dicuba. Bahan-bahan juga sedikit berbeza namun ciri-cirinya tetap sama iaitu pulut yang disalut bijan berintikan sesuatu yang manis kemudian digoreng.



4 Malaysian Women With Stunning Youthful Skin. 1 Beauty Secret. Want To Find Out?

Resepi Kuih Bom dibawah hanya sebagai pedoman saya, jadi jangan percaya bulat-bulat. Sentiasa berpandukan tip-tip masakan yang saya sertakan dibahagian bawah artikel ini. Saya memang suka buat macam ni. Kalau orang yang malas berfikir dan membaca selalunya buat tak jadi. Lepas tu marah kat saya. Terhibur la jugak hati saya. Keh keh keh!



Bahan-bahan Resepi Kuih Bom
500g Tepung Pulut
100g Tepung Gandum
Air secukupnya.
1 Resepi Inti Kelapa Manis (Klik untuk rujuk resepi lengkap saya)
200g Bijan Putih
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.


Cara Membuat Kuih Bom
  1. Gaulkan tepung pulut dan tepung gandum hingga sekata.
  2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul dengan tangan sehingga membentuk doh yang lembut, licin dan tak melekat di tangan.
  3. Ambil doh lebih kurang 25g-30g bulatkan dan kemudian leperkan di tapak tangan. Masukkan inti kelapa ½ cmb ditengah-tengah. Bulatkan semula doh dengan inti berada ditengah-tengahnya.
  4. Doh yang telah dimasukkan inti dan dibulatkan tadi terus digolekkan di atas bijan sehingga bijan menyaluti dan melekat pada permukaan bebola.
  5. Teruskan proses 3 dan 4 sehingga habis semua doh.
  6. Panaskan minyak masak yang banyak dengan api sederhana kecil pada suhu 160˚C.
  7. Setelah minyak panas, gorengkan kuih bom hingga sedikit keperangan.
  8. Angkat dan tuskan dan bolehlah dihidangkan.



Tip Masakan Komersial
  1. Kuih bom yang benar-benar asli sebenarnya hanya menggunakan tepung pulut sahaja untuk dohnya. Bagaimanapun kuih bom yang dihasilkan kurang cantik dimana sewaktu digoreng kuih bom akan menggelembung besar tetapi akan mengecut ketika dihidang. Kuih bom begini juga menjadi kegemaran saya. Kelembutannya dan boleh ditarik panjang sewaktu digigit memang menimbulkan nostalgia zaman kanak-kanak. Cuma satu sahaja yang kurang elok adalah, kuiih bom ini akan sedikit berminyak.
  2. Ada juga kuih bom yang menggunakan tepung pulut bercampur sedikit tepung beras. Kuih bom begini lebih keras teksturnya. Kemungkinan kulit luarnya menjadi garing sangat tinggi. Tak ada bijan pun dah rasa kerangupannya. Kuih bom juga lebih berat. Jadi kalau anda gunakan cara ini, jangan tambah tepung beras banyak-banyak. Pastikan doh yang mengelilingi inti, nipis sahaja.
  3. Resepi saya diatas juga mempunyai keistimewaan. Ia mempunyai ciri-ciri yang saya suka dari kedua-dua kaedah diatas. Bentuknya kukuh dan kekal setelah sejuk. Lembut ketika digigit, mudah diputuskan kerana kurang liat. Sedap dikunyah dan mudah digoreng berbanding jika menggunakan tepung pulut sahaja atau dicampurkan tepung beras. Cara ini juga paling menjimatkan kerana tepung gandum dapat menambahkan kuantiti dan murah harganya. Kuihnya juga kurang berminyak jadi penggunaan minyak lebih menjimatkan.
  4. Adunan yang baik adalah adunan yang lembut, licin dan tidak melekat ditangan. Untuk mengujinya adalah dengan membulatkan sedikit doh kemudian di picit bahagian tengahnya hingga leper. Jika hanya sedikit retakkan bahagian tepid oh, ia dah cukup  baik. Jika terlalu besar dan banyak retakkannya, bermakna doh terlalu keras. Boleh tambahkan sedikit air lagi. Jika tiada retakkan langsung, artinya doh terlalu lembik. Kemungkinan kuih bom akan meleper sebelum digoreng. Tambahkan tepung pulut lagi.
  5. Tepung pulut apabila digoreng akan menyebabkan ia menggelembung. Setelah masak, ia akan mengecut sewaktu menyejuk. Dengan penggunaan tepung jagung, tekstur kuih bom dapat dikekalkan. Ia akan menggelembung sedikit menjadikan bentuknya sangat bulat kemudian bentuknya kekal walaupun sejuk. Terlebih tepung gandum pula menyebabkan kuih menjadi berat dan tidak timbul setelah beberapa saat digoreng.
  6. Kuih bom yang baik akan timbul lebih kurang 15 saat selepas digoreng. Jika kuih tak timbul, ada beberapa kemungkinan. Pertama, minyak goreng terlalu panas. Kedua, terlebih kandungan tepung gandum dan ketiga, kulit doh kuih bom terlalu tebal. Tebal kulit yang sesuai lebih kurang 5mm sahaja.
  7. Jika sewaktu digoreng, kuih bom mengelembung secara tidak sekata bermakna inti yang dimasukkan tidak berada betul-betul tengah. Perlu sedikit kemahiran dalam menghasilkan kuih bom yang seragam. Anda juga boleh menggengam dengan lembut kuih bom yang telah dimasukkan inti supaya udara yang terdapat dalam inti dapat dikurangkan. Setelah itu, barulah dibulatkan semula dan digolekkan pada bijan.
  8. Apabila digolekkan kuih bom ini pada bijan, anda perlu tekankan sedikit dengan tapak tangan supaya bijan dapat melekat kuat pada doh. Ini dapat mengelakkan bijan tertanggal sewaktu menggoreng. Ia juga perlu digolekkan sebaik sahaja dimasukkan inti. Ini untuk mengelakkan permukaan doh kering menyebabkan bijan tidak dapat melekat dengan baik.
  9. Apabila menggoreng kuih yang menggunakan tepung pulut sebagai bahan utama, ia perlu digoreng dengan api yang sederhana perlahan. Pulut adalah padat dan berat jadi ia mengambil masa untuk mengembang. Api yang kuat menyebabkan permukaan luarnya mengeras sebelum sempat bahagian dalamnya mengembang. Ini boleh menyebabkan kuih bom menjadi retak dan lebih teruk lagi menghasilkan letupan yang membahayakan. Jadi bersabarlah menunggu kuih bom masak perlahan-lahan. Jangan sampai bom makan tuan.