Kuih lapis adalah sejenis kuih tradisional yang dimasak menggunakan kaedah mengukus iaitu menggunakan haba wap daripada air mendidih. Kebaikan memasak menggunakan teknik ini antaranya makanan tidak berubah bentuk, saiz dan warnanya dan tidak banyak nutrien yang hilang. Dari segi komersial pula, kaedah ini sangat baik kerana lebih menjimatkan dimana beberapa masakan dapat disediakan dalam satu masa dan yang paling penting ia tidak memerlukan perhatian yang lebih. Letak makanan dalam pengukus dan tinggalkan. Tidak perlu risau apa-apa kerana suhu wap tetap pada 100C. Hanya pastikan air kukusan sentiasa mencukupi. Malangnya kaedah ini mengambil masa yang lama untuk masak.

Bahan-bahan untuk kuih lapis
2 1/2 cwn tepung beras
1 cwn tepung gandum
1 cwn gula pasir
200ml pati santan (dalam kotak)
1 L air bertapis
1 cmt garam
1 cmt pewarna (sirap ros)


Kaedah memasak
  1. Panaskan air secukupnya dalam pengukus. Lenserkan dengan nipis acuan 8" x 8" dengan sedikit minyak masak dan panaskan dalam pengukus.
  2. Masukkan semua bahan kering dalam mangkuk adunan.
  3. Masukkan pati santan.
  4. Dengan menggunakan whisk, kacau adunan sambil menuang air sedikit demi sedikit. Kacau sehingga adunan licin dan tidak bergentel. Kalau berjentel juga, gunakan tapis dan tapis adunan.
  5. Bahagikan dengan 2 adunan dan warnakan salah satunya dengan sirap ros.
  6. Masukkan 1 cawan adunan putih kedalam acuan dan kukus selama 10 - 12 minit.
  7. Setelah lapisan pertama masak, masukkan adunan merah pula dan kukus lagi selama 10 - 12 minit juga.
  8. Teruskan mengukus selapis demi selapis sehingga adunan habis
  9. Setelah masak, keluarkan dan sejukkan.


Tip-tip komersial

  1. Kebanyakkan kuih atau masakan yang menggunakan santan tidak akan tahan lama kerana santan mudah basi. Jadi saya akan memastikan tangan dan segala peralatan yang digunakan dalam keadaan bersih. Saya juga menggunakan santan dalam kotak yang banyak dijual dipasaran kerana santan ini lebih tahan lama. Jangan sekali-kali menggunakan pengawet.
  2. Jika kita menggunakan tepung beras sahaja, kuih akan menjadi licin dan kenyal. Rupanya memang cantik, mudah dipotong tapi saya tak gemarkan tekstur dan rasanya. Malah tepung beras lebih mahal. Kalau menggunakan tepung gandum keseluruhannya pula, kuih akan jadi lembik, melekit, sukar dipotong dan rupanya tak akan cantik. Jadi campuran antara kedua-dua tepung lebih baik. Anda boleh mengubahsuai nisbahnya mengikut selera anda. Anda juga boleh menambahkan 1 cmb tepung ubi kayu untuk menjadikannya strukturnya lebih stabil.
  3. Setiap kali mengangkat penutup kukus, agak sukar mengawal air dari menitis kedalam acuan. Saya cadangkan anda membungkus penutup kukus dengan kain bersih supaya dapat mengawal arah aliran air yang akan menitis. Lihat la gambar diatas tu. Siap tindih dengan lesung batu supaya tak banyak wap yang keluar. Maklum la, pengukus dah buruk. Kemek sana sini.
  4. Untuk memotong kuih ini, pastikan ia telah benar-benar sejuk. Kalau boleh masukkan kedalam peti sejuk terlebih dahulu. Gunakan pisau yang telah disapu sedikit minyak masak.
  5. Bungkus kuih yang telah siap dipotong menggunakan plastik sling wrap supaya kebersihannya terjaga dan kuih tahan lebih lama.

Kalau tak suka makan kuih lembik-lembik, boleh buat karipap cara komersial pulak.