Kuih pintal ni sebenarnya adalah kuih zaman saya kanak-kanak dahulu. Tiba-tiba pulak terkenangkan zaman kanak-kanak yang riang dan ceria. Pada waktu itu, kuih pintal dijual dalam balang kaca seperti jeruk. Tidak dipek satu persatu. Beberapa tahun kemudian barulah ia di bungkus secara individu untuk menjaga kesegaran dan kebersihan. Sekarang ni banyak kuih tidak dibungkus satu persatu semula, mungkin kerana ingin menjimatkan kos dan pembeli pula membeli terus satu balang.
Zaman saya, kuih pintal hanya berharga 10 sen satu. Sekarang saya tak nampak dimana adanya kuih pintal dijual. Mungkin masih ada dikampung-kampung. Masa itu, kuih ini diusahakan oleh peniaga cina. Tak pernah jumpa kuih yang dibuat oleh melayu. Kuih pintal pada asasnya adalah sama dengan adunan karipap. Bagaimanapun oleh kerana kuih pintal lebih besar dan tebal, jadi sesuatu perlu ditambah agar kuih ini menjadi rangup. Ada juga kuih pintal yang disira dengan gula seperti keria. Tak perlu fikir banyak, mari kita tengok resepinya.



Bahan-bahan untuk Kuih Pintal
270g Tepung Gandum
50g Gula Pasir
1 bj Telur
25g Shortening
¼ cmt Soda Bikarbonat
½ cmt Baking Powder
1 cmt Garam
120g Air
Minyak masak untuk menggoreng



Cara membuat Kuih Pintal
  1. Campurkan tepung gandum, soda bikarbonat, baking powder, garam dan gula dalam satu bekas dan gaul rata.
  2. Tambahkan air dan uli hingga membentuk doh.
  3. Masukkan shortening dan uli lagi hingga mendapat doh yang lembut dan melekit.
  4. Tutup bekas dan rehatkan doh lebih kurang 30 minit.
  5. Setelah direhatkan, uli lagi doh sehingga kenyal dan tak melekat. Boleh taburkan sedikit tepung diatas meja ketika menguli untuk memudahkan kerja.
  6. Bahagikan doh kepada 25g – 30g dan bulat-bulatkan. Tutup supaya tidak kering dan rehatkan lagi lebih kurang 15 minit.
  7. Ambil satu doh dan bentukkan selinder memanjang dengan diameter lebih kurang 1 cm. Pastikan diameternya sama besar supaya masaknya sama rata.
  8. Sengan meletakkan tapak tangan kiri di hujung kiri doh dan tapak tangan kanan di hujung kanan doh gerakkan tangan kiri ke belakang dan tangan kanan ke depan. Ini akan menjadikan doh berpintal.
  9. Setelah cukup pintalannya, lipat doh kepada dua dan ini menyebabkan doh ini berpintal seperti tali. Cantumkan hujung doh supaya pintalannya tidak terbuka.
  10. Panaskan minyak masak yang banyak sehingga 150˚C.
  11. Gorengkan kuih pintal perlahan-lahan sehingga menjadi perang keemasan.
  12. Setelah menjadi rangup, angkat dan tuskan. Biarkan sejuk sebelun disimpan dalam bekas kedap udara.



Tip Masakan Komersial
  1. Walaupun saya tak pernah nampak kuih pintal dijual dimana-mana lagi, saya percaya kuih ini sebenarnya masih wujud. Mungkin juga kuih ini telah berubah bentuk sesuai dengan peredaran zaman. 
  2. Bagi yang susah nak jumpa shortening, boleh gunakan majerin atau mentega. Kalau tak de juga, boleh gunakan minyak masak je. Saya suka kuih yang tak banyak karenah. Gunakan apa sahaja. Kalau kena caranya, tetap menjadi.
  3. Tujuan merehatkan doh untuk kali pertama adalah supaya tepung gandum dapat menyerap semua air dan hasilnya doh tidak melekat lagi. Merehatkan doh kali kedua pula supaya doh mudah dibentuk memanjang. Kalau tak direhatkan, doh mudah kembali ke bentuk asalnya kerana sifatnya yang elastik.
  4. Boleh juga memintal doh dengan sebelah tangan manakala sebelah tangan lagi memegang hujung doh supaya pintalan tak terbuka. Bagaimanapun cara ini memerlukan anda membuat beberapa kali barulah cukup pintalannya.
  5. Konsep memintal kuih ini samalah dengan konsep memintal tali. Kecil-kecil dulu, saya pintal tali gasing seperti ini. Dua urat kain batik digosokkan pada peha supaya berpintal kemudian kedua-dua urat kain ini akan berpintal menjadi satu tali. Rugi la siapa yang tak pernah mendapat pengalaman ini. Zaman sekarang, tali gasing pun beli!
  6. Kuih pintal perlu digoreng dengan api perlahan dalam masa yang lama supaya bahagian dalamnya cukup masak dan rangup. Kalau api besar, luarnya sahaja yang rangup. Jadi masa menggoreng sekurang-kurangnya 20 minit bergantung kepada diameter kuih pintal. Lagi kecil saiznya, lebih cepat ia menjadi rangup. Kalau terlalu kecil pula, lebih baik makan maruku je..
  7. Kuih pintal boleh disira dengan gula atau sambal. Boleh juga ditambahkan rempah seperti jintan atau serbuk dan daun kari. Saya lebih sukakan yang asli, sama macam zaman budak-budak dulu. 
  8. Inilah diantara kenangan zaman kanak-kanak yang tak dapat saya lupakan. Walaupun harganya hanya 10 sen, namun sangat sukar nak membelinya pada waktu itu.