Saya rasa macam tertinggal satu masakan la. Puas saya fikir tapi tak dapat sebarang klu. Mulanya saya rasa saya dah paparkan semua resepi masakan melayu yang seangkatan seperti kuzi, opor, kari, beriani, rendang, kurma, berempah dan kali ini giliran kerutup. Tapi satu malam sebelum tidur saya terfikirkan satu hidangan yang lain dan esoknya terus lupa. Banyak kali perah otak, cuma terbayangkan karlio je tapi saya rasa bukan karlio yang saya fikirkam malam tu. Kalau anda ada idea apa masakan yang saya tertinggal ni, harap dapat khabarkan kepada saya melalui kotak komen dibawah. Bagi yang menerima resepi ini melalui email, anda boleh klik tajuk entri ini atau perkataan comment dibawah sekali untuk terus ke blog saya. Bantuan anda diperlukan sebelum kepala saya bernanah.


Bahan-bahan untuk Kerutup Ayam Timur
1 ekor Ayam
5 cmb Lada Boh
1 bj Bawang Besar
3 ulas Bawang Putih
1 inci Halia
2 cmb Ketumbar
1 cmb Jintan Manis
1 cmt Jintan Putih
3 bj Buah Pelaga
5 kuntum Bunga Cengkih
1 cmt Lada Hitam
6 bj Buah Keras
1/3 cwn Minyak Masak
2 btg Serai
2 helai Daun Pandan
1 inci Kulit Kayu Manis
1 cmt Serbuk Kunyit
250ml Santan Pekat
2 cmb Kerisik
1 cmb Jus Limau Nipis
2 helai Daun Limau Purut
Garam dan gula secukup rasa
Air untuk mengisar


Cara Membuat Kerutup Ayam Timur
  1. Ayam dipotong kecil dan dibersihkan. Serai diketuk, daun pandan diikat dan daun limau purut disiat.
  2. Kisar bawang putih, bawang besar, halia, buah keras,ketumbar, jintan manis, jintan putih, buah pelaga, bunga cengkih, lada hitam sehingga halus. Campurkan dengan lada boh dan serbuk kunyit.
  3. Panaskan minyak, dan tumiskan bahan kisar sehingga wangi.
  4. Masukkan serai, daun pandan, kulit kayu manis dan tumis lagi sebentar untuk mengeluarkan aromanya.
  5. Masukkan ayam dan gaul selama 5 minit untuk mengecutkan ayam dan memekatkan kuahnya.
  6. Kemudian barulah dimasukkan santan, kerisik, dan daun limau purut.
  7. Perasakan dengan garam, gula dan asam.
  8. Masak sehingga kuah menjadi pekat dan hidangkan bersama nasi berperisa.


Tip Masakan Komersial
  1. Tak hairanlah mengapa tak ramai yang suka masak masakan ini. Terlalu banyak jenis rempah yang digunakan. Bahan-bahan yang memberikan rasa lemak juga hampir semua digunakan. Begitu juga dengan herba yang mengeluarkan aroma, juga menggunakan beberapa jenis. Inilah ciri kerutup yang saya kenali. Berbagai rasa, berbagai aroma dan sangat lemak.
  2. Tak perlulah terikat sangat dengan bahan-bahan ini. Beberapa bahan yang memberikan rasa lemak, boleh dikurangkan atau diabaikan. Kalau dah ada santan, abaikan kerisik. Atau gunakan santan sahaja dan lupakan buah keras. Tiada siapa perasan sangat kecuali mereka yang arif dan mementingkan konsep dan citarasa. Kalau mereka perasanpun, apa salahnya.
  3. Herba yang mengeluarkan aroma juga penting dalam kerutup. Tapi kalau dah banyak sangat jenis yang perlu digunakan, boleh menimbulkan kemalasan dalam membuat masakan ini. Lebih baik masak kurang sedap berbanding tak masak langsung. Abaikan herba-herba yang kurang kuat baunya. Baru la tak stress bila masak! Apa yang penting, kombinasi gula garam dan asam mesti tepat.
  4. Kerutup sepatutnya pedas kerana ini ciri masakan melayu. Jadi segala benda yang pedas semua digunakan. Cili boh yang banyak, lada hitam dan cili api semuanya sepatutnya ada tapi saya kurangkan tahap ekstremnya supaya lebih sesuai untuk semua peringkat. Tak boleh pentingkan diri sendiri.