Kuih Keria banyak dijual dinegara kita dan biasanya dibuat menggunakan ubi keledek. Kuih tradisional ini memang popular kerana rasanya yang lemak manis. Untuk penggemar kuih keria, jika anda membuat sendiri kuih keria, sila kurangkan penggunaan gula kerana gula berlebihan tidak baik untuk kesihatan. Rasa keria labu memang jauh berbeza dengan keria keledek kerana bahan utamanya memang berbeza.


Dalam pembuatan keria labu, ada sedikit trick perlu digunakan untuk memudahkan kerja. Sifat labu yang berbeza dengan keledek memerlukan kita mengubahsuai sedikit resepi dan teknik untuk mengatasi masalah-masalah yang mungkin timbul. Dalam tip masakan komersial nanti, saya ceritakan lebih lanjut mengenai ini. Sementara itu, jom kita belek dulu resepi dan cara membuat Keria Labu.



Bahan-bahan untuk Keria Labu
500g Labu yang telah dibuang kulit, biji serta dibersihkan
180g Tepung Gandum
2 cmt Garam
½ cwn Gula
1 cmb Air
1L Minyak Masak untuk menggoreng



Cara membuat Keria Labu
  1. Potong labu besar-besar kira-kira 2 inci. Masukkan dalam periuk, tambahkan air yang banyak kemudian masak sehingga labu menjadi empuk.
  2. Setelah labu empuk, tapis dan tuskan airnya dan biarkan sejuk sepenuhnya.
  3. Masukkan labu kedalam mangkuk dan hancurkan menggunakan pelecek atau garfu. Tambahkan garam.
  4. Masukkan tepung gandum dan kacau sebentar. Rehatkan lebih kurang setengah jam.
  5. Panaskan minyak masak dengan api sederhana kecil. Sediakan semangkuk air untuk memudahkan membentuk keria.
  6. Basahkan kedua-dua tangan dengan air. Ambil sedikit doh dengan tangan kanan dan bulat-bulatkan sebesar bola ping-pong.
  7. Letakkan diatas tapak tangan kiri dan leperkan menjadi 1½ -2 cm. Cucuk dengan jari untuk membuat lubang. Terus masukkan kedalam minyak panas.
  8. Teruskan membentuk dan menggoreng beberapa keping lagi.
  9. Goreng kedua-dua belah keria sehingga sedikit keperangan.
  10. Angkat dan tuskan. Biarkan sejuk.
  11. Sediakan kuali yang bersih dan masukkan gula dan 1 cmb air.
  12. Masak dengan api kecil sambil air gula dikacau perlahan-lahan.
  13. Apabila air gula mula mendidih, masukkan keria yang telah sejuk tadi. Tutup api.
  14. Kacau rata supaya gula menyaluti keria dan keria tak melekat sesama sendiri. Setelah semuanya rata angkat dan hidangkan.


Tip Masakan Komersial
  1. Labu,keladi, ubi kayu dan kentang sebenarnya amat sesuai untuk dijadikan berbagai kuih-muih masyarakat Malaysia sama seperti apa yang kita lakukan kepada keledek. Maksud saya, bahan-bahan yang saya sebutkan tadi sebenarnya boleh dijadikan karipap, bingka, cucur badak, onde-onde, pengat termasuklah keria. Namun sifatnya sedikit berbeza menyebabkan kita perlu mengubah sedikit resepi dan tekniknya. Contohnya keladi apabila direbus terlalu lama akan menyebabkan ia cair dan larut didalam air, Jadi tak boleh rebus terlalu lama dan tuskan sebaik sahaja ia empuk.
  2. Labu pula sangat sangat banyak menyerap air jadi biasanya saya rebus dalam ketulan yang besar dan saya tuskan segera sewaktu panas  tetapi dilecek apabila telah betul-betul sejuk. Ini dapat mengurangkan kandungan air. Bagaimanapun ia masih terlalu lembik.
  3. Oleh kerana labu sangat lembik, jadi kita memerlukan lebih banyak tepung gandum untuk memudahkan membentuk keria. Namun satu lagi masalah yang timbul ialah, penggunaan tepung gandum yang banyak menyebabkan keria menjai keras serta padat dan rasa labu berkurangan. Jadi tak boleh menggunakan tepung gandum yang banyak. Satu cara lain perlu digunakan agar keria dapat dibentuk dengan mudah.
  4. Membentuk keria sejurus sebelum digoreng adalah satu kaedah yang baik untuk mendapatkan keria yang cantik bentuknya. Dengan latihan yang betul, kaedah ini akan menjadi mudah sama seperti membuat wadeh urulundu. 
  5. Cuba masukkan sebelah tangan yang akan digunakan untuk meleperkan doh kedalam plastik. Jangan lupa basahkan plastik agar doh tak melekat. Ini akan mengelakkan doh melekat ditapak tangan. 
  6. Sebaik sahaja keria digoreng, ia biasanya akan tenggelam kerana kepadatannya. Bagaimanapun ia akan timbul dalam masa lebih kurang 15 saat setelah digoreng. Jika keria masih tenggelam setelah 30 saat, cuba renggangkan dengan dasar kuali menggunakan sudip. Mungkin ia melekat pada dasar kuali.
  7. Jika ia masih tenggelam, ini bermakna tepung gandum yang digunakan terlalu banyak. Cuba kurangkan penggunaannya dilain kali. Keria yang terlalu banyak tepung gandum biasanya berat, padat dan liat.
  8. Jika tepung gandum terlalu sedikit, biasanya keria akan timbul serta merta sebaik sahaja digoreng. Keria seperti ini biasanya akan kecut setelah masak dan menyerap terlalu banyak minyak.
  9. Apabila menyalut keria dengan gula, cuba berhenti mengacau sebelum gula membeku. Namun pastikan gula telah menyalut keseluruhan keria. Ini akan menghasilkan keria yang cantik dengan gula yang menyalutinya berkeping dan berkelopak. 
  10. Kesimpulannya, setiap perubahan yang kita lakukan kepada resepi mahupun teknik adalah perlu, bergantung kepada sifat bahan yang digunakan. Andai kata labu yang anda gunakan tidak terlalu berair seperti labu saya, maka mungkin sahaja anda dapat membentuk keria dahulu sekaligus kemudian barulah digoreng. 
  11. Dan jika anda menggunakan bahan lain selain labu, anda dah faham apa yang perlu dilakukan. Tambahkan tepung gandum sedikit demi sedikit untuk mendapatkan nisbah yang sesuai. Tidak terlalu lembut dan tidak terlalu keras sesuai dengan selera anda.