Saya tak pasti dimana keistimewaan kuey teow kerang ni sehingga dijual di hampir semua pasar malam seluruh Malaysia. Saya pun pernah menjadi peminat setia hidangan cina ni sehinggalah saya tak boleh lagi menikmati kerang. Sebenarnya, dalam diam, saya membelek beberapa orang penjual kuey teow kerang yang sedang memasak hidangan ini. Malu juga nak cerita tapi kalau tak buat macam ini, macam mana la ilmu saya nak berkembang. Akhirnya, saya membuat kesimpulan, tiada bahan rahsia dalam pembuatan kuey teow kerang kuali leper pasar malam. Segala-galanya bahan-bahan yang biasa kita gunakan dalam masakan seharian.

Dalam entri ini saya menyenaraikan bahan-bahan asas untuk membuat kuey teow kerang dimana, bahan-bahan ini digunakan kebanyakkan peniaga pasar malam. Kemudian dalam tip masakan komersial, saya akan menerangkan beberapa bahan yang membezakan rasa masakan diantara peniaga pasar malam dengan peniaga pasar malam yang lain. Berkenaan fungsi kuali leper pula, saya dapati  ia amat membantu dalam membangkitkan selera bakal pembeli dimana kuali leper menjadikan bahan yang dimasukkan kedalamnya kelihatan banyak.

Bahan-bahan untuk Kuey Teow Kerang Kuali Leper
1 kg Kuey Teow
1 cmt Bawang Putih dikisar
1 bj Telur
1 cmb Lada Boh
1 cmb Sos Tiram
1 cmb Sos Cili
2 cmt Kicap Pekat
2 cmb Kicap Manis
1 cmt garam
1 cmt Gula
1 cmb kerang rebus dan dibuang kulitnya
500g Taugeh
¼ cwn Minyak
½ cwn stok rebusan kerang

Cara Membuat Kuey Teow Kerang Kuali Leper
  1. Panaskan minyak masak dan tumis bawang putih sehingga wangi
  2. Masukkan lada boh dan biarkan garing sedikit.
  3. Masukkan sos cili, sos tiram, kicap pekat, kicap manis dan air rebusan. Gaul dan biarkan mendidih.
  4. Pecahkan telur, gaul sedikit supaya telur tidak terlalu hancur.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Masukkan kerang dan kuey teow dan gaul rata sehingga airnya kering dan perencahnya berkaramel.
  7. Akhir sekali masukkan taugeh gaul sedikit terus dihidangkan.

Tip Masakan Komersial
  1. Dari 10 peniaga kuey teow kerang pasar malam yang saya perhatikan, separuh daripadanya tidak menggunakan bawang dan tiada yang mengisar bawang putih bersama bawang besar. Mungkin kerana harga bawang semakin naik jadi mereka mengambil keputusan untuk mengurangkan kos. Bagaimanapun, dahulu RM1 kuey teow boleh dapat banyak, sekarang RM1.50 Cuma dapat seciput. Letaklah bawang walaupun sedikit. Itu lebih baik.
  2. Begitu juga dengan sayur-sayuran. Sekarang ni saya dapati semuanya hanya menggunakkan taugeh. Bukan sedikit tapi hampir sama banyak dengan kuey teow. Ada jugak yang lebih banyak taugeh dari kuey teow. Dah rasa macam taugeh goreng pulak. Asalnya resepi ini amat serasi dengan penggunaan kucai.
  3. Peniaga pasar malam biasanya menggunakan api yang kecil untuk memastikan kuey teow kerang mereka sentiasa panas. Mereka akan mengosongkan bahagian tengah kuali leper tepat diatas nyalaan api kemudian mencurahkan air supaya kuey teow tidak hangus.
  4. Rasa yang berbeza dari setiap peniaga pasar malam selalunya datang dari jenis sos dan kicap yang mereka gunakan. Mereka akan gunakan kicap yang sama agar masakan mereka sentiasa kekal mempunyai rasa yang sama. Cubalah perhatikan sos yang mereka gunakan. Kadang-kadang mereka ni gunakan sos yang mempunyai tulisan yang sepatah haram pun saya tak faham.
  5. Cubalah untuk mengelakkan dari menggunakan msg. Daripada bahan-bahan diatas, saya dapati setiap satu sos dan kicap terdapat msg. Tak perlulah menambah kandungan msg lagi. Cuma pastikan masin dan manisnya seimbang.