Kuih tradisional Melayu ini bukan sahaja menjadi kegemaran warga emas malah warga muda juga sangat menggemarinya. Sebab itulah kuih ketayap atau dadar manis ni tetap bertahan sehingga ke hari ini. Kuih ini juga banyak dijual di gerai-gerai kerana cara kaedah penyediaannya yang mudah, kos yang kecil dan menguntungkan. Bahannya pula tidak banyak dan mudah didapati. Yang penting, kuih ketayap boleh menambahkan varasi produk jualan terutama apabila seseorang usahawan itu juga membuat kuih pau, koci dan sebagainya.


Bahan-bahan untuk Resepi Kuih Ketayap / Dadar Manis
160g Tepung Gandum Pelbagai Guna
400g Air
1 bj Telur C
5g Garam
2 cmt Pandan Paste
300g Inti Kelapa Manis (Rujuk Artikel Resepi Inti Kelapa Manis)


Cara Membuat Kuih Ketayap / Dadar Manis
  1. Masukkan air dahulu kedalam blender.
  2. Kemudian barulah dimasukkan telur, garam, pandan paste dan akhir sekali barulah tepung gandum.
  3. Kisar batter tadi sehingga sebati. Rehatkan sebentar sehingga buih-buih berkurangan.
  4. Panaskan kuali dengan api sederhana rendah dan lenserkan dengan satu lapisan minyak masak yang nipis.
  5. Apabila kuali panas, kacau sedikit adunan batter. Jauhkan kuali dari api kemudian curahkan ¼ cwn kedalam kuali.
  6. Golek-golekkan kuali supaya batter merebak membentuk bulatan nipis sekata dengan diameter lebih kurang 5 hingga 6 inci. Letakkan semula diatas api.
  7. Apabila keluruh dadar kering dan bahagian tepi kelihatan lekang dari kuali, gunakan sudip nipis untuk melekangkannya lebih banyak.
  8. Gunakan tangan, angkat dadar dan letakkan diatas dulang.
  9. Letakkan sedikit inti hampir tengah dan bentukkan memanjang.
  10. Lipat bahagian hujung, kiri dan kanan dadar dan kemudian gulung rapat.
  11. Habiskan semua batter dengan mendadar satu persatu, dan mengulung. Hidangkan ketika panas atau sejuk.


Tip Masakan Komersial.
  1. Tujuan saya memasukkan air yang pertama sekali dalam blender dan tepung diakhir adalah agar tiada tepung yang melekat di permukaan blender. Saya cuba mengurangkan kesilapan yang mungkin menyebabkan adunan batter menjadi terlalu cair atau pekat. Jika sebahagian tepung dah melekat pada blender, tentu adunan akan lebih cair dari yang sepatutnya. Jadi basahkan dahulu dinding blender juga pada bahagian yang melebihi paras air supaya peratus kejayaan lebih tinggi.
  2. Telur kuning untuk memberikan rasa pada dadar manakala telur putih pula untuk menjadikan dadar lebih lembut, lebih nipis tetapi tidak mudah koyak. Hasilnya kuih ketayap yang sangat lembut dan sedap.
  3. Sekarang ni mengisar pandan untuk mendapatkan warna, rasa dan bau pandan memang leceh. Pandan paste adalah pilihan yang tepat tetapi harganya agak tinggi. Melebihi RM30 seliter. Jadi, gunakan sedikit sahaja dah cukup. Kalau guna pewarna pula, anda tak akan dapat rasa dan bau pandan yang wangi.
  4. Melenser minyak pada permukaan kuali menggunakan daun pandan juga dapat memberikan aroma pandan pada kuih ketayap. Lenserkan nipis sahaja tetapi rata. Jangan sampai ada minyak yang bertakung. Jika terlebih sapuan minyak, dadar akan berkedut dan permukaan kuih ketayap tidak akan cantik.
  5. Paling penting adalah pemilihan kuali untuk mendadar batter. Saya hanya menggunakan kuali melengkung (wok) yang biasa sahaja. Saya tak menggunakan kuali leper kerana lebih mudah meratakan batter dengan cara menggolek. Jika menggunakan kuali leper, perlu menggunakan senduk atau sesuatu yang rata untuk meratakannya seperti membuat tossei. Kuali tak melekat (non-stick pan) pula menyebabkan dadar tak melekat pada kuali sewaktu menggolek batter. Hasilnya, anda dadar akan bergerak atau terlipat sewaktu meratakannya. Jadi saya gunakan kuali seperti dalam gambar ini kerana ia melekat sewaktu basah tetapi lekang setelah masak. Harga kuali pun paling murah antara kuali-kuali jenis lain.
  6. Setiap kali sebelum menuangkan batter keatas kuali panas, pastikan anda kacau dahulu kerana tepung boleh termendak. Jika kuali anda jenis yang mudah melekat, lenserlah minyak masak setiap kali sebelum batter dicurahkan. Kuali saya, walaupun berharga RM12, tapi sangat istimewa. Saya hanya perlu lenserkan sekali sahaja sewaktu mula mendadar. Setelah itu, saya tak perlu lenser lagi sehingga habis adunan. Kadang-kadang barang murah ni lebih berguna jika kita memahami keistimewaannya.
  7. Inti kelapa manis yang sesuai untuk kuih ketayap ini adalah inti yang lembab dan gebu. Baru serasi dengan dadarnya yang lembut. Kuih ketayap boleh bertahan hampir 24 jam dan keadaannya masih lembut. Pastikan kuih disimpan dalam bekas kedap udara yang bersih dan kering. Sejukkan dahulu sebelum dimasukkan dalam bekas untuk mengelakkan perpeluhan. Inti kelapa manis juga perlu cukup manis dan dimasak lebih lama agar kuih ketayap boleh bertahan dalam jangkamasa yang dikehendaki.
  8. Cuba dapatkan kuih ketayap sama besar dan sama panjang dengan mengambilkira beberapa perkara. Pertama, kuantiti batter yang didadar. Kedua, cara golekkan untuk mendapatkan ketebalan dan saiz yang sekata. Ketiga, kuantiti inti kelapa manis yang digunakan dan keempat, saiz lipatan kiri, kanan dan kepadatan gulungan.
  9. Saya tak rasa apa-apa kebaikkan apabila menambahkan tepung-tepung lain kedalam adunan batter seperti dala kebanyakkan resepi yang saya baca. Ada yang menambahkan tepung sagu, ada yang tambah tepung jagung dan sebagainya. Kardah saya mudah saja. Diatas ni ada resepi asas. Jika anda nak dadar yang lebih lembut dan nipis, lebihkan air. Jika inginkan dadar yang lebih tebal, lebihkan tepung gandum. Tiada masalah untuk menggulung walaupun tebal kerana hasilnya tetap lembut.