Sekarang ni saya sedang berkursus di Johor Bahru. Minggu depan pulak berkursus ke Kuala Lumpur. Surat panggilan dan dapat. Kursus di Kuala Lumpur yang ditangguhkan sebelum cuti sekolah yang lalu pulak belum panggil-panggil lagi sampai sekarang. Silap-silap bersambung dengan kursus minggu depan. Boleh pengsan dibuatnya. Kalau dapat nak pilih salah satu je. Kesian kat pelajar-pelajar saya. Banyak lagi masakan yang perlu mereka belajar. Takut tak sempat pulak nak habiskan kursus masakan mereka.

Buah rotan ni memang kegemaran saya anak-beranak. Kalau hari raya, memang cari kuih yang rangup-rangup. Salah satunya buah rotan ni la. Saya dapati resepi-resepi di internet kebanyakkannya sama je dengan resepi dibawah ni. Saya pun tak tahu yang mana penulis asalnya. Setakat ni, resepi kat bawah ni la yang terbaik yang pernah saya cuba. Macam manapun, tip-tip masakan yang saya sertakan sekali ni, amat penting untuk mendapatkan buah rotan yang rangup sehingga bahagian dalamnya juga.


Bahan-bahan untuk Kuih Buah Rotan
4 cmb Gula Pasir
500g Tepung Pulut
1 bj Telur
200g Santan Pekat
½ cwn Air
1 cwn Bijan
Minyak masak untuk menggoreng tenggelam.


Cara membuat Kuih Buah Rotan
  1. Larutkan gula pasir dalam santan pekat. Campurkan sekali dengan telur.
  2. Gaulkan tepung pulut bersama larutan santan sehingga rata.
  3. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil di kacau dengan tangan sehingga mendapat doh yang lembut dan licin tetapi tak melekat di mangkuk. Boleh tambah atau kurangkan air jika perlu.
  4. Gentel doh menjadi bebola bersaiz 1cm dan golekkan dalam bijan. Buat sehingga habis.
  5. Panaskan minyak masak dengan api sederhana kecil.
  6. Gunakan penapis untuk mengasingkan buah rotan dengan lebihan bijan. Gorengkan sehingga kekuningan.
  7. Sejukkan dan simpan dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Komersial
  1. Sentiasa ingat, untuk menggaringkan kuih bergoreng memerlukan minyak didalam dohnya seperti karipap, kuih gunting dan sebagainya. Untuk buah rotan, kita tak mencampurkan minyak dalam dohnya tetapi santan mempunyai minyak. Oleh itu, sentiasa gunakan santan segar dan bukannya santan kotak atau serbuk kerana santan ini tidak cukup berminyak.
  2. Sekarang ni kebanyakkan padar ada menjual santan segar yang pekat. Jadi saya sediakan resepi yang menggunakan santan ini. Sekurang-kurangnya lebih mudah dari segi sukatan. Air, sebagai tambahan untuk mendapatkan doh yang betul.
  3. Tepung pulut, apabila digoreng, akan mengelembung. Bila bahagian luarnya mengeras dengan cepat sedangkan dalamnya masih lagi mengembang, akan menyebabkan buah rotan meletup. Jadi, pastikan buah rotan digoreng dengan api perlahan.
  4. Kelebihan menggoreng dengan api yang pelahan, dapat menggaringkan bahagian dalam buah rotan tanpa menghanguskan bahagian luarnya. Namun begitu masa menggoreng menjadi lebih panjang. Pastikan bahagian dalam buah rotan garing sebelum diangkat.
  5. Gentel buah rotan tak boleh terlalu besar kerana kemungkinan bahagian dalamnya tidak garing. Saiz buah rotan juga perlu sama supaya ia boleh masak dalam masa yang serentak. Sewaktu panas, bahagian dalam buah rotan memang akan sedikit lemau tatapi apabila telah betul-betul sejuk, ia akan menjadi garing dan rangup.