Sewaktu kecil pada bulan Syawal, saya sekeluarga melawat kubur datuk di Tangkak. Pada masa itu ditengah-tengah tanah kubur terdapat pokok sukun yang baru tumbang hingga terjungkit akarnya. Ada la beberapa biji buah sukun yang tergolek sekitar tanah kubur. Jadi kami pun ambil la beberapa biji untuk digoreng apabila sampai di rumah. Itulah kali pertama saya makan buah sukun. Selepas itu, saya menjadi sangat suka buah sukun, tak kira lah sama ada sukun goreng, jemput-jemput sukun atau kerepek sukun. Semuanya suka. Kiranya saya ni bolehlah dikategorikan sebagai hantu sukun…. Amacam, orait tak cerita seram saya yang pertama?

Boleh la menambahkan koleksi cerita seram untuk diceritakan pada anak-anak. Bila dia takut, nanti dia peluk kita. Bila agaknya kali terakhir anda peluk anak-anak anda? Tujukan pelukan anda untuk anak-anak dan menangi tiket Kidzania. Check out #OreoMillionMinutes!


Bahan-bahan untuk Kerepek Sukun
1 bj Buah Sukun (1.2kg)
2 cmt Garam
8 cmb Air
1 L Minyak Masak


Cara membuat Kerepek Sukun
  1. Larutkan garam dalam air. Ketepikan.
  2. Buah sukun dibelah empat. Buangkan empulur dan kulitnya. Bersihkan.
  3. Hiris sukun nipis-nipis lebih kurang 1 – 2 mm. Hiris selebar yang boleh.
  4. Panaskan minyak masak sehingga 210˚C.
  5. Apabila minyak cukup panas, masukkan hirisan sukun secukupnya.
  6. Kacau sebentar supaya sukun mendapat kepanasan gorengan sekata kemudian curahkan 1 cmb air garam.
  7. Teruskan menggoreng sambil dikacau dan dibalik-balikkan sekali-sekala sehingga warnanya sedikit kekuningan.
  8. Angkat dan tuskan minyaknya. Setelah sejuk, simpan dalam bekas kedap udara.


Tip Masakan Komersial
  1. Untuk membuat kerepek, perlu memilih buah sukun yang telah matang. Tidak boleh yang masak dan tidak boleh yang muda. Buah yang muda rasanya tidak lemak manakala buah yang telah masak, sukar dihiris nipis kerana isinya telah lembut.
  2. Untuk memilih buah yang telah cukup matang, getah yang meleleh dari tangkai buah pada kulitnya. Jika terdapat lelehan getah yang banyak dan mengering meniggalkan garisan berwarna gelap sekeliling buah, barulah buah itu sesuai dipetik. Buah seperti ini boleh perlu disimpan ditempat sejuk supaya ia tidak menjadi masak dan lembik.
  3. Selepas buah sukun dipetik, biarkan sehari atau dua hari untuk getah mengering. Getah menyukarkan proses membersihkan dan menghiris buah. Getah juga menyebabkan buah sukun yang dihiris menjadi coklat keperangan.
  4. Kerepek sukun tidak seharusnya dipotong terlalu nipis. Kerepek sukun yang terlalu nipis menyebabkan ia menjadi keras. Apabila memakannya, terasa seperti mengunyah kaca. Lebih baik ia sedikit tebal supaya ia lebih rapuh dan rasa lemaknya lebih ketara.
  5. Sukun boleh dijadikan sukun goreng seperti pisang, keledek, cempedak goreng. Ia juga boleh digoreng tebal tanpa salutan seperti keladi. Hanya lumurkan sedikit garam sahaja. Sukun yang masak sesuai dijadikan jemput-jemput. Cincang atau dadu dan campurkan dengan tepung gandum dan air.
  6. Sukun yang telah masak mempunyai rasa sedikit manis, jadi ia tak sesuai dijadikan kerepek kerana kerepek sukar rangup dan warnanya akan lebih gelap. Lebih baik dijadikan sukun goreng atau jemput-jemput sukun sahaja.
  7. Buah sukun berbentuk bulat seperti bola. Terdapat spesies yang besar sehingga sebesar bola sepak dengan pohonnya sangat tinggi. Terdapat juga jenis kecil dengan pohonnya yang rendah tetapi menghasilkan buah yang banyak. Saya gemarkan buah yang besar kerana isinya lebih tebal dan lebih lemak. Bolehlah membuat kerepek lebih lebar.