Ilmu, kalau tak diajarkan mungkin suatu ketika nanti akan terus lenyap. Saya pasti, tak akan berkurang ilmu saya kalau saya ajarkan kepada orang lain. Begitu juga jika bersedekah. Takkan berkurang harta kita malah akan bertambah dan melimpah. Atas prinsip itu, keluar juga resepi kerepek pisang ini. Walaupun resepi yang biasa, semua orang boleh agak bagaimana membuat nya namun ia masih tetap ilmu yang boleh diajarkan.
Mungkin beli kerepek pisang lebih senang. Lagipun bukan mahal sangat. Kalau kat London tak tahu pulak saya. Sekarang dah tak ramai yang sanggup berpanas depan dapur berjam-jam. Bayangkan pula keadaan dapur yang berserabut selepas menggoreng kerepek. Bagaimanapun, masak sendiri sangat banyak kelebihannya. Kita boleh tahu secara terperinci apa yang keluarga kita makan. Yang paling penting, usaha untuk dapatkan keberkatan. Moh tengok Resepi Kerepek Pisang

Dah biasa dengan kerepek pisang? Try Kerepek Ngaku (Arrowhead Crisp) atau Kerepek Sukun.



Bahan-bahan untuk Resepi Kerepek Pisang
10 kg Pisang Muda
1 cmb Garam
½ cwn Air
3 L Minyak Masak



Cara Membuat Kerepek Pisang
  1. Kupas kulit pisang muda sehingga bersih. Ketepikan.
  2. Bancuhkan garam dengan air. Kacau sehingga larut sepenuhnya.
  3. Panaskan minyak masak dengan api sederhana sehingga 180˚C.
  4. Hiris pisang muda menggunakan slicer atau penyagat terus kedalam kuali. Jangan masukkan terlalu banyak dalam satu-satu masa.
  5. Masukkan 1 sudu makan air garam kedalam gorengan.
  6. Kacau dengan kerap untuk meleraikan kerepek yang melekat sesame sendiri dan untuk memastikan kerepek pisang masak dengan sekata.
  7. Apabila kerepek pisang telah menjadi garing, bolehlah di keluarkan dan dituskan minyaknya.
  8. Teruskan menyagat dan menggoreng sehingga semua pisang habis.
  9. Simpan didalam bekas kedap udara apabila kerepek telah sejuk.



Tip Masakan Komersial.
  1. Saya tak pernah ambil tahu jenis pisang yang sesuai digunakan. Bagi saya, gunakanlah apa sahaja pisang yang ada. Selagi ia masih muda dan boleh disagat, saya akan jadikan kerepek pisang. Bagaimanapun, jika anda ingin berniaga kerepek pisang, tentulah anda kena memastikan jenis pisang yang digunakan sentiasa tetap. Tak boleh hari ini pisang lain, esok pisang lain pula. Mencampurkan berbagai jenis pisang dalam satu kuali lagi tak boleh. Oleh itu, selidiki pisang apa yang boleh anda dapat secara tetap dan banyak.
  2. Setiap jenis pisang memberikan rasa kerepek pisang yang berlainan. Oleh itu, uji dahulu rasa pisang sama ada sedap atau tidak jika dijadikan kerepek. Kalau sedap, baru boleh dijual. Kalau sekadar untuk masak sendiri, tak sedap pun buat juga la.
  3. Pernah suatu ketika dahulu saya membuat kerepek pisang yang cantik warnanya. Pisang ini seolah-olah mempunyai corak bunga ditengah-tengahnya dan jelas kelihatan. Sayangnya rasanya sedikit tawar dan tak cukup lemak. Saiznya yang kecil juga melambatkan proses menggoreng.
  4. Pisang muda yang dimaksudkan ialah pisang yang telah matang tetapi kulitnya masih hijau dan isinya masih keras. Ini akan memudahkan proses mengupas kulit dan menyagat. Pisang yang terlalu muda berkemungkinan tidak lemak, malah mungkin juga kelat. Pisang yang telah masak pula rasanya manis tetapi sukar garing apabila di goreng. Kerepek daripada pisang yang masak juga akan berwarna gelap kerana kandungan gula didalamnya akan berkaramel.
  5. JIka pisang terlalu kecil, anda boleh memotong secara menyerong atau memanjang. Mungkin sedikit sukar tapi hasil kerepek lebih baik. Bagaimanapun sewaktu menggoreng, sebelum kerepek menjadi keras, jangan kacau terlalu banyak untuk mengelakkan kerepek pisang bergulung atau terlipat. 
  6.  Dikilang kerepek pisang, mereka menggoreng dalam kuantiti yang besar sekaligus. Oleh itu menyagat terus kedalam kuali adalah tidak relevan kerana jarak masa dari mula menyagat sehinggalah penuh kuali sangat jauh. Ini menyebabkan kerepek pisang yang masuk dahulu akan masak sebelum proses menyagat selesai. Oleh itu biasanya mereka menyagat pisang terlebih dahulu. Setelah mendapat kuantiti satu gorengan mereka akan membilas hirisan pisang dengan air kemudian dituskan. Setelah itu barulah digoreng. Bilasan ini akan mencuci kanji yang terdapat pada pisang kerana kanji ini menyebabkan pisang melekat sesama sendiri.
  7. Selalunya selepas pisang dikupas, saya tak mencucinya kerana apabila dicuci, pisang tak dapat bertahan lama sementara menunggu proses menggoreng. Ada pendapat mengatakan apabila dicuci, pisang menjadi kurang garing.
  8. Untuk membuat kerepek pisang manis pula, anda memerlukan larutan gula merah. Anda perlu memasak 1 cwn gula merah, 1 cwn gula pasir dengan 2 cawan air. Masak sehingga semuanya larut, tapi dan sejukkan. Sewaktu menggoreng kerepek, apabila pisang telah menjadi garing, masukkan 1 atau 2 sudu larutan gula merah ini. Kacau rata supaya gula melekat pada pisang. Setelah tiada lagi bunyi desiran air dalam minyak panas, bolehlah diangkat dan dituskan. Proses ini sama seperti membuat cakar ayam yang saya paparkan suatu ketika dahulu. Klik untuk Resepi Cakar Ayam Ubi Keledek.
  9. Setelah digoreng, kerepek pisang mesti dituskan supaya ia tidak berminyak. Kemudian apabila ingin mengetus gorengan seterusnya, jangan dicampurkan dengan gorengan yang telah ditus. Jika dicampurkan, akan menyebabkan gorengan sebelum ini akan berminyak semula. Lebih teruk, apabila gorengan yang telah sejuk terkena minyak semula, minyak ini akan melekat pada kerepek pisang dan tidak boleh ditus kering seperti tadi.