Kuih gunting adalah kudap-kudapan saya sewaktu kecil. Kadang-kadang bawa ke sekolah untuk dijual kepada kawan-kawan dalam bungkusan kecil. Dapat la duit belanja sikit. Kuih gunting pada asalnya adalah kulit karipap yang kemudiannya di perasakan dengan pelbagai cara. Sekarang ni wujud berbagai jenis kuih gunting sama-ada manis, pedas, berempah atau berperisa seafood. Namanya juga turut berubah tapi saya tetap memanggilnya dengan nama kuih gunting kerana saya nampak mak menggunakan gunting untuk membuat kuih ini. Kawan-kawan disekolah pula memanggilnya dengan nama kuih pedas mungkin sebab mereka tak nampak bagaimana mak membuat kuih ini. Kuih ini juga saya anggap sama dengan kuih siput. Bezanya, orang rajin membuat kuih siput tapi orang malas macam saya ni sekadar buat kuih gunting je. Sekarangpun ni dah maju. Jadi saya mengunakan mesin membuat mi untuk mendapatkan bentuk dan ketebalan yang sekata.


Bahan-bahan untuk Kuih Gunting
1 kg Tepung Gandum
1 cwn Minyak Masak
½ cmb Garam
250g Air
Minyak Masak untuk menggoreng tenggelam


Bahan-bahan untuk Sira Pedas
10 cmb Lada Boh
2 ulas Bawang Putih
¼ cwn Minyak masak
1 cmt Garam
5 cmb Gula Pasir
1 cmb Cuka Makan


Cara Membuat Kuih Gunting Bersira Pedas
  1. Gaul ramas tepung gandum dan minyak masak
  2. Larutkan garam kedalam air dan tuangkan kedalam adunan tepung dan uli sehingga mendapat doh.
  3. Rehatkan doh selama ½ jam kemudian uli lagi sehingga mendapat doh yang licin.
  4. Ambil sedikit doh dan canaikan menjadi setebal 1 cm.
  5. Guntingkan doh sedikit demi sedikit kepada saiz dan bentuk yang anda gemari. Atau gunakan sahaja mesin membuat mi macam saya.
  6. Panaskan minyak dan goreng doh yang siap digunting pada api sederhana sehingga kekuningan.
  7. Tuskan dan biarkan sejuk.
  8. Panaskan minyak untuk sira kuih gunting
  9. Tumbuk bawang putih sehingga hancur dan tumiskan sehingga layu dan wangi.
  10. Masukkan lada boh dan goreng sebentar.
  11. Masukkan gula, garam dan cuka. Kacau sehingga gula hancur.
  12. Sebaik sahaja gula hancur, tutup api.
  13. Masukkan kuih gunting yang siap digoreng. Gaul sehingga bahan sira sekata dan melekat pada kuih.
  14. Setelah siraan merata, buka semula api paling kecil sambil terus mengacau sehingga siraan betul-betul kering.
  15. Tutup api dan biarkan kuih gunting menyejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Berguna
  1. Kuantiti air yang diperlukan bergantung kepada kualiti tepung. Cuba ubahsuai kuantiti air untuk mendapatkan doh yang keras kerana doh yang lembut mungkin akan bercantum semula setelah digunting.
  2. Resepi diatas lebih sesuai untuk anda yang menggunakan gunting kerana apabila menggunakan gunting, kuih yang terhasil lebih tebal. Jika anda menggunakan mesin membuat mi, cuba kurangkan minyak masak kepada 2/3 cawan sahaja. Minyak yang banyak menjadikan kuih gunting lebih rapuh. Jika menggunakan mesin mi, kuih yang terhasil lebih nipis. Jika minyak tidak dikurangkan, kuih akan mudah patah sewaktu disira. Kalau minyak sikit, kuihnya tebal, takut tak terkunyah pulak nanti.
  3. Kuih yang disira juga perlu disira sehingga kering supaya kerangupannya tahan lebih lama. Anda dinasihatkan untuk menggunakan cuka berbanding jus limau, asam jawa dan lain-lain kerana kerangupan kuih gunting labih lama. Jika menggunakan bahan masam yang lain, gunakan bahan yang kurang kandungan airnya. Saya juga mengurangkan kepedasannya bersesuaian dengan selera anak saya. Kalau boleh nak merah lagi baru terangkat.
  4. Kuih gunting perlu digoreng dalam minyak yang banyak. Untuk berjimat, gorenglah sedikit demi sedikit. Gunting sikit goreng sikit.
  5. Anda boleh pelbagaikan kuih ini dengan berbagai cara yang mudah. Anda boleh sira dengan gula seperti anda menyira kuih keria atau apa-apa serbuk perasa seperti kari, bbq, ayam dan lain-lain. Anda juga boleh menambahkan rempah dalam doh. Boleh gunakan jintan yang disangai dan ditumbuk kasar seperti kuih siput masin. Kalau dah ditambah perisa didalam doh, tak perlu la disira lagi. Anda juga boleh menambahkan udang kering dalam doh seperti kuih pagoda. Cubalah apa sahaja yang unik, bijan, daun kari, stok ayam, herba masakan barat dan lain-lain untuk menghasilkan kuih anda sendiri yang unik. Mungkin ia boleh menjadi produk jajaan anda yang akan mendapat sambutan hangat.